“ Ah… penatnya!” aduku sambil menghenyakkan badan ke sofa di ruang tamu. Majlis pernikahan abang sudah pun selesai. Hanya tinggal majlis persandingannya saja lagi yang akan diadakan esok. Penatnya hanya Tuhan saja yang tahu. Hari bertukar dari pagi ke senja untuk menamatkan majlis abang pada hari ini.
Syahazri pula sudah melabuhkan punggungnya di hadapanku.
Aku membetulkan duduk dengan sopan.
“ Awak nak minum?” soalku.
Dia tersengih nakal.
“ Fresh orange..” balasnya bersahaja.
Aku menjengilkan mata.
“ Macam order restoran nampak?” perliku.
Dia mengangkat bahu.
“ Dari awal lagilah belajar untuk patuh perintah..”
Aku mencebik. Aku tahu dia bermaksud menyindir aku yang nyata suka menjawab kata-kata siapa saja yang menyuakan pandangan atau pendapat walaupun suruhan kepadaku. Aku bukan apa, bagiku aku punya hak untuk menentukan segala arah tuju kehidupanku selagi tidak terikat dengan sesiapa yang boleh merubah hidupku.
Dia berpeluk tubuh di hadapanku tapi masih menanti aku bergerak dari tempatku duduk. Mahu tak mahu, dengan melihat tingkahnya itu aku pun bangkit dan menghadiahkannya dengan jelingan kerana berasa kalah padanya.
Tawa nakalnya membuat rasa geram singgah ke dalam hati. Aku berlalu ke dapur dengan hati yang sebal walaupun pada awalnya aku yang mahu menawarkan untuk mengambilkannya minuman. Aku mencapai gelas kosong dan membuka peti pintu ais. Aku mencari kotak jus oren dan menuangnya ke dalam gelas. Aku menutupnya semula dan kembali ke hadapan. Aku meletakkan gelas yang berisi air itu di atas meja di hadapannya.
“ Hah.. kan bagus.. Patuh!” pujinya seraya mengenyitkan matanya, nakal.
Aku hanya mencebik kerana pujian itu tidak lebih hanya untuk membeli jiwaku yang sudah mula didatangi rasa rajuk. Dia mencapai gelasnya dan meneguk beberapa kali sehingga gelas itu kembali kosong.
“ Awak balik hari ini?” tanyaku.
“ Hmm.. mungkin..” balasnya.
Aku diam.
“ Tak nak tunggu hingga majlis abang habis?”
“ Terpulanglah kalau saya diperlukan..”
“ Esok lepas majlis, kita balik sama-sama.. Kalau awak tak keberatan..” sambungku pula.
“ Kalau abah dan ummi awak kata okey, saya okeylah..” jawabnya pula.
Hatiku tersentuh dengan jawapan itu. Dia lebih mengutamakan keselesaan abah dan ummi daripada memikirkan perasaannya sendiri. Aku sendiri melihat betapa dia mencuba untuk menyesuaikan diri di dalam kelompok keluarga dan saudara-maraku.
“ Esok saya minta izin pada mereka..” beritahunya padaku.
Aku mengangguk.
Biarlah kalau dia mampu menawan hati abah dan ummi. Bagiku, itu sudah cukup. Apa yang aku pasti, aku ingin lenyapkan Effendy dari kamus hidupku. Aku ingin bangkit dari kekecewaanku. Aku bukan memilih dia untuk menebus kekecewaanku kerana Effendy tapi aku ingin memberi peluang kepada diriku sendiri untuk membahagiakan hidup dengan jalan yang lain.
Tapi.. Syahazri…
Janganlah terlalu baik kepadaku kerana aku tak mahu menyakiti sekeping hatimu. Aku takut tidak berlaku adil sekiranya ada waktu-waktunya aku lebih dingin dari salju. Bukankah nanti kau yang akan merasa sakit? Aku tahu dia bukan jenis yang mudah melafazkan kata-kata. Aku tahu dia bukan jenis yang senang memperlihatkan rasa tapi tidakkah aku terlalu naif untuk tidak memahami segala maksudnya?
“ Awak mempesona hidup saya.. Tolong selamatkan saya Siti Noor Khalilah..”
Aku memandangnya tanpa kata. Apa lagi yang aku ada untuk aku memperkatakannya? Tidakkah dia terlalu tergesa-gesa memilihku? Apa yang istimewanya ada padaku?
“ Beri saya waktu..” jawabku dan segalanya sudah di situ.
0 ulasan:
Catat Ulasan