BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 10 Disember 2011

BAB 12- O.R.K.I.D

Bab 12
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Pagi itu aku agak lewat bangun dari hari-hari biasa. Kemungkinan bilik Dhani ini terlalu memberi keselesaan kepadaku. Aku menggeliat dengan semahuku sebelum berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri. Lama aku mendiamkan diri di bilik air itu dan menikmati nikmatnya air dingin di waktu hening sebegini. Fikiranku menerawang terkenangkan Dhani. Mungkin Dhani masih lena diulit mimpi.
      Aku keluar kemudian dan bersiap. Aku memandang diriku ke dalam cermin yang wajahku nampak masih dalam kesedihan. Seharusnya aku kuat menghadapi hidup. Biarlah sedekat mana bayangan kesedihan menghampiriku, aku sepatutnya tersenyum menerima kehadirannya. Hidup adalah pelayaran. Meskipun angin kencang dan layar dilanda badai, aku harus meneruskan perjalanan untuk sampai ke destinasi yang harus kutuju.
      Jam di dinding kukerling. Masa masih awal untuk aku turun ke bawah menemui ibu. Pasti sarapan belum ada juga kalau-kalau aku terasa lapar saat ini.
      Aku mengetap bibir.
      Aku memerhatikan bilik Dhani dengan helaan nafas yang panjang. Hinggalah di satu sudut mataku terpaku pada sebuah kotak yang tersimpan tinggi di atas almari pakaiannya. Niatku meronta benar ingin tahu isinya. Sungguh menghairankan kerana hanya sebuah kotak itu saja yang diletakkan di tempat yang tinggi.
      Aku mengetap bibir mencari akal.
      Kenapa ia di situ dan apa isinya?
      Hatiku berbisik, untuk tidak mempedulikannya. Lantas, aku hanya mengangkat bahu dan berniat untuk mengemas biliknya hari ini. Bermula dari katil bersaiz king, aku membersihkan meja kecilnya termasuk kabinet kecil yang penuh dengan botol-botol minyak wangi. Di satu ruang, pergerakan tanganku terhenti.
      Ada sebuah album yang menarik perhatianku. Dengan jemari yang sedikit menggeletar, aku menggapainya. Hatiku berdebar tanpa irama pasti. Bermula dari helaian pertama, hatiku kembali tenang.
      Koleksi gambar-gambar Dhani sepanjangnya bertugas.
      Ada gambar yang dirakam ketika dia berada di disneyland, Eiffel Tower, Sydney dan banyak lagi. Nampaknya, suamiku ini sudah jauh merantau. Wajahnya nampak bahagia pada detik itu. Senyumannya juga nampak mempesona meskipun dia sekadar mengenakan pakaian yang ringkas.
      Aku menggaris senyuman sendiri.
      Masa kini, apa sedang dimimpikan suamiku?
      Aku menutup semula album itu dan menyimpannya di tempat asalnya. Sayangnya, pandanganku sekali lagi terpaku pada kotak berwarna merah itu. Antara berani dan tidak, aku menghampiri almari pakaiannya. Aku mengambil kerusi untuk mengambil kotak itu. Meski teragak-agak caraku namun hatiku digaru rasa ingin tahu. Meskipun hatiku rasa bersalah kerana mengambilnya tanpa izin tapi aku benar-benar ingin tahu.
      Aku memeluk kotak itu dengan kemas dan membawanya menuju ke sofa yang tersedia di dalam bilik itu. Aku meletakkannya di atas meja kaca tanpa membukanya lagi.
      Hatiku teragak-agak. Aku hairan kenapa ia disimpan di tempat tinggi itu sedangkan banyak ruangan yang lain masih kosong dan sesuai disimpan kotak ini.
      Aku menggigit bibir.
      Hatiku dipagut resah. Antara berani dan tidak aku meletakkan jemariku di atas penutup kotak itu. Berulang kali aku memujuk hati untuk membukanya saja.
      Dengan kalimah bismillah, aku membukanya. Mataku terpaku tanpa berkedip.
      Kenapa banyak benar koleksi gambar-gambarku di sini?
      Bermula dari gambarku kecil, ketika sekolah rendah, gambar ketika sekolah menengah, gambar ketika di universiti hinggalah gambar di hari pertunanganku bersama Fahrin, semuanya ada di sini.
      Berapa lama sudah Dhani mengintip gerak hidupku?
      Aku menahan rasa.
Berbaur-baur perasaanku jadinya. Rasa marah ada kerana dia menganggu privasiku dengan cara curi-curi begini dan rasa bahagia ada kerana dalam diam Dhani memang meminatiku. Kesemua gambarku yang menjadi koleksinya hanya kepada gambar yang lebih kepada menggaris senyuman.
      Dimana agaknya Dhani dapat semuanya?
      Satu persatu gambar-gambaku itu kuteliti. Di setiap gambar ada coretannya tersendiri. Tersenyum-senyum dan tercuit hatiku membaca segala coretannya.
      ‘ Sara..’
      Itu coretan pada gambar ketika aku menyambut ulang tahun ke 15. Masih muda remaja lagi. Membuat aku malu sendiri kepada Dhani kerana memiliki koleksi gambar ketikaku masih kecil.
      ‘ my pretty lady’
      Aku ketawa kecil. Ini gambar ketika aku menjadi pengapit waktu Mak Usu kahwin. Gaun yang dikenakan kepadaku nampak menarik. Aku sudah lupa dimana aku meletakkan gaun ini. Waktu inilah abah memaksa aku menjadi pengapit mak Usu kerana mak Usu yang mahukan aku mendampinginya. Aku masih ingat pujian dari keluarga pak Usu.
      ‘ Mungkin hatinya seteguh pantai dan aku ingin hadirkan rinduku melalui desiran ombaknya. Bilakah detik itu tiba, Maisara?’
      Aku tersengih pula.
      Tidak sangka suamiku itu jiwang!
      Banyak gambar yang diambil Dhani berasal dari album yang kurasa tersimpan di ruang tamu rumahku di kampung.
Senyumanku tiba-tiba mati saat terbaca coretannya pada gambarku saat jemariku disarungkan cincin pertunangan bersama Fahrin dulu.
      ‘ Hatinya sudah termiliki. Andai ada peluang, aku ingin mencintaimu’
      Menitik airmataku membaca coretan itu.
      Dhani.. kenapa berani benar menyentuh dasar hatiku?
      Aku tersandar sepi.

2 ulasan:

Zass berkata...

i like it.. best sangat awak!!

cactaceous opuntia berkata...

no wonder dhani xnk org len msuk bilik die...ayh sara da lme tw ke ek dhani suke sara