BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 28 Mac 2011

Bab 21-selendang biru

Berulang kali Syahazri mencuba membuka pintu yang tiba-tiba saja terkunci saat Khalilah masuk ke dalamnya. Hatinya merasakan ada sesuatu yang tidak kena terjadi di dalam. Bermacam cara dilakukannya tapi masih jua pintu itu tertutup rapat.
         Tangan dipanjatkan. Lalu do’a ditadahkan. Dibacanya Ayatul Qursy sebanyak 7 kali waqaf dan akhirnya dia berjaya membuka pintu. Dia bersegera masuk dan mencuba mencari Khalilah. Sayangnya, saat dia datang Khalilah sudah jatuh pengsan bersama selendang biru di badannya. Pantas saja dia meluru menghampiri Khalilah.
         Hairan, Khalilah masih bernafas. Matanya bergerak-gerak tapi tidak terbuka. Masih terpejam tapi tidak memandang. Hati Syahazri bertambah berdebar.
         Kenapa lagi dengan Khalilah? 
         “ Kenapa dengan Khalilah, Syah?” Izzah tiba-tiba saja datang menghampiri pemuda itu dan teman baiknya ada di pangkuan ustaz muda itu. Kerisauan jelas tergambar di wajah pemuda itu.
         Izzah yang masih kebingungan cuba menyedarkan Syahazri.
         “ Hello?” panggilnya sambil menayang-nayangkan tangannya di hadapan Syahazri.
         Syahazri membalas pandangan Izzah dan dia sempat melepaskan keluhan.
         “ Nampaknya, ‘dia’ dah pilih Khalilah..” perlahan pemuda itu menjawab.
         Dahi Izzah berkerut, lantas dia berpeluk tubuh.
         Izzah memejam mata. Terasa amat sakit kepalanya hinggakan berulang kali dia menggenggam kepalanya dengan kedua belah tangannya.
         Izzah menjerit nyaring.
         “ Apa cerita?” soal Izzah tiba-tiba garang.
         Syahazri tiba-tiba terkejut dengan suara itu. Izzah pula tiba-tiba ketawa lagi. Tawanya seolah-olah seperti orang yang menang dengan satu pertempuran. Syahazri mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan dua gadis di hadapannya. Mulutnya mula terkumat-kamit membaca sesuatu.
         Izzah menjerit kuat tapi tidak melawan. Berulang kali dia berkata panas dan akhirnya datang pula Tok Salim dan beberapa orang kampung.
         “ Ayah..” panggil Syahazri saat ternampak Tok Salim dan beberapa orang kampung mula memegang Izzah yang sudah lupa diri. Izzah nampak seperti kurang siuman. Dahinya berdarah kerana tadinya dia telah menghantukkan kepalanya di bucu meja. Entah kenapakah Izzah tiba-tiba berkelakuan aneh.
         “ Bawa Khalilah balik sekarang, termasuk selendang biru itu!” arah Tok Salim dengan tegas.
Syahazri pantas mengangguk dan membawa Khalilah bersama dalam dukungannya. Dia tiada pilihan lain. Dia yakin hatinya untuk Khalilah. Lantaran itulah dia merasakan risau dengan apa yang menimpa Khalilah saat ini. Dia mahu Khalilah selamat. Dia ingin Khalilah seperti pertama kali dia melihatnya. Dia tidak mahu Khalilah dibeban dengan ‘benda’ yang mengusik hatinya. Dia mahu Khalilah yang menjadi tulang rusuknya, srikandi yang akan bersama dengannya memperjuangkan agama dan mengejar redha ALLAH.
Tok Salim bertahan di rumah itu. Dia masih ada tugas untuk memulihkan Izzah kepada keadaan yang sedia ada. Izzah sebenarnya diperalat untuk mendapatkan Khalilah kerana si roh pemuja ilmu hitam yang juga pemilik rumah ini di satu ketika, telah datang kembali lagi kini. Misteri akan terjawab, mengapa dia memilih Khalilah jika mereka berdialog dengan roh jahat atau lebih tepat lagi jin yang sudah masuk ke dalam tubuh Izzah itu.
Setelah membaca beberapa potong ayat, Tok Salim bertanya.
“ Assalammualaikum..”
Izzah mempamer wajah selamba. Sesekali dia tersengih memandang insan-insan di sekelilingnya.
“ Kamu Islam tak?” soal Tok Salim lagi.
Izzah menggeleng.
“ Kenapa kamu kacau dia?”
Izzah ketawa.
“ Siapa kacau siapa?” soal Izzah sinis tapi bukan dengan nada suara Izzah yang selalu. Kali ini, lain benar nadanya. Bukan seperti selalu.
“ Kamulah..” balas Tok Salim.
Izzah menjeling marah.
“ Kamu tahu tak kamu makhluk ALLAH?”
Izzah diam.
“ Kamu tahu tak manusia lebih istimewa dari kamu?” tambah Tok Salim lagi.
“ Ya! Aku tahu!” marah Izzah. Seraya Izzah meronta-ronta minta dilepaskan. Melihat akan keadaan Izzah yang semakin berubah liar, Tok Salim membacakan lagi beberapa potong ayat dari surah-surah di dalam Al-Quran.
Izzah kedengaran menjerit lagi.
“ Kenapa kamu umpan dia?”
“ Sebab perempuan ini lebih dekat dengan pemakai selendang itu” jawab Izzah selamba.
“ Apa ada pada selendang itu?”
Izzah ketawa. Angkuh sekali nadanya.
“ Pemakainya akan menjadi permaisuri raja zaman kami..”
Tok Salim memegang ibu jari kaki kanan Izzah. Ditekannya dengan perlahan, Izzah menjerit nyaring.
“ Kerajaan apa?” soal Tok Salim.
“ Kaum kami..”
Tok Salim berasa risau tapi dia berusaha tenang. Nampaknya Khalilah di dalam bahaya. Kalau terlambat, mungkin roh Khalilah akan tinggal di alam mereka yang ghaib itu.
“ Kenapa kamu degil? Bukankah telah ALLAH ciptakan pasangan masing-masing dari kalangan kaum tersendiri? Kenapa melanggar hukum ALLAH dengan memilih manusia?”
Izzah diam. Atau lebih tepat lagi, makhluk yang berada di dalam tubuh Izzah itu tidak lagi bersuara.
“ Tahukah kamu, ALLAH telah ciptakan neraka yang di dalamnya ada api yang menyala-nyala?”
Izzah diam lagi. Wajahnya sudah berubah keruh.
“ Tahukah kamu siapa yang akan dibakar di sana?”
Diam lagi.
“ Makhluk yang mengingkari akan perintahNYA..”
Izzah menangis dengan tiba-tiba. Sayu sekali suaranya mendengar kata-kata Tok Salim.
“ Tahukah kamu, kamu juga akan dicampakkan di sana?”
Semakin kuat raungan itu. Tapi aneh, mata Izzah masih tertutup rapat. Nyatalah, ‘benda’ yang ada di dalam badannya masih mahu berkata-kata dengan Tok Salim.
“ Mahukah kamu menjadi sebahagian daripada kami yang akan selalu mendapat kasih sayang daripada ALLAH, TUHAN yang punya segala-galanya?” Tok Salim bersuara tegas memujuk makhluk TUHAN yang ghaib di pandangan mata itu.
Izzah mengangguk-angguk.
Tok Salim mengucapkan syahadah dan diikuti oleh Izzah.
“ Mahukah kamu berjanji tidak akan mengganggu jasad ini lagi? Sekali kamu mungkir, ALLAH akan menghukum kamu dengan seberat-berat hukuman..”
Izzah mengangguk.
“ Dengan habis bacaan Ayat QUrsy ini, kamu pergilah dan tinggalkan jasad ini. Kembalilah kepada kaummu dan bawa pulang roh manusia yang telah kamu bawa lari tadi..”
Izzah tidak mengangguk.
“ Kaumku akan membunuhku jika mereka tahu aku telah merubah agamaku..” balas Izzah.
“ Percayalah, ALLAH tidak akan mensia-siakan hambaNYA..”
Izzah tidak lagi menjawab.
Dengan kalimah bismillah, Tok Salim membaca Ayat Qursy. Diikuti beberapa potong ayat dari surah Al-Baqarah. Syahdu sekali suaranya, menyentuh sang hati.
Tidak lama kemudian, Izzah jatuh pengsan.
“ Alhamdulilah..” ucap salah seorang dari orang kampung yang datang membantu Tok Salim.
Tok Salim juga sama, mengucap syukur. Itu tandanya, makhluk itu sudah lari meninggalkan jasad Izzah. Masalahnya sekarang, Khalilah.
Selendang biru itu…
Tok Salim menghela nafas.
Ya ALLAH.. bantulah hambaMU ini. tanpaMU, tidakkan mungkin terjadinya sesuatu. Sebagai hamba, aku memohon untuk membantu diriku lagi.
Izzah sedar kemudian. Dia masih lemah lantaran lama bertarung dengan makhluk yang berusaha menumpang jasadnya.
“ Marilah kita berangkat..” ajak Tok Salim.
Izzah dipimpin oleh beberapa orang kampung yang terdiri daripada ahli surau perempuan.
“ Khalilah lagi..” bisik hati tua Tok Salim.

0 ulasan: