Pagi itu aku bangun lebih awal dari biasa. Meskipun semalam aku lewat baru terlelap tapi hari ini aku mesti bangun lebih awal juga. Ia disebabkan abang Izwan akan melangsungkan pernikahannya pada hari ini bersama dengan Kakak Jazilah, tunangan tersayang abangku itu. Ummi menugaskan aku untuk memastikan barangan hantaran abang tersedia mengikut perancangan dan memastikan makanan untuk tetamu juga tersedia mengikut kemahuan abang Izwan. Hampir berulangkali aku keluar masuk rumah untuk memastikan kelancaran majlis kami. Mujurlah Syahazri membantuku menyibukkan diri untuk majlis pernikahan abang Izwan.
“ Abang dah siap?” soal Syahazri di sebelahku ketika aku sedang meneliti satu persatu barangan hantaran abang yang sudah siap digubah.
“ Tak pasti.. agaknyalah..” balasku perlahan sambil mataku masih sibuk memerhati barang abang.
Dia mengangguk-angguk sambil tangannya sibuk menyentuh barangan abang.
“ High taste..” pujinya.
Aku sekadar tersenyum.
“ Awak nak apa nanti untuk majlis awak?” tanyanya bersahaja.
Aku tersentak dengan soalan itu. Lantaran belum mempunyai jawapan, aku hanya membalasnya dengan mengangkat bahu saja.
“ Ala.. beritahulah..” paksanya manja-manja.
Aku mencebik.
“ Saya tak minta banyak..” balasku sebagai mukadimah bagi topik yang dia mula bincangkan.
Matanya bersinar melihatku. Panahan itu memancar jauh ke hati wanitaku.
“ Antaranya?”
Aku mengetap bibir. Aku tahu anganku tinggi tapi apa salahnya aku bercerita kepadanyakan?
“ Saya mahu salah satu hantaran saya adalah tulisan tangan hasil hafalannya di antara surah-surah di dalam Al-Quran. Sekurang-kurangnya saya tahu dia boleh membimbing saya..” balasku sedikit beremosi.
Dia membalas dengan ketawa kecil.
“ Kenalah mula menghafal dari sekarang..” usiknya.
Aku ketawa bersahaja.
“ Buatlah.. Kalau tak rasa permintaan saya berat..” balasku menyahut usikannya.
Dia mempamer wajah serius tapi kelihatan tenang.
“ Suami itu pemimpin dalam keluarga yang akan membawa keluarganya meniti syurga. Kalau dia mempunyai pegangan agama, saya percaya dia mampu menghasilkan keluarga bahagia yang diredhai Allah..” dia menyampaikan peringatan kepadaku.
Aku melepaskan keluhan. Memandangnya tepat dengan wajah yang sedikit serius.
“ Sekarang, susah nak cari..”
“ Ada.. kalau awak sudi..” ujarnya pula.
Keningku terangkat.
“ Siapa?” tanyaku ingin tahu.
Dia menuding jari ke pada dirinya.
Aku menelan liur. Aku tahu maksudnya walaupun dia tidak menjelaskan dengan lebih lanjut. Aku bergerak sedikit, berkira-kira mahu meninggalkan ruangan yang menjadi persinggahan kami meneliti barangan milik abang Izwan. Dia mengikuti langkahku dan berjalan beriringan di sebelahku.
“ Awak masih belum beri jawapan..” ucanya dalam nada berbisik.
Aku serba-salah. Aku tidak punya jawapan saat ini kerana aku baru saja kecewa dengan Effendy. Bagaimana mungkin aku mencari penggantinya secepat ini walaupun aku tahu bersama Syahazri aku punya masa depan yang baik. Lagipun, aku tidak pasti dengan kesungguhannya sama ada dia benar-benar maksudkannya ataupun sekadar mengusik taman hatiku.
“ Erm, apa kata kita selesaikan dulu majlis abang?” cadangku cuba memancing perhatiannya agar menumpukan kepada majlis abang yang akan berlangsung sebentar lagi.
Dia menghela nafas berat.
Aku mengerlingnya sekilas.
“ Hampir saja saya lupa..” peringatku apabila terkenangkan Mak Siah dan Tok Salim di kampung untuk cuba mengambil hatinya pula.
“Apa?”
“ Dah khabarkan mak yang kita dah sampai?” soalku inginkan kepastian. Rasa bersalah pula kerana terlupa menelefon Mak Siah akan selamatnya kami tiba di rumah.
Dia mengangguk.
“ Saya lupalah..” aduku perlahan.
“Tak apa.. saya dah beritahu mak.. lagipun, awakkan sibuk..” pujuknya pula.
Aku sekadar mengangguk.
“ Ilah..” laung ummi mematikan perbicaraan kami.
Aku menghampiri ummi di temani Syahazri.
“ Abah cari Azri tadi.. Di luar tu..” khabar ummi.
Syahazri pula bagaikan faham dengan maksud ummi terus meminta izin untuk meninggalkan kami dan pergi menemani abah di luar untuk menyambut kedatangan tetamu yang mulai hadir.
“ Point dia dah melambung tinggi.. Lepas ni, Ilah pula naik pelamin..” bisik ummi mengusikku.
Aku menarik muka.
“ Kalau ummi sponsor, Ilah on..” balasku bersahaja membalas usikan ummi.
“ Nanti ummi beritahu abah ya..” sambung ummi.
Aku pantas menggeleng.
“ Ilah acah saja ummi..” rayuku berharap ummi tidak akan menyampaikannya kepada abah. Aku takut, jika abah setuju aku tidak akan ada alasan untuk boleh menolak kemahuan abah. Kalau hitam kata abah, maka hitamlah. Kalau putih katanya, maka putihlah. Abah memang seorang yang tegas. Walaupun tegas, abah pula seorang yang penyabar. Aku amat bersyukur bila dilahirkan dibawah asuhan abah dan ummi.
Ummi mengalihkan perhatianku untuk memandang abah dan Syahazri yang sedang senang menerima kehadiran para tetamu.
“ Habislah Ilah.. abah dan suka dia…” usik ummi lagi.
Aku mengetap gigi. Terasa geram bila terus-terusan diusik ummi. Dari sisi aku mendengar abah memperkenalkan Syahazri itu sebagai teman istimewaku sedang aku tidak mengisytiharkan begitu. Apalah kata pemuda itu nanti? Bukankah dia sendiri belum membuktikan kesungguhannya?
“ Apa lagi yang Ilah tunggu?” soal ummi kepadaku tapi tangannya sibuk bersalaman menerima huluran tangan tetamu undangannya yang hadir.
“ Ummi..” balasku berharap ummi akan mematikan saja perbualan mengenai dia.
Ummi tersengih.
“ Ummi tahu, Ilah dah besar untuk fikirkan kemahuan abah dan ummi..” balas ummi berkias.
Aku mematikan kata untuk memahami maksudnya.
“ Kenapa nak cepat sangat suruh Ilah kahwin?” tanyaku dalam rungutan tetapi dalam nada suara perlahan.
Ummi menjelingku.
“ Perasan tak yang anak dara ummi ini dah memang patut jadi isteri orang?”
Aku tidak menjawab.
“ Ummi tahu Ilah kecewa dengan sikap Effendy. Itu bukan bermaksud Ilah perlu menjernih keadaan dengan melupakan tapi zahirkan kemaafan. Bukan bererti Ilah harus melihat yang terjadi tapi rasakan hikmah yang ada dari terputusnya hubungan Ilah dengannya. Ia tidak bermakna bagaimana cara Ilah mencuba terus mempertahankan hubungan yang dah retak tetapi untuk belajar melepaskan sesuatu yang bukan milik kita..” balas ummi dengan lebar lebih kepada memujuk.
Dalam keadaan yang sibuk begini ummi masih sempat memberikan nasihat dan ceramah. Aku pula jenis yang cepat bosan apabila diberi ungkapan sebegitu. Bukan kerana aku degil tetapi berulang kali sudah ummi mengatakannya kepadaku.
“ Dan Ilah percaya, jodoh Ilah akan datang jua ummi.. mungkin bukan dengan dia, mungkin dengan yang lain..” balasku pula agar ummi tidak terus-terusan berharap aku akan bersatu dengan Syahazri. Aku tahu hati kedua orang tuaku sudah ditawan dengan keperibadian pemuda itu.
Siapa yang tidak tertawan dengan sikap dan keluhuran pemuda yang boleh mempesona dengan kebijaksanaannya sebagai mua’lim yang berwibawa? Kalaulah mereka di sini mendengar dia mengalunkan bacaan surah-surah yang ringkas saja, pasti mereka akan terkesima. Pastilah dia mampu menjadikan keluarga sakinah dan penuh dengan mawaddah dan rahmah dari Allah. Meskipun dia bersifat begitu, tapi yang menyenangkan dia masih ada sifat fitrah manusia yang suka mengusik, nakal dan bersahaja. Dari pandangan pertama saja, orang boleh mentakrifkan dia insan yang baik dan pakej yang lengkap untuk dijadikan teman hidup. Wajahnya yang tenang mata melihat, manis mata memandang dan penuh misteri tapi mempesona.
Aku bukan memujinya lebih tetapi itu adalah hakikat. Melihat pada kelebihannya, layakkah aku sebagai pendamping? Diukur pada keistimewaannya, sesuaikah aku di sisinya?
Ummi menyiku aku agar tersedar dari khayalan perasaan.
“ Apa?” soalku kebingungan.
“ Dia pandang Ilah..” bisik ummi.
Aku pula memandang sama kepadanya.
Ah..
0 ulasan:
Catat Ulasan