BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Selasa, 29 Mac 2011

Bab 28-selendang biru


Sejak peristiwa itu, aku tidak lagi dibenarkan bekerja di luar daerah dan aku disuruh menyerahkan notis 24 jam ke pejabatku. Abah dan ummi berkeras menyuruh aku bekerja saja bersama dengan abang Izwan sebagai pembantu peribadi di syarikat perusahaannya sendiri. Walaupun pada awalnya aku keberatan tapi aku tidak ada pilihan lain. Aku takut bila aku menentang keputusan abah dan ummi, aku akan ditimpa bala. Bermula dari sudahnya kisah itu, aku sedar betapa besarnya nikmat Allah kepada hambaNya. Aku percaya, semua yang terjadi itu ada hikmahnya kerana tidak mungkin Allah akan menjadikan sesuatu itu sia-sia.
“ Lilah..” panggil ummi seraya menyentuh bahuku perlahan. Aku berpaling sekilas dan mengorak senyuman. Memang sejak pagi lagi, aku sudah hilang dari rumah kerana lebih selesa berada di luar dan menghirup udara dingin.
“ Kenang apa tu?” soal ummi lagi.
Aku menggeleng-geleng. Tidak ada apa lagi yang kukenang melainkan menginsafi kejahilan diri yang selalu saja rasa bodoh.
Ya.. aku akui, dugaan hidup amat berat dan aku tahu Allah itu tidak akan menguji hambaNya diluar kemampuan mereka. Sepertimana kasihku yang pernah tumpah untuk Effendy, ya biarlah.. dia bahagia dengan apa yang dia miliki. Aku redha dan pasrah. Mungkin landasan temanku berpijak bukan dia.
Ummi tersenyum.
“ Bosan tak ada kerja?”
Aku mengangguk. Memang aku merasa bosan dan tidak senang dengan keadaan ini. Walaupun keputusan abah menyuruh aku bekerja dengan abang tapi aku memilih untuk menangguhkan dulu sehinggalah aku benar-benar bersedia melangkah ke alam perniagaan yang banyak menduga dengan cabaran yang berat.
“ Sejak balik, kamu tak contact Azri?”
Aku tersentak. Sudah lama aku tidak mengingat dia. Masihkah dia mengingat aku? Aku akui, dia banyak bersabar dengan tingkahku dan mengikut kata ummi, dia benar-benar ikhlas membantuku waktu kejadian itu. Walaupun dia belum mengungkap sebarang kata yang menzahirkan perasaannya kepadaku tapi aku tidak bodoh untuk tidak memahaminya. Kadang-kadang dia sengaja melindung rahsia hatinya dariku. Renungan matanya bukan pandangan biasa. Sejak ikatan yang dijalin, masa sering diisi dengan gurauannya yang bersifat bersahaja dan ya, aku dapat rasakan ada sesuatu yang bermain di hati ini.
Aku mengetap bibir dengan kuat seraya berjalan menuju ke bangku yang tidak jauh dari tempatku berdiri. Fikiranku berat memikirkan dia yang jauh.
Langkahku diikuti ummi.
“ Fikir apa ni?” tanya ummi perlahan sambil merenung jauh ke dasar hatiku.
Aku melepaskan keluhan berat.
“ Azri tak kata apa-apa ummi?” tanyaku teragak-agak. Terasa malu dengan pertanyaan yang seolah-olah menyingkap rahsia hati itu.
Ummi membalas pandangan.
“ Dah rindu?” usik ummi.
Aku tersengih.
“ Mencari..” balasku selamba.
Ummi ketawa kecil.
“ Tengoklah Ilah apa akan terjadi malam ini..” kata ummi pula seolah-olah berahsia.
Aku memandang ummi tanpa kelip. Menanti dia mengatakan sesuatu kepadaku. Aku sendiri tidak tahu apa yang sudah dirancang oleh ummi pada malam ini.
“ Apa pulak malam ini, ummi?” soalku ingin tahu.
Ummi menggaris senyuman.
“ Abang Izwan nak adakan makan malam..”
Aku mengerutkan kening.
“ Sempena apa pulak?”
“ Eh.. sempena apa lagi? Ulang tahun abahlah..” jawab ummi lagi.
Aku tersentak.
Ulang tahun abah?
Aku menepuk dahi. Lupa pula pada hari istimewa abah itu. Selalunya, aku yang paling bersemangat untuk meraikan ulang tahun abah. Mungkin kerana dugaan yang kulalui membuatkan aku hilang kepekaan terhadap hal keluargaku sendiri.
“ Barang dah beli, ummi?” tanyaku dengan penuh teruja. Tiba-tiba pula benar-benar ingin turut serta dengan perancangan abang itu.
“ Nak harapkan Ilah? Lama sangat..” selamba ummi berkata.
Aku memuncungkan bibir tanda merajuk dengan ucapan ummi itu. Aku memang tidak menyanggah dengan tanggapan ummi itu kerana aku memang lalai dengan hal itu.
“ Habis itu, apa pulak Ilah kena buat malam ini untuk abah?” tanyaku dalam nada rajuk.
Ummi ketawa kecil lagi.
“ Dalam bilik, ummi dah beli baju istimewa untuk Ilah. Pakai untuk majlis makan malam kita dengan abah.. okey?”
Tanpa banyak alasan, aku mengangguk.

0 ulasan: