BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 25 Disember 2011

bab 29- O.R.K.I.D

Bab 29
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      “ Hairankan yang.. boleh terserempak Fahrin di sini..” Dhani memulakan kata setelah lama dia diam sepanjang perjalanan kami menuju ke rumah yang sudah disewanya. Pertanyaan itu benar-benar mengguris hati dan perasaanku.
Apakah maksud Dhani dia curiga kepadaku?
“ Bagus soalan tu..” sahutku sambil membuka tudung dan meletakkannya di atas sofa. Biarlah kedengaran sinis dipendengarannya. Andai dia tahu apa yang ada dalam fikiranku, pasti Dhani tidak akan menyentuh soal tadi.
Aku tidak pasti, kalau Dhani ingin meneruskan niatnya untuk membincangkan perihal terserempak dengan Fahrin tadi mungkin Dhani akan terluka olehku kerana aku terasa tertekan benar saat ini.
Salahkah Dhani bersabar saja?
“ Sayang.. abang tak maksud nak curiga..”
Aku sekadar memejam mata mendengar dia berkata. Aku terasa penat kerana penerbangan tadi dan bertambah penat lagi kerana terkejut dengan kehadiran Fahrin di bumi Perancis ini. Apatah lagi, di kota Paris yang kutunggu-tunggu detiknya untuk kukunjungi.
“ Terus terang Sara katakan, soalan abang buat Sara terluka..” sahutku tanpa memandangnya.
Dhani mula melabuhkan punggung, duduk di sebelahku. Dia menyentuh bahuku agar memandang dia yang ada di sisi.
“ Boleh tak abang percaya yang hati Sara kini untuk abang?” soalku mendatar. Kali ini ingin menangis pula. Mungkin kerana sedari tadi aku berlagak kuat, seakan-akan kehadiran Fahrin tiada memberi impak di hatiku saat itu.
Dhani sebelahku tidak berkutik.
“ Abang tak percaya Sara?” soalku lirih.
Dhani masih begitu.
Membisu.
“ Sara bukan mengaku begini sebab nak jaga hati abang tapi memang itu yang Sara rasakan sekarang..” sambung lagi.
Dhani masih tidak membalas.
Apa yang sedang dia fikirkan?
Aku mengeluh.
Aku tiada pilihan lain selain berlalu dari situ, meninggalkan Dhani sendiri. Mungkin suamiku itu perlukan waktu untuk berfikir. Aku memilih untuk berkurung saja di bilik. Aku sempat mengunci pintu sebelum aku berlalu ke birai katil.
Jujur saja aku katakan, tingkah Dhani membuat aku kecewa.
Dia tidak seperti selalu.
Tidak memujuk.
Tidakkah Dhani tahu, hatiku kini ingin dijaga dan dipujuk lantaran Fahrin sekali lagi mencalarnya?
Puas sudah aku mengalah pada kata hati. Ingin beri peluang mengecap bahagia sekali lagi bersama insan baru. Lantas hati memilih Dhani sebagai pengganti. Saat aku sudah rasakan bahagia, kenapa Fahrin datang lagi? Aku penat menyimpan kenangan. Aku lelah menghimpun kekuatan. Sudah lama aku lemah kerana bahana cintanya.
Salahkah aku ingin bebas dari belenggu itu? Perlukah lagi aku gadaikan airmata demi menebus segalanya? Perlukah aku korbankan hati dan perasaan sekali lagi sedangkan aku perlu sokongan untuk terus bertahan.
Di situ, aku menangis lagi.
Airmataku seakan tiada berharga. Serapuh itu hatiku. Aku sudah paksakan hati untuk lupakan segalanya dan leraikan segalanya.
“ Sayang..”
Suara Dhani membuat aku tersentak. Suara itu kedengaran perlahan dari luar bilik. Berulang kali dia mengetuk pintu namun aku masih kaku di situ.
Sebegitu mudah Dhani membuang airmataku.
Bukankah dia pernah berjanji untuk menjagaku meskipun aku tidak cinta padanya?
Kini aku sudah rasakan apa yang dia rasakan.
Kenapa janjinya seperti hanya janji saja?
“ Sayang.. abang minta maaf..” rayunya perlahan membuatkan hatiku tersentuh.
Bersungguh benarkah dia melafazkannya?
Aku mengesat airmata dan berlalu untuk membuka pintu. Demi saja pintuku buka, Dhani terus menarik aku ke dalam pelukannya. Aku kaku dilakukan begitu.
Dhani mencium dahiku, lama.
Aku dapat rasakan kasihnya dalam kepadaku.
“ Abang tak ada niat nak tambah luka di hati Sara.. tak sedikit pun sayang..” luah Dhani bersungguh-sungguh membuatkan aku kembali meneruskan tangis.
Aku tahu Dhani memang begitu. Kalau dia tidak ungkapkan lagi pun aku memang sudah rasakan kasihnya amat dalam buatku. Namun, aku senang tidak menyampuk kata-katanya walau sepatah.
“ Abang takut Sara akan tinggalkan abang untuk dia…”
Mendengar ungkapan itu aku terus merenggangkan pelukan. Semudah itukah Dhani menganggap hatiku berubah? Securiga itukah Dhani kepadaku?
“ Setelah apa yang kita lalui bersama, abang boleh terfikir lagi Sara akan lakukan benda bodoh begitu?” tanyaku dengan marah.
Kali ini, pasti Dhani akan melihat dan mendengar aku marah sama seperti kali pertama aku marah padanya saat abah menolak keinginanku untuk menyambung belajar, ketika dia menemuiku berhampiran pantai di kampung.
Dhani di hadapanku sekadar merenungku dengan rasa bersalah.
Aku mengigit bibir dengan kuat. Bertingkah-tingkah rasaku saat ini. Berani benar Dhani menyimpan curiga kepadaku. Kalaulah aku masih inginkan Fahrin, sudah lama aku tinggalkan dia dulu lantaran Fahrin sendiri berulang kali memohon maaf kepadaku dan ingin menjernihkan keadaan.
“ Sara tak sebodoh yang abang sangkakan..”
Aku berpeluk tubuh memandangnya. Membuak-buak rasa marahku kepadanya lantaran lancang sekali dia melafazkan ungkapan itu kepadaku. Walaupun Dhani hanya meneka tapi aku kecewa benar kerana kepercayaannya kepadaku nampak tergugat dan pudar.
Dhani menarik tanganku tapi aku sekadar kaku. Sengaja aku mengeraskan pergerakan sebagai tanda protes dengannya.
“ Abang suka kita keruhkan keadaan begini kerana Fahrin?” tanyaku lagi seraya menolak tangannya.
Dhani tidak menjawab pertanyaanku itu.
“ Kalau abang nak kita bincangkan hal ini, okey.. Sara bersedia..”
Dhani masih diam. Tingkahnya itu membuatkan aku terkilan. Aku dapat rasakan Dhani menaruh curiga kepadaku. Caranya itu seakan menuduh aku yang mengkhabarkan kepada Fahrin yang aku sudah tiba di Paris ini. Seakan aku sudah merancang segalanya di sini.
Apakah kerana dia dan kami berdua menaiki penerbangan yang sama? Atau kerana jadual penerbangan yang sama dan destinasi yang sama?
“ Abang seakan lupa pada hal kebetulan..” sambungku akhirnya bila sekali lagi Dhani masih tidak membalas segala ucapanku.
Aku pasrah dengan Dhani.

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Dhani... Jgn curiga ngan sara
Fahrin.. Sila berambus!!!!

Asmidar

Tanpa Nama berkata...

Inilah yg di namakan dugaan, bukan senang nak mengukuhkan kebahagiaan rumahtangga...apa lagi Dhani dan Sara tidak pernah bercinta sebelum ini.
Percaya dan mempercayai serta tolak ansur adalah perlu dlm perhubungan.
Semoga Dhani tidak cepat melatah
dan Sara pula cuba letakkan diri dlm situasi diri Dhani....fikirkan dan fahaminya.

~ kak min ~

Tanpa Nama berkata...

Itulah dinamakan dugaan. Bukan mudah untuk mengukuhkan kesejahteraan rumahtangga.
Kepercayaan dan tolak ansur adalah penting dlm sebuah perhubungan.

Dhani jgnlah cepat melatah dan Sara pula cuba meletakkan diri dlm situasi Dhani.....fikirkan dan fahami perasaannya.

~ kak min ~

Tanpa Nama berkata...

cter nie best sngt,,
best la dpt suami yg romantik mcm dhani..




aira myra

Tanpa Nama berkata...

cepat sambung citer ni..nk tau apatrjadi pada sara dan dhani...fahrin sila jgn ganggu kbahagiaan mereka...

Mrsjunne berkata...

mana lg sambungan cter ni kakak..xsabar nk bace.huhu