Hari sudah mulai bertukar gelap. Burung-burung pun sudah pulang semula ke sarang. Matahari ingin beradu dan bulan muncul di malam hari. Bintang datang di kepekatan malam mencabar kegelapan malam dengan cahaya indahnya. Saat-saat inilah juga aku harus berangkat balik semula ke rumahku dan meninggalkan tugas di sini buat sementara waktu. Lebih kurang menyenangkan, aku terpaksa menerima suruhan Tok Salim untuk pulang ke rumah dengan dipandu pulang oleh ustaz muda itu.
“ Dah sampai nanti, jangan lupa telefon mak ya..” pesan Mak Siah sewaktuku menyambut huluran tangannya. Dia seraya menciumku dengan kasih sayang hingga terasa menusuk ke dalam hatiku. Pandanganku singgah ke wajah Tok Salim yang kelihatan serius tapi seakan-akan berat mengizinkan aku pergi.
“ Pandu elok-elok, Syah..” pesan Mak Siah setelah ustaz itu mengambil alih tempatku.
Izzah hanya tersengih melihatku. Rasa geram dengan sengihan nakalnya itu. Sudahnya, aku hanya membalasnya dengan jelingan.
Izzah melambai-lambaikan tangan setelah aku masuk ke dalam kereta milik ustaz itu. Aku hanya membalas dengan senyuman. Entah kenapa pemergianku kali ini seakan-akan aku tidak akan kembali lagi ke sini. Padahal, aku Cuma balik untuk hadir ke majlis perkahwinan abangku yang tersayang. Kalau bukan kerna permintaan ummi, aku memang tidak akan balik kerana tugasku masih belum siap sepenuhnya.
Kereta itu mula dipandu. Bergerak memecah kegelapan malam. Aku di sisi hanya dia membisu. Tanpa suara, tanpa idea untuk dikongsi sama membunuh kesunyian yang terhampar antara aku dan pemuda itu. Hambarnya, dia hanya memandu dengan tenang di sebelahku. Sesekali aku perasan lirikan matanya dari ekor mataku. Lagaknya ingin memulakan bicara tapi barangkali keberatan.
Aku menghela nafas berat dan melemparkan pandangan di luar.
“ Masih marah?”
Aku tersentak dengan soalan yang tiba-tiba itu. Pandangan kutumpukan kepadanya seketika sebelum menjawab pertanyaan itu.
“ Dah okey..” jawabku ringkas.
Dia ketawa kecil.
“ Maaf.. kalau buat awak kecil hati..” pintanya sopan.
“ Tak apa..”
Diam.
Argh…. aku boleh gila bila dilanda rasa ini sepanjang perjalanan balik yang memakan masa hampir 3 jam! Kenapa dia baik sangat mahu menghantar aku pulang?
“ Kenapa tiba-tiba balik?” soalnya memulakan perbualan sekali lagi.
Aku menelan liur. Terasa benar-benar kurang senang dengan keadaan ini.
“ Ummi saya suruh. Abang saya kahwin..” balasku.
“Awak bila?” usiknya.
Aku tersentak dengan pertanyaan eksklusif itu.
“ Belum sampai seru agaknya..” jawabku, menyahut usikannya.
“ Kalau ada orang datang meminang dalam waktu terdekat ni, macamana?” soalnya sedikit serius.
Aku tersenyum kecil.
“ Siapalah yang nak.. saya ni tak pandai masak.. Rugilah dia kahwin dengan saya..” jawabku mengusiknya.
“ Kalau nak makan saja, baik kahwin dengan tukang masak..” jawabnya selamba.
Aku mencebik mulut.
“ Tak dapat lagi, memanglah kata begitu.. Dah kahwin nanti, mulalah ungkit itu ini..” bebelku pula.
“ Hai.. cari pasangan untuk cari redha ilahi..”
Aku diam. Rasa terbuai dengan kata-kata indah itu.
“ Hmm.. tengoklah kalau dia dapat pikat hati ummi dan abah saya.. Okeylah macam tu..” jawabku seakan-akan pasrah dengan soalan itu.
Dia memandangku. Agak lama kerana jalan tertangguh disebabkan lampu isyarat berubah merah.
“ Dah ada pilihan?”
Aku mengangkat bahu.
“ Perangai menyakitkan hati.. saya rasa, takkan kemana pun hubungan itu..” balasku hambar.
Helaan nafasnya berubah berat. Tidak lagi menunjukkan tanda-tanda ingin meneruskan perbualan.
Aku memeluk tubuh. Hanya menyimpan harapan agar perjalanan ini segera tamat.
0 ulasan:
Catat Ulasan