Bab 9
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
Jam hampir menuju ke angka dua belas tengah malam. Keluarga Dhani baru saja pulang dari sini. Seronok benar meluangkan masa bersama keluarganya. Aku terasa benar-benar diterima sebagai menantu di dalam keluarganya.
“ Bila abang mula kerja?” soalku sambil mengemas bekas gelas yang masih berselerak di atas meja. Wajah anak-anak Kak Shila bersama abang Anuar masih terbayang dalam ingatan.
Comel sungguh.
“ Lusa..” balas Dhani yang sudah melabuhkan punggung di atas sofa dan bersandar. Mungkin dia lelah kerana seharian melayan karenah keluarganya yang datang bertandang tadi.
“ Pakaian abang, Sara belum kemas lagi..” sambungku sebelum berlalu ke dapur. di dapur aku terus membersihkan bekas yang kotor itu dan kembali semula ke ruang rehat. Aku terpandang Dhani yang sudah terlelap di situ.
Aku mengukir senyuman kecil.
Pasti suamiku itu lelah benar kerana tertidur di situ. Aku berniat untuk mendekatinya yang sudah nampak lena itu. Perlahan-lahan aku melabuhkan punggung jua di sebelahnya. Aku dapat mendnegar dengan jelas deru nafasnya yang teratur.
Hatiku tertanya-tanya.
Kenapa Dhani nekad memilihku?
Aku meletakkan kepalaku di dadanya dengan perlahan. Ingin mendengar degup jantungnya saat dekat denganku. Bergetar halus dan indah. Aku pantas memeluk tangannya dengan berhati-hati. Bimbang akan membuatnya terjaga. Aku kemudian memejamkan mata dan ingin membawa dia singgah ke dalam bayangan gelapku.
Kenapa bayangan Fahrin masih lagi muncul?
Ya TUHAN.. berapa lama lagi aku harus menahan rasa kecewa di dalam dada?
Aku terus merapatkan pejaman mata. Aku menyematkan niat di dalam hati ingin memohon restu TUHAN memberi hati ini kepada suamiku. Tanpa kuduga, kepalaku diusap perlahan. Aku pantas membuka mata dan mengalih pandangan kepada suamiku itu.
“ Kenapa Sara?” soal Dhani perlahan.
Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala saja. Aku tidak mahu berbicara hati ke hati dengannya kerana belum bersedia merungkai segalanya.
“ Sara..”
Aku diam menanti dengan sabar ungkapan yang ingin dilafazkannya.
“ masih ingin sambung belajar?” soal Dhani.
Mukaku bercahaya.
Itu impianku sebelum ayah tiada dan sebelum terikatnya perkahwinan ini. Pantas saja aku mengangguk. Takut juga kalau tiba-tiba saja Dhani menghalang niatku itu.
“ Abang izinkan?”
Dhani mengangguk bersama senyuman. Aku pantas mencium pipinya. Itu tanda aku gembira benar dengan keputusannya.
“ Terima kasih..”
Dhani hanya mengangguk tapi bening matanya seperti sedang menyembunyikan sesuatu.
Apakah dia rela dalam paksa?
“ Sayang..”
Aku mengeratkan pelukan.
“ Janji.. jangan lukai hati abang yaa..” pintanya bersungguh-sungguh membuatkan aku terkedu. Pantas aku melonggarkan semula pelukan dan memandangnya tanpa kelip.
Apakah itu yang Dhani rasa bila bersamaku?
“ Sara lukai hati abang?”
Dhani diam.
Aku menghela nafas.
“ Abang takut bila kita berjauhan, Sara lupa pada abang..”
Aku menelan liur dengan payah. Aku bukan seseorang yang mudah melupakan insan lain yang hadir dalam hidupku dengan mudah. Apatah lagi dia seseorang yang paling dekat dalam hidupku.
“ Abang curigai Sara.. kan?” soalku dalam suara yang tertahan. Bukan ingin menangis tapi terasa tercabar pada kenyataannya.
Setega itukah aku berniat untuk mencurangi ikatan yang baru kami bina ini?
Aku menggenggam tangan dengan kuat. Membara rasa marah di dalam di hati walaupun aku sedar Dhani bukan berniat untuk menuduh aku begitu.
“ Sara… please. Abang tak maksud begitu..” pujuknya sambil meraih tangan kananku.
Aku tidak berkutik.
“ Cepat atau lambat.. Sara akan terima abang..” balasku dengan berani. Entah benar atau tidak apa yang kuluahku itu. Hatiku masih sangsi. Bukan mudah untukku menyerahkan hati ini.
Dhani menggaris senyuman.
“ Dah lah.. kita jangan sentuh soal ini lagi. Abang nampak penat.. abang masuk tidurlah..” arahku sambil menariknya untuk bangun dan menemaniku naik ke tingkat atas.
“ atau sebenarnya Sara takut nak naik seorang?” balasnya selamba namun langkahnya diatur jua menemaniku.
“ Dah tahu, kenapa tanya?” balasku.
Dhani melepas tawa.
“ Habis tu.. Sara takutlah tinggal seorang nanti?”
Aku tidak menjawab pertanyaan itu tapi sibuk membongkar isi pakaian Dhani dan pakaianku yang masih kemas di dalam bagasi. Sengajaku lengahkan pertanyaan itu walaupun pandangan Dhani seperti masih inginkan jawapan daripadaku.
“ Sara.. abang tanya ni..”
Aku terus leka melipat baju-bajunya dan mengemasnya ke dalam almari. Baru hari ini juga aku tahu bahawa suamiku ini seorang juruterbang. Betapa saat ini perasaanku berbaur pula jadinya. Saat terbayang dia selalu bergandingan dengan para pramugari yang cantik-cantik.
Eish!
“ Baju abang ni Sara sediakan esok..” khabarku sambil menutup almari. Pastilah saat ini aku lebih senang memilih untuk berehat saja kerana lelah benar dengan aktiviti seharian yang kami lalui bersama keluarganya.
“Tu yang abang nak dengar tu..”
Aku tidak membalas jawapannya.
“ Lusa abang hantar Sara ke rumah ibu..”
Aku terus berpaling demi saja mendengar kata-katanya itu.
“ Kenapa?” soalku.
“ Abang tak nak tinggalkan Sara seorang di sini. Setiap kali abang duty, Sara mesti tinggal di sana.. okey..”
Aku sekadar mengangguk. Demi menjaga hatinya, aku rela. Biarlah dia begitu berhati-hati dan ingin benar mengawasiku. Aku senang begitu. Tambahan lagi, detik ini juga aku harus sedar bahawa aku bakal selalu ditinggalkannya di balik awan biru.
Aduhai..
“ Sayang..” bisik Dhani.
Aku terkejut bila tiba-tiba saja Dhani sudah ada di belakangku. Deru nafasnya hangat saja di tengkukku. Seram dingin rasanya bila dia begitu. Rasa gundah mula menular ke dasar hati.
Tangannya tiba-tiba singgah ke pinggangku. Makin lama makin erat. Aku hanya mampu membeku di situ tanpa bergerak.
“ Sara..”
Aku sekadar menggumam. Terpesona dalam belaian redup kasihnya. Jiwaku seakan-akan enggan saat ini berakhir begitu sahaja. Tiba-tiba saja naluriku ini seperti menginginkan sesuatu.
“ Boleh tak?”
Aku masih terdiam.
Soalan itu sungguh ringkas namun maksudnya sangat dalam dan penuh makna.
“ Abang dah lama tunggu.. Izinkan abang?”
Aku terus tersedar bila pelukan Dhani semakin erat. Aku seperti kehilangan punca saat tiba-tiba saja suasana berubah semakin romantis.
Kemana lagi hendakku bawa diriku pergi?
1 ulasan:
owh...sara nk smbung...alahai...hopefully xde la pminat2 msteri sra nti...huuu
Catat Ulasan