BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 21 Mac 2011

Bab 13-selendang biru

Kedatanganku agak lewat pada malam itu lantaran hujan turun dengan renyai-renyai. Rumahku sudah penuh dengan khemah-khemah untuk majlis perkahwinan abangku yang tersayang itu. Mungkin saat ini abang Izwan sibuk dengan persiapannya.
“ Sampai pun akhirnya..” ucap ummi bila nampak aku sudah keluar dari kereta. Aku segera menghulur tangan untuk bersalaman dengan ummi. Aku tercari-cari kelibat abah tapi tiada. Mungkin abah tenggelam dalam keramaian saudara-maraku yang datang untuk meramaikan rumah kediaman pengantin.
Tanganku tiba-tiba dipaut erat. Pandangan ummi jatuh ke wajahku dengan penuh makna.
“ Siapa?” soal ummi padaku sambil matanya tertumpu kepada pemuda yang sudah berdiri di sebelahku dengan senyuman sopannya.
Aku menggigit bibir. Terasa berat hati untuk memperkenalkan dia kepada ummi.
“ Syahazri..” beritahuku kemudian.
Kening ummi terangkat. Aku tahu. Ummi masih inginkan penjelasan lebih lanjut untuknya tentang dia.
“ Ajaklah masuk Ilah..” pelawa abah pula yang tiba-tiba muncul di antara kami. Demi saja nampak abah, dia menghulur tangan untuk bersalaman dengan abah. Wajah abah berseri-seri menyambut huluran itu. Dibawanya bersama masuk ke dalam rumah meninggalkan aku termangu di sini bersama ummi.
“ Fendy dah tahu?” soal ummi sambil memeluk tanganku, mengajak aku sama masuk ke dalam rumah.
Aku menggeleng.
“ Ilah dengan dia baru kenal ummi..” jawabku.
Ummi tersenyum.
“ Ummi tahu kisah Ilah dengan Fendy. Dia semalam ada datang jumpa ummi untuk beritahu kami yang Ilah dan dia dah tak ada hubungan..” ummi memulakan cerita.
Benarkah begitu?
“ Kenapa pulak dia perlu buat begitu?” tanyaku jengkel. Benci dengan sikap Effendy yang berpura-pura sopan di hadapan keluargaku itu.
Ummi hanya menggeleng-geleng mendengar jawapanku itu.
“ Apa kerja Azri itu?” soal ummi sambil mula melabuhkan punggungnya di ruang tamu bersama Mak Usu dan Mak Ngah. Mereka menyambut kedatanganku dengan senyuman.
“ Cikgu..” jawabku selamba.
“ Agama?” sambung ummi.
Aku mengangguk.
Ummi tersengih. Aku dapat rasakan ummi membuat telahan itu berdasarkan penampilan pemuda itu.
“ Baguslah, dapat jaga anak ummi ni..”
Aku mengerutkan dahi. Meskipun maksud ummi dapat aku fahami dengan jelas tapi aku sengaja menguji kesungguhan ummi mengusik anak perempuannya ini.
“ Jaga apa?” soalku buat-buat bodoh. Aku duduk di sebelah Mak Usu yang sibuk membungkus campur untuk hadiah malam berbedak abang. Dia dibantu oleh anak-anak perempuannya dan juga anak-anak Mak Ngah yang baru meningkat remaja itu.
“ Boleh bimbing jadi isteri solehah.. Boleh impikan syurga bersama..” lembut suara ummi masuk ke pendengaranku.
Aku tidak berkutik. Terdiam dengan hujah ummi yang nyatanya mempesona hatiku yang gundah.
“ Ada jodoh, tak kemana ummi..” balasku.
Susan, pembantu rumahku datang tiba-tiba membawa minuman panas dan kuih-muih. Ada bermacam-macam kuih yang terhidang. Seleraku mula bangkit melihatnya.
“ Hah.. bawa sedikit untuk Azri tu..” arah ummi serius.
Aku membuat muka.
Ummi menjengilkan matanya. Aku membalas dengan senyuman nakal. Malas mahu meneruskan niat mengusik ummi, aku menurut jua suruhannya. Aku sediakan secawan nescafe dan sepiring kuih untuk dihidang pada tetamu yang ummi maksudkan itu.
“ Terima kasih..” ucapnya sopan padaku.
Aku hanya mengangguk dan duduk di hadapannya. Lama kami diam sebelum dia memulakan bicara setelah beberapa kali minuman dihirupnya perlahan.
“ Abah awak pelawa saya bermalam di sini..” khabarnya.
Au tersentak dengan perkhabaran itu. Bukanlah sebenarnya aku tidak suka dia bermalam di sini tapi aku kurang senang jika terus-terusan berhadapan dengannya. Tambahan lagi, keluargaku ramai yang datang makanya aku sangat segan membiarkan dia terdedah di hadapan mereka. Lagipun, aku dan baru saja kenal. Aku bukan jenis yang mudah memperkenalkan lelaki kepada keluargaku kecuali dia yang kupilih sebagai teman yang paling rapat.
“ Keberatan?” soalnya.
Aku menelan liur. Kalau dikatakan aku keberatan, ya.. aku keberatan tapi untuk membiarkannya pulang semula ke kampung lewat malam begini aku rasa tidak sampai hati pula.
“ Abah dah pelawa.. “ balasku ringkas. Aku yakin dia tahu menyimpulkan maksud ayatku itu.
Dia menghela nafas.
Bahuku ditepuk agak kuat. Aku terkejut dengan tingkah itu. Aku memandang insan yang melakukan itu kepadaku.
Ah! Rupanya abang Izwan!
Dia memang suka menyakat aku dengan gurauan melampaunya. Memang sejak kecil lagi abang suka membuliku hingga rajukku berpanjangan.
“ Datang pun adik abang ni..” kata abang Izwan seraya mengucup dahiku di hadapan Syahazri. Aku rasa segan diperlakukan abang begitu walaupun aku tahu itu memang kebiasaan abang ketika bertemu denganku. Itu adalah antara tingkah yang menunjukkan dalamnya kasih sayangnya terhadapku.
Aku sempat mengerling ustaz muda itu dan nyata anak matanya dilarikan dari melihat perilaku abang itu. Abang pula dengan selamba duduk di sebelahku sambil meletakkan tangannya di bahuku.
“ Siapa ni Ilah? Tak nak kenalkan pada abang?” soal abang Izwan berbaur usikan.
Aku tersenyum manja. Aku mengalihkan pandangku kepada Syahazri dan memperkenalkan abang Izwan kepadanya.
“ Perkenalkan, pengantin kita..” ucapku. Serentak abang dan dia saling berbalas salam.
“ dan ini.. Ustaz Syahazri..” sambungku perlahan dan agak tersekat-sekat memandangkan sejalur garisan hairan bermain di wajah abangku itu.
Abang menggaris senyuman penuh misteri. Berbagai boleh aku tafsirkan disebalik senyumannya itu. Ada yang berbaur usikan, nakal dan juga hairan.
“ Dah lama kenal adik saya ini?” soal abang kepadanya.
Syahazri menggeleng.
“ Baru.. di kampung..” jawabnya sopan.
“ Oh.. so, malam ini kalau tak keberatan bermalamlah dulu. Datang majlis saya. Boleh kenal-kenal dengan keluarga kami.. kalau awak nak balik, dah lewat sangat..” lebar mesra abang bercerita seolah-olah sudah kenal lama dengan pemuda yang baru saja kukenalkan itu.
“ Insya Allah, kalau tuan rumah tak keberatan..” jawabnya berbahasa sedang matanya melirik kepadaku.
“ Tak apa.. Ilah ni, okey..” jawab abang bagi pihakku.
Aku hanya tersenyum kelat bila pandangannya singgah kepadaku. Kemudian aku mengangguk mengiakan kata-kata abang.
So, saya naik dulu sebab mak andam saya dah bising. Saya escape pun sebab nak jumpa adik manja saya ni..” pinta abang seraya mencubit kuat pipiku dan membuatkan aku terjerit kecil. Abang hanya ketawa meninggalkan aku yang sedang menahan sakit, penangan cubitannya itu.
Pemuda di hadapanku itu juga melepaskan tawa kecilnya. Aku menarik muka melihat tingkahnya yang seakan-akan menyokong perbuatan abangku itu.
“ Sukalah tu..” ucapku dalam nada yang merajuk.
Dia tersenyum nakal.
“ Taklah.. tapi memang manja..” balasnya bersahaja.
Eish! Geramnya!
“ Oh ya.. untuk esok, baju awak dah ada?” soalku mengalihkan tumpuannya dari terus-terusan mengusikku.
Dia diam sejenak. Kemudian menggeleng.
“Okey, kita sewa baju pengantin sajalah..” cadangku.
Dia mengerutkan dahi.
“ Baju pengantin?” soalnya kebingungan tapi seakan-akan dibuat-buat.
Aku menarik muka bosan. Aku tahu maksud pertanyaan itu adalah lebih kepada usikan.
“ Maksud saya, baju abang Izwanlah..” jawabku geram.
Dia ketawa dan kedengaran nakal.
“ Takut saya tumpang kahwin sekali?”
Aku mengangkat bahu.
“ Cemburu ya?” usiknya.
Aku menarik muka geram. Mengetap bibir menahan rasa saat dipermainkannya.
“ Tak kuasa!” jawabku seraya berdiri dari tempatku duduk itu daripada terus-terusan diusiknya.
Tapi dia terus-terusan ketawa hingga menghadirkan rasa sebal dalam hatiku.
“ Awak tak jawab pun saya dah tahu…” 

0 ulasan: