BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 25 Mac 2011

Bab 20-Selendang Biru

Setelah beberapa minit, kami sampai di hadapan pintu rumah penginapan aku dan Izzah minggu yang lalu. Dengan teragak-agak aku memulas tombol pintu, sayangnya berkunci.
Aku memandang Syahazri di sebelahku dengan wajah yang risau. Aku sungguh merasa susah hati dengan ketiadaan Izzah. Tambahan lagi selepas khabar yang Mak Siah beritahu, aku semakin tidak senang tingkah.
“ Betul Izzah ada di sini?” soal Syahazri.
Aku mengangguk. Lagipun, Mak Siah sendiri yang memaklumkannya kepadaku. Lantas, adakah aku punya jawapan lain lagi bagi pertanyaan itu?
“ Habis itu kenapa pulak pintu berkunci?” soalnya hairan.
Aku mengangkat bahu.
“ Tunggu sini, saya call mak dulu, mana tahu Izzah dah balik..” luahnya padaku.
Aku hanya mengangguk. Aku tidak tahu harus memikirkan apa lagi saat ini. Aku menghela nafas berat. Aku mencuba lagi memulas tombol pintu setelah Syahazri berlalu jauh meninggalkanku.
Praaakkk!
Pintu itu terkuak.
Aku tersentak. Tiba-tiba saja ia dapat dibuka. Tanpa menunggu lebih lama, aku menapak masuk seorang diri. Sebaik saja aku menapak pintu tertutup dengan keras. Terkejutku dengan bunyinya walaupun tidak kuat dentumannya. Tanpa memikirkan sebab mengapa ia boleh terjadi, aku terus melilaukan mata mencari kelibat Izzah.
Hampanya… tiada!
Aku terus berjalan mencari-cari. Dari satu ruangan hinggalah ke satu ruangan yang lain. Akhirnya langkahku mati di ruang tamu. Mataku terarah ke sebuah almari yang sederhana besar. Tertancap pandanganku pada sebuah peti.
Hatiku berdebar-debar dengan kencang. Antara berani dan tidak, aku menghampiri peti itu.
Dup! Dap! Dup! Dap!
Aku menelan liur. Ukiran peti itu sebiji dengan apa yang aku lihat di dalam cermin beberapa minggu yang lalu. Warna dan saiz besarnya juga sama.
Aku mengigit bibir.
Apakah aku harus membuka dan ambil tahu apakah isinya?
Meski terus berteka-teki tapi tanganku pantas saja membukanya. Pertama kali, aku tidak berjaya. Berulang kali kumencuba, tapi gagal. Hampir sajaku beralah dengan keadaan itu. Lantaran hampa, aku mengeluh dan cuba beredar dari situ.
Kriaaak!
Peti itu terbuka.
Dengan debar, sekali lagi aku menghampiri.
Sehelai selendang biru!
Terpegunku seketika memandang selendang berwarna biru itu. Sulamannya cantik, diselangi dengan benang emas dan beberapa ukiran bunga-bungaan yang cantik. Bagaikan terpukau dengan keindahan sulaman itu, aku menyentuhnya dengan rasa kekaguman. Khayalku seketika saat menyentuhnya.
Aku mengenakannya ke bahuku.
Aku tersenyum bahagia sambil memandang ke cermin besar berhampiranku.
Aneh!
Kenapa bayanganku di balik cermin itu seolah-olah aku sedang berada di zaman yang lama? Pakaianku, sekelilingku dan juga gayaku.
Seolah-olah aku berada di zaman kesultanan yang lama.
Aku menelan liur.
Meremang buluku dengan tiba-tiba.
“ Lilah!” panggil seseorang di muka pintu dengan cemas dan tergesa-gesa.
Saat berbalas pandangan dengannya, pandanganku berubah gelap. Yang aku tahu, kali terakhir aku memandang Syahazri dan dalam genggamanku, tersangkut selendang biru itu.

0 ulasan: