BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 25 Disember 2011

bab 28- O.R.K.I.D

Bab 28
O.R.K.I.D
(ombak rindu kita indah desirannya)
… tunggu aku kembali
      Akhirnya aku sampai jua memijak bumi Perancis setelah berjam-jam di dalam perut kapal terbang. Aku terpaksa menanti Dhani di lapangan terbang sementara dia masih ada urusan lain dengan krew penerbangan. Dhani sengaja mengambil tugas sementara kerana kebetulan saja dia ingin sama ke sini, makanya dia memilih untuk jadi pemanduku.
Sanggup benar dia melakukan apa sahaja untuk menawan hatiku.
Setelah membuat pengesahan pasport, aku duduk di sebuah bangku menanti suamiku itu dengan sabar. Aku menantinya dengan menikmati secawan coklat panas.
      Memang sedap ketika musim dingin begini.
      Sedangku menanti Dhani, aku disapa lagi oleh seseorang.
      “ Sara?”
      Aku menoleh.
Sekilas pandang lalu aku mengalihkan tumpuanku. Aku tidak ingin bertemu dengannya. Aku tidak pasti sama ada dendamku sudah hilang atau aku takut akan ada bunga-bunga cinta yang mekar semula.
Aku sekadar menanti Fahrin meneruskan kata-katanya.
“ Boleh saya duduk?”
Aku pantas menggeleng kerana tidak mahu Dhani berasa curiga kalau-kalau tiba-tiba muncul pula di sini. Peduli apaku kalau Fahrin fikir aku sudah sombong atau biadab padanya.
Sejujurnya saja, kehadirannya mengusik hati wanitaku. Sedaya-upaya aku menahan getaran ini kerana aku selalu mengingatkan bahawa hatiku milik Dhani dan bukan dia lagi.
“ Tak sangka kita berjumpa di sini, kan..”
Kenyataannya itu membuatkan aku semakin meluat mendengar setiap patah perkataan yang keluar dari bibirnya. Seakan sengaja meraih simpati dan juga perhatianku lagi.
“ Sudahlah Fahrin.. jangan buang-buang waktu lagi..” balasku perlahan namun aku yakin ia cukup menghiris kepingan hatinya. Aku sengaja melarikan anak mata kerana bimbang dia akan menebak apa yang ada di hatiku.
“ Sara.. susahkah awak nak jernihkan semuanya?”
Aku terasa ingin menyumpah seranah saja dia di sebelahku itu. Soalan itu bodoh benar dan aku rasa buang masa melayannya.
“ Awak ingat semua perkara boleh diselesaikan sebegitu mudah?” tanyaku dengan suara yang tertahan. Gusar ia kedengaran lantang pula kerana sedang beradaku di tempat terbuka.
Ah.. kenapa perlu terserempak lagi di sini?
“ Hati awak.. milik saya dan saya ingin tuntutnya kembali..”
Aku ketawa sinis mendengar kata-katanya itu. Bodoh benar ungkapannya itu.
“ Suatu ketika dulu, Fahrin..” aku membalas, memperbetulkan tanggapannya yang nampak sama sekali bercanggah benar dengan apa yang kurasakan dan alami sekarang.
Fahrin dengan berani menapak di hadapanku pula.
Aku menahan getaran.
“ Pandang mata ini, Sara..” pintanya tegas.
Gila?
“ Apa hak awak?” marahku. Fahrin semakin berani tidak menghormati aku sebagai isteri orang.
“ Tidakkah awak nampak sinar rindu di sini?” soalnya perlahan, cuba memukau kembali suasana hening di antara aku dan dia. Hatiku semakin tercalar dengan pertanyaan itu.
Kenangan apa lagi yang ingin disentuhnya?
“ Saya dah maafkan awak. So.. selesai..” jawabku dan terus berdiri saat terpandang Dhani yang melangkah segak menghampiriku. Aku nampak wajahnya berubah dan aku pasti dia hairan melihat Fahrin ada di sini.
Apakah yang sedang bermain di fikiran suamiku itu?
Aku menggaris senyuman, menyambut huluran tangan suamiku itu di hadapan Fahrin.
“ Well.. sejauh ini awak kejar Sara?” soal Dhani dengan tiba-tiba. Kelihatan tenang dan bersahaja namun hakikatnya aku tidak tahu. Aku hanya mampu memandang dia dan Fahrin silih berganti. Kebisuan mereka seakan tersimpan 1001 makna tersendiri.
“ Kami ke sini ada tujuan tersendiri dan saya harap, awak juga begitu..” sambung Dhani lagi seraya menarik tanganku untuk mengikutnya berlalu.
Aku sempat mengerling wajah Fahrin yang nampak keruh.
Ah..
Kenapa lagi hati ini?

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Fahrin ni mmg nk kena blasah la

Asmidar

Miss FF berkata...

ntah.. tak tau malu betul.. sibuk je nak kacau org.. jom kita ramai2 bawak geng gi belasah sama dia.. ha3..