“ Ya Allah, panasnya badan kau..” suara Izzah kedengaran nyaring di sebelahku dan nada itu sungguh menganggu lenaku. Aku perlahan-lahan cuba membuka kelopak mataku. Walaupun pada mulanya aku agak berat untuk lelap malam tadi kerana aku agak terganggu dengan kata-kata Syah tapi pagi ini aku amat berat untuk bangun. Kepalaku rasa sakit yang teramat. Aku juga dapat rasakan bahang panasnya suhu badanku saat ini.
“ Kau tunggu sini, jangan bangun kemana-mana. Aku nak panggil mak..” pesan Izzah seolah-olah menasihati aku bagai anak kecil.
Aku hanya mampu tersenyum dan kembali semula memejam mata.
“ Lilah..” panggil Mak Siah kemudian.
Aku hanya bergerak sedikit. Tidak mampu untuk menjawab panggilan itu kerana aku merasakan lelah yang teramat sangat. Kepalaku diusap-usap perlahan oleh tangan Mak Siah. Aku senang dimanja begitu. Lantaran terkenangkan ummi, aku tanpa sedar menitiskan airmata kerana rindu pada ummi.
“ Tak nak jumpa doktor?” soal Mak Siah.
Aku diam, tidak menjawab. Hilang segala kudrat tenagaku untuk berkata dan menjawab pertanyaan Mak Siah.
“ Khal..” panggil Ummi Izzah lagi.
Aku menggeleng.
“Saya cuma nak tidur, bolehkan?” soalku perlahan dan sayup-sayup saja nadanya. Sudah beberapa ketika kemudian, aku sudah terlelap tanpa sebarang gangguan lagi.
Mungkin hari sudah lewat, makanya aku tersedar beberapa ruang di waktu itu. Seingatku, aku tidur baru sekejap tapi rupanya hampir 5 jam lamanya. Mujurlah rasa sakitku tadi sudah ada kurangnya. Lantaran rasa tidak selesa, aku menuju ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Aku keluar beberapa minit kemudian, bersiap dan menuju ke dapur untuk mencari Izzah dan Mak Siah.
“ Mak.. Izzah..” panggilku hampir berulang kali.
Aku tercari-cari kelibat mereka berdua tetapi masih juga belum kelihatan. Kemana agaknya mereka?
“ Mak..” panggilku lagi.
Kenapa sunyi semacam rumah ini? Takkan semua orang pergi tinggalkan aku seorang?
Aku mengeluh berat. Mataku tertuju ke arah jam dinding.
Dah pukul 3 petang?
Aku tersenyum sendiri. Lama sangat aku tidur. Mungkin Mak Siah dan Izzah di halaman rumah agaknya. Lantaran malas berteka-teki aku menuju ke muka pintu dan ingin sama melihat apa dan dimana sebenarnya mereka berdua.
Di muka pintu langkahku terhenti.
“ Assalammualaikum..”
Tanpa menjawab aku mengangguk. Tak apa, jawab dalam hati. Aku segan dengan dia yang baru saja datang di hadapanku kini. Aku menunduk sebelum meneruskan langkah semula menuruni anak tangga.
“ Lilah..” panggilnya.
Aku mematikan langkah.
“ Dah okey?” soalnya pula.
Aku mengangguk tapi masih tidak memandangnya. Aku rasa benar-benar segan meskipun aku tahu dia juga datang menolongku semalam. Apa kata yang harusku jawab saat ini?
“ Saya lapar sangat, boleh tak siapkan untuk saya?” pintanya terus-terusan memancing perhatianku.
Aku mengetap bibir.
“ Di rumah tak ada orang, tinggal saya saja..” jawabku akhirnya.
Syah melepaskan tawa kecil. Dia menapak di hadapanku dan membuatkan hatiku tiba-tiba saja bergetar melihatnya.
Aku melarikan pandangan. Rasa malu dengan caranya memandang.
“ Kata mak, Lilah demam..” ucapnya penuh makna.
Aku tidak segera menjawab. Deru nafasnya menjadi suara dalam ruang suasana bisu itu.
“ Tadi kata lapar, pergilah masuk..” jawabku lantas berlalu. Entah kenapa kuat benar getar jantungku saat berdepan dengannya. Saatku berlalu, tawanya singgah dipendengaranku.
Aku mengetap gigi, geram dengan tingkahnya. Menuruni anak tangga dengan perasaan sebal dan geram padanya. Meskipun yang dilakukannya itu lebih kepada usikan tapi aku benar-benar tidak suka dipermainkan begitu. Mungkin agaknya dia perasan yang aku agak serba tak kena bila dekat dengannya.
Ah.. malunya!
“ Hoi!”
Aku terkejut dengan sergahan yang tiba-tiba itu. Seakan-akan terlepas jantungku.
Tawa Izzah kedengaran melihat kekagetanku itu.
Aku memukul bahunya kuat.
“ Kau nak bunuh aku ya?” soalku garang.
Izzah tersengih.
Aku menjelingnya.
“ Kau membebel sendiri tu kenapa?” soal Izzah yang sudah menapak di depanku bersama Mak siah yang memandangku dengan senyuman.
Aku tidak jadi berkata bila Mak Siah terus-terusan memandangku seolah-olah menanti aku bercerita. Aku hanya membalasnya dengan senyuman kelat tapi masih enggan bersuara.
“ Dah makan?” soal Mak Siah akhirnya bila aku masih termangu.
Aku mengangguk.
“ Syah?” soalnya lagi.
Aku tersentak. Kenapa tanya pasal dia?
“ Mak nampak dia di muka pintu tadi, baru balik.. Entah dah makan entah belum..” sambung Mak Siah seolah-olah membetulkan tanggapan pesimisku terhadap soalan itu
“ Tak pasti mak..” jawabku sopan tapi ringkas. Aku tidak tahu sebenarnya apa yang ingin aku katakan kepada Mak Siah tentang anak mudanya yang kurasakan kebelakangan ini menganggu ketenanganku. Perubahan layanannya yang sekejap dingin dan sekejap mesra itu seperti dia memperlakukan aku ini patung yang bila dia inginkan, akan dimain bersama.
Apakah mua’lim itu tahu maksudnya?
0 ulasan:
Catat Ulasan