BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 28 Mac 2011

Bab 24-selendang biru

Kilat saling sabung-menyabung. Bacaan surah Yassin mula kedengaran sebaik saja sembahyang fardhu Maghrib berjemaah habis ditunaikan. Abah dan ummi Khalilah sudah sampai dan rata-rata wajahnya mereka berdua benar-benar kerisauan. Sayu hati sesiapa saja memandang keadaan Khalilah yang terbaring dengan mata terpejam tapi matanya mengalirkan airmata. Sejak dikhabarkan oleh Tok Salim akan keadaan Khalilah, terus saja abah dan umminya bergegas ke kampung. Memang sukar dipercayai keadaan ini tapi itulah yang terjadi.
“ Saya akan cuba semampu saya, berdoalah kita bersama-sama..” Tok Salim bersuara memujuk abah Khalilah untuk turut sama memulihkan keadaan Khalilah. Ummi sudah lama menangisi keadaan anaknya yang seperti mayat hidup. Terseksa jiwanya memandang anaknya itu dan dia sudah berulangkali disabarkan oleh Mak Siah.
“ Eloklah kita mulakan..”
Kesemua ahli surau kampung duduk mengerumuni jasad Khalilah yang terbaring. Dia kelihatan seolah-olah terikat dengan sesuatu. Yang amat menganehkan sekali, mengapa selendang itu sekejap bergerak-gerak dan sekejap ia berhenti?
Ia kelihatan seperti bernyawa!
Surah al-Fatihah mula dibaca. Syahdu sekali nadanya dan menyentuh hati sesiapa saja yang mendengar. Surah al-baqarah mengambil alih dan seterusnya surah Al-jin. Tangan Khalilah seolah-olah bergerak mengharapkan sesuatu tapi matanya masih terpejam.
Matanya terbuka sekejap tapi tidak berkelip lalu terpejam lagi.
Tok Salim menghela nafas berat. Tergeleng-geleng dia seketika kerana dirasakannya benda itu terlalu kuat melawannya. Lantaran tidak mahu kalah, Tok Salim menambahkan lagi bacaannya.
“ Dengan nama Allah yang menjadikan tujuh petala langit dan bumi, aku memohon kepadaMu ya Allah untuk meleraikan ikatan yang ada pada hambaMu yang telah diperdaya oleh sang Iblis Laknatullah. Aku bermohon kepadamu agar Engkau putuskan tali yang merantai jiwa gadis ini dan aku memohon kepadaMu, hancurkanlah segala kejahatan yang telah membelenggu hatinya yang terluka..” panjang mukadimah Tok Salim memulakan pengubatannya.
Guruh pula semakin kuat, angin kencang mula menyapa. Keadaan menjadi semakin menyeramkan hinggakan ada terdengar tangis.
“ Ingatlah wahai Iblis Laknatullah, sesungguhnya Allah telah berfirman kepada para Malaikat: Sesungguhnya Dia menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi, diseruNya segala malaikat untuk menyembah Adam kecuali kamu yang bersifat bongkak. Tahukah kamu bahawa kamu telah termasuk di dalam golongan yang kafir. Adapun orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Allah, mereka itu penghuni neraka dan mereka kekal di dalamnya..” dengan penuh tekun, khusyuk dan mendayu Tok Salim membicarakannya.
Tiba-tiba Khalilah bangkit dari tempatnya berbaring. Dengan pandangan tajam dan berlaga matanya merah menakutkan. Dia menjering nyaring dan mula mengamuk. Kesemua pembantu Tok Salim mula memegangnya dan berusaha untuk menenangkannya termasuk Syahazri sendiri.
Tok Salim merenjis air yang sudah dibacakannya dengan ayat Al-quran lalu Khalilah terjelepok jatuh. Matanya masih melilau tajam memandang insan sekeliling. Wajahnya berubah garang dan lain dari biasa.
“ Assalammualaikum..” sapa Tok Salim.
Khalilah menjerit marah.
“ Kenapa kamu kacau kehidupan aku?” marah Khalilah lantang. Dadanya berombak menampakkan rasa marah yang ditahannya.
“ Siapa yang mengganggu kamu?” soal Tok Salim, coba untuk mendamaikan keadaan.
Khalilah ketawa.
“ Dia milik aku. Mengapa kamu memanggil lagi jiwa yang sudah ada dalam genggamanku?” soal makhluk yang ada di dalam tubuh Khalilah itu.
Tok Salim menghela nafas. Degil sekali makhluk ini.
“ Saya ingin bertanya kepada kamu, adakah lagi yang lebih berkuasa selain Allah di muka bumi ini?”
Khalilah tersengih.
“ Aku!”
Tok Salim tergeleng-geleng kepala mendengar jawapan itu.
“ Tidak mungkin kerana kamu tidak mampu menghidupkan yang mati. Kamu tidak mampu mencipta manusia seperti mana Allah menciptakan manusia yang diamanahkannya untuk menjadi khalifah di buminya. Sedang kamu sudah dilaknat Allah sehingga hari pembalasan dan kamu akan menetap di dalam neraka jahannam..” Tok Salim menjawab dengan tenang.
Abah Khalilah pula mengambil tempat di sisi Tok Salim.
“ Lepaskan anak aku..” arah abah.
Khalilah ketawa.
“ Dia milik aku..”
“Dia hamba Allah.. bukan milik kamu. Kamu bukan penciptanya.” Jawab Tok Salim lagi.
“ Selagi dia memakai selendang yang telah dipuja dengan namaku ini, aku tidak akan melepaskan dia..”
Tok Salim terdiam. Ya.. dia hampir terlupa. Empat tahun yang lalu, kampung mereka memang pernah tergempar dengan kisah pengamal ilmu hitam yang benar-benar sesat. Dia meminum darah kambing hitam dan meratah ayam hidup-hidup. Setiap malam rumahnya kelihatan suram dan menakutkan dan diiringi dengan bunyi-bunyi yang aneh. Dan Tok Salim juga baru teringat bahawa rumah itulah tempat pengamal ilmu hitam itu terbunuh.
“ Apakah kamu roh yang tidak diterima langit?”
Khalilah mengangguk.
“ Makanya aku ingin memilih untuk berdampingan dengan manusia.”
“ Mahukah kamu perdamaian?” soal Tok Salim.
Dia menggeleng keras.
“ Aku berkuasa, mengapa kamu terus memaksa?”
Tok Salim merasakan dia tidak perlu lagi meneruskan dialog dengan makhluk yang nyatanya tidak akan mengatakan kalah itu. Dengan itu, sekali lagi Tok Salim membaca ayat al-Quran dan sekali lagi Khalilah menjerit panjang. Dia berusaha menolak tangan-tangan yang memegangnya dan hampir saja dia lari melewati muka pintu. Pantas saja dia dikejar oleh beberapa pembantu Tok Salim.
“ Syah.. kamu ambil selendang itu dan bakar bersama petinya di dalam rumah itu..” arah Tok Salim kepada anak mudanya itu. Syahazri tidak melengahkan waktunya. Dia menarik selendang yang ada di bahu Khalilah dan membawanya bersama menuju ke rumah tua itu. Dia ditemani dengan beberapa lagi anak muda yang merupakan temannya dalam kaedah rawatan menurut Islam itu.
“ Argh~~” Khalilah menjerit panjang dan dia jatuh pengsan lagi.

0 ulasan: