BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 25 Mac 2011

Bab 18-selendang Biru

Tanpa kata, tanpa suara aku masuk ke dalam kereta dan hanya duduk membelakangi Syahazri yang terang-terangan menunggu aku bersuara setelah dia tahu aku kelihatan amat sedih dan seolah-olah makin berduka. Meskipun dia teruskan pemanduannya dengan baik tapi aku dapat rasakan keresahan dan kerisauan hatinya saat ini. Kerap kali aku rasakan dia mengerling ke arahku tapi masih belum kepingin bersuara lanjut.
Sekeping kad yang ada di tanganku ditarik perlahan. Aku tersentak dengan keadaan itu pantas menoleh si gerangan. Pandangan wajahnya sukar kubaca tapi berubah tegang. Dia meletakkan kad undangan itu di atas dashboard tapi tidak lagi memandangku.
Aku mengeluh berat.
Suasana itu membuatkan aku terasa terkurung dengan rasa sedih yang sesungguhnya.
“ Dah puas nangis untuk dia?” soalnya, memecah kebisuan tapi dalam nada yang keras.
Aku mengetap bibir. Airmata yang tadi masih bertakung di mata, aku kesat perlahan. Aku tahu maksud pertanyaan itu. Walaupun ia kedengaran menyakitkan hati tapi aku tahu aku harus menjawab pertanyaan itu juga.
“ Awak tahu tak mungkin saat ini dia sedang bergembira dengan persiapan dia,. Tapi awak..”
Aku memandang tepat ke wajahnya. Mungkin kerana itu dia menghentikan kata-katanya. Tergaris rasa bersalah di wajah itu tapi aku tidak peduli. Setiap patah yang dia tuturkan semakin mencalar luka di hati ini. Bolehkah dia mengerti yang saat ini aku perlukan pujukan dan bukannya kemarahan?
“ Apa lagi yang boleh saya katakan?” balasku mendatar.
Pertanyaanku itu terlalu ringkas tapi mengapa dia mengambil masa yang agak lama untuk menjawabnya?
“ Kenapa perlu tangisi sesuatu yang takkan mungkin menjadi milik kita, Khalilah?” tanyanya pula dengan suara yang berbaur pujukan.
Aku tidak menjawab. Soalan itu terlalu payah untukku jawab.
Dia menghela nafas.
Aku menahan rasa. Aku hanya memejamkan mata untuk menghayati sisa kekuatan yang ada. Dan dia juga tidak lagi bersuara.
Kenapakah begitu mudah aku patah semangat?
“ Nak balik jugak hari ini?” soal Syahazri tiba-tiba.
Tanpa membuka mata, aku mengangguk. Tidak ada apa yang boleh aku terujakan di sini. Mungkin di kampung itu, aku akan mendapat kedamaian dan aku dapat rasakan anginnya seolah-olah menyeru namaku untuk segera datang.
“ Kalau awak rasa penat, beritahu saya. Saya akan ganti memandu..” pesanku perlahan.
“ Tak apa..” balasnya juga.
Aku mengetap bibir.
“ Saya banyak menyusahkan awak..” aku memulakan cerita. Apa yang ada di dalam hati ini, aku harus segera sudahkannya. Syahazri harus tahu apa yang kurasakan dalam hatiku ini. Aku tidak mahu terus-terusan dilanda kekusutan yang mendalam.
“ Perkara kecil..” balasnya dalam tawa bersahaja.
Aku tersenyum. Tercuit dengan respon selamba itu. Dalam pada itu, aku teringat peristiwa sewaktu di kamar mandi. Sewaktuku ternampak bayangan yang memanggilku di dalam cermin. Aku mahu menceritakan padanya. Mungkinkah dia tahu apa maknanya?
“ Erm.. awak..” panggilku masih berkira-kira mahu bercerita.
“Hmm..” sahutnya tanpa memandangku. Tumpuannya terus ke jalan hadapan.
Aku membetulkan duduk. Sesekali dia mengerling. Mungkin dia perasan betapa seriusnya mukaku saat ini.
“Apa yang meresahkan ni?” tanyanya.
Aku menelan liur.
“ Sebelum saya balik sini, saya ada nampak bayangan seorang wanita tua memanggil saya di dalam cermin. Dia menyuruh saya menerima pemberiannya itu. Dalam cermin itu, saya membalas dengan gelengan. Tapi, dia marah dan tiba-tiba membelah tangannya dengan sebilah pisau tajam akibat penolakan itu.. saya terkejut sangat. Banyak darah yang mengalir..” panjang lebar aku bercerita.
Wajah pemuda itu sudah berubah riak mendengar ceritaku.
“ Dimana rasanya peristiwa itu?” soalnya.
Aku diam dulu sebelum bersuara.
“ Rumah penginapan kami..” balasku perlahan.
Syahazri mengeluh. Wajahnya tergaris risau yang sesungguhnya.
“ Apa yang wanita itu beri?”
Aku memandangnya tepat.
“ Selendang biru..”

0 ulasan: