“ Izzah mana mak?” soalku sebaik saja sampai di rumah Tok Salim. Lewat petang baru kami sampai di halaman rumah. Sepanjang perjalanan setelah aku menceritakan peristiwa yang kualami, Syahazri hanya diam dan sesekali tersenyum bila pandangan kami bertemu. Sayangnya, senyumannya nampak kelat dan seperti dibuat-buat.
Mak Siah yang ada di anak tangga memandangku. Anehnya tiada senyuman tergaris.
“ Katanya ambil barang di rumah penginapan kamu. Dia pesan, suruh Ilah terus ke sana..” balas Mak Siah lagi dan terus melenggang menuju ke halaman rumah. Lain benar riak wajahnya. Tidak berseri seperti selalu.
Aku mengangkat bahu.
Kenapa pula reaksi Mak Siah seakan-akan dingin dan tidak mengalu-alukan kedatanganku?
“ Dengan siapa awak bercakap Ilah?”
Aku memandang si gerangan yang ada di muka pintu.
Hampir tersentap tangkai hati bila terpandang Mak Siah yang berada di muka pintu bersama riak wajah yang hairan. Bukankah tadi aku sedang bercakap dengan Mak Siah? Serta-merta aku merasakan remang bulu romaku. Lantaran tidak mahu membiarkan Mak Siah menanti, aku hanya tersenyum kelat.
“ Pucat semacam mak tengok..” sambung Mak Siah lagi sambil mendekatiku. Syahazri pulak sudah ada di sebelahku.
“ Kenapa mak?” soalnya.
Mak Siah mengangkat bahu.
“ Macam nampak hantu..” balas Mak siah bersahaja.
Aku menelan liur. Berlainan benar rasaku di senja itu. Syahazri pula hanya bungkam di sisi. Panahan matanya seakan-akan bertanya. Tapi aku tidak mampu bercerita.
Kenapa lagi keadaan begini datang menggangguku?
“ Izzah ada mak?” soal Azri melarikan fikiranku yang kusut.
Mak Siah menggeleng.
“ Ambil barang di rumah penginapan katanya..”
Aku tersentak. Berdebar-debar rasanya seluruh hatiku. Jawapan yang sama diberikan oleh gambaran Mak Siah yang kutanya lewat sebentar tadi.
“Okey tak ni?” tanya Syahazri.
Aku tidak menjawab tapi membalas pandangannya.
“Temankan saya ke sana?” pintaku serius dan mengharap.
Syahazri mengeluh berat. Tanpa meningkah, dia setuju jua.
0 ulasan:
Catat Ulasan