“ Kenapa pilih hotel?” tanya Iman setelah tahu persandingan kami akan diadakan di hotel bertaraf 5 bintang itu. Dengan nada suara tegang dia menanyakan aku pertanyaaan itu. Hari yang lalu dia juga yang memberikan aku kebebasan untuk memilih tempat, alih-alih hari ini dia marah-marah pula.
“ Habis itu?” tanyaku sebal sambil menjemur pakaiannya di luar vila.
Dia mendengus.
“ Cancel....” ringkas saja jawapannya.
Aku memandangnya sekilas. Sakit hati rasanya dengan jawapannya yang bersahaja itu.
“ Saya malaslah nak urus..” lalu aku berlalu masuk ke dalam vila.
Aku yakin dia tahu sebenarnya yang sebahagian daripada urusan majlis ini mama yang cadangkan. Aku hanya mahu mengikut lantaran aku tidak ada rasa teruja dengan perkahwinan ini. Jujur aku katakan, aku malas mahu menemani mama untuk menjayakan majlis ini. Sedangkan Iman sendiri hanya lepas tangan, inikan aku pula? Aku tahu, Iman sendiri keberatan dengan perkahwinan ini. Aku sendiri tahu bahawa perkahwinan ini terjalin disebabkan Iman mahu mengambil hati mama atau kalau telahan saya betul, demi menjaga kesihatan mama yang lewat ini ada perubahan.
Ding dong!
Omelan hatiku terganggu dengan deringan loceng vila itu. Hampir saja aku terkejut dengan bunyi yang tiba-tiba saja. Lantaran rasa geram, aku bergegas membuka pintu luncur di hadapanku itu.
Pang!
Satu tamparan kuat singgah ke pipi kiriku. Terdorongku jadinya dengan pukulan itu. Perit rasanya hinggaku rasakan kebas sekejap. Aku memandang gerangan yang berani melakukan itu kepadaku. Panasnya hati hanya aku yang rasa, hanya aku yang tahu.
Kurang ajar!
“ Itu pengajaran yang pertama kerana you dah rampas Iman dari I” lantang suara perempuan di hadapanku itu berkata.
Rampas Iman?
Termanguku seketika mendengar kenyaaan itu. Aku meneliti perempuan itu dari atas hingga ke bawah sambil berpeluk tubuh. Ini agaknya perempuan yang ingin Iman kenalkan kepada mama sewaktu pertunangan anak Pak Ngah.
“ Maya?” suara Iman kedengaran perlahan di belakangku. Wajahnya kelihatan terkejut. Mungkin dia tidak menyangka kedatangan perempuan itu ke sini. Pandanganku, pandangannya saling silih berganti. Ada riak kurang senang di situ.
Maya!
Perempuan itu pantas meluru memeluk Iman di hadapanku dengan tangis yang teresak-esak. Rasa meluat aku menyaksikan adegan sedih yang sengaja itu.
“ Vila ini milik saya, orang yang tidak berkenaan silalah angkat kaki kalau tidak ada urusan dengan saya..” sinis aku berkata dan berpaling dari arah itu.
“ Dia hina I, Iman..” adunya dalam tangis.
Tanganku ditarik Iman. Wajahnya tegang memandangku. Aku merentap tanganku yang digenggamnya. Langkahku mati begitu saja.
“ Boleh tak sopan?” tanya Iman perlahan tapi menyakitkan hati.
Aku menggeleng.
“ Sebaiknya awak katakan itu kepada perempuan gila yang datang tiba-tiba ini!” sahutku dengan suara yang sedikit tinggi.
Maya tiba-tiba saja menolak bahuku dengan wajah garang.
“ I tak gila! I girlfriend Iman!” garang dia bersuara, tanpa tangis dan tidak tahu malu.
Aku mengangkat bahu.
“ Kalau tak keluar, saya akan saman awak!” sedaya upaya aku menahan rasa marah yang baru saja ingin menyemarak.
“ Farah Humairaa!”
Aku terdiam mendengar nada suara sebegitu. Apabila Iman sudah mula menyebut namaku seperti itu, ini tandanya dia tidak mahu aku meneruskan kata. Daripada makan hati, aku rasa lebih baik rasanya pergi sebelum aku menjadi lebih sadis lagi mengeluarkan kata-kata nista. Aku sempat menghadiahkannya jelingan dan bergegas menaiki anak tangga. Jelinganku itu dibalas dengan senyuman sinis Maya dan renungan tajam Iman.
Pintu bilik kututup dengan kuat. Berdentum bunyinya dan terasa bergegar.
Aku ingin Iman tahu, aku sedang marah!
Aku melilaukan mata memandang ruangan bilik tidur itu. Sebenarnya semalam, aku dan Iman nekad untuk tidak menetap sebilik. Nasib kami bertambah baik kerana bilik ini sebenarnya bergabung dengan sebuah bilik lagi dan hanya dipisahkan dengan sebuah pintu yang bolehlah dikatakan pintu rahsia. Dulunya ini adalah bilik ibubapaku dan bilikku yang dipisahkan dengan pintu saja. Setelah dewasa, ia menjadi bilikku dan bilik Iman. Kami tidak ingin mama tahu rancangan ini kerana jika mama tahu, pasti mama kecewa dan berkemungkinan besar mama akan jatuh sakit dengan kebohongan kami ini. Teringat akan sikap Iman yang mementingkan diri itu aku jadi sedih. Kerana silapnya, aku terpaksa berpura-pura. Kerana sikapnya, aku menjadi mangsa. Kerana pembohongannya, aku juga terlibat sama. Kerana keangkuhannya, aku memendam rasa. Lalu, kerana cintanya juga aku menjadi mangsa tamparan perempuan yang mengaku kekasihnya! Bukannya aku tidak mahu mempertahankan diriku sendiri bila sewenangnya aku diperlakukan sedemikian. Tapi, aku bukan bodoh untuk bergaduh dengan perempuan hanya kerana seorang lelaki. Lagipun, aku tidak merasa aku yang merampas lelaki pujaannya dan aku rasakan aku sendiri tidak inginkan Iman.
Aku tidak menyemai rasa cemburu. Aku sendiri tidak ingin menyukai Iman lantaran sikapnya hanya membuat aku diburu rasa bersalah. Bersalah pada wajah-wajah yang polos. Bodohnya aku kerana menerima semua rancangan gilanya ini sedangkan aku mampu mempertahankan hakku sendiri dengan pelbagai cara yang lain dan bukannya menjahanamkan perasaan dan hidupku sendiri dengan perkahwinan bodoh ini.
“ Farah!” suara Iman kedengaran nyaring dari bilik sebelah. Berkali-kali dia memanggilku tapi aku masih enggan menyahut. Sengaja buat-buat tidak mendengar. Rasa sakit hati dengan sikapnya yang seolah-olah lebih memilih mempertahan perempuan itu berbanding menjaga airmukaku sebagai isterinya. Sejak menjadi isterinya, Iman telah membuat pilihan untuk memanggilku dengan nama Farah berbanding Humairaa. Katanya, dia mahu membezakan panggilanku dengan mereka yang lain supaya aku sedar yang memanggil itu adalah dia iaitu suamiku sendiri. Tidakkah dia terlalu mementingkan diri?
“ Takkan tak dengar?” sinis suara itu bertanya di belakangku. Namun aku enggan menoleh dan hanya membiarkan pertanyaan itu berlalu. Aku lebih senang menyepikan diri di beranda vila luar bilikku itu. Lebih baik melihat halaman rumah daripada melihat muka yang menambahkan sakit hati itu.
“ Farah!” agak tinggi suara itu pada pendengaranku. Dia menapak di hadapanku dengan wajah yang tegang. Aku mendengus dan mengalihkan pandangan ke arah yang lain. Benci rasanya memandang lelaki egois di hadapanku ini!
Kenapa pipi Humairaa berbekas merah? Iman bermonolog sendiri. Tidak juga berniat menzahirkan pertanyaan itu kepada Humairaa.
“ Dia pukul awak?”
Aku menjelingnya tajam sebelum menjawab soalan yang teramat bodoh itu.
“ Tampar!” jawabku selamba.
Iman menelan liur. Rasa bersalah kerana membiarkan Humairaa diserang Maya. Memang dia akui silapnya kerna dia sendiri tidak berkesempatan memceritakan kepada Maya tentang perkahwinannya dengan Humairaa. Dia sendiri tidak menyangka Maya tahu perkahwinannya tanpa dia memberitahu sendiri. Memang niatnya pada malam pertunangan anak Pak Ngah, Iman mahu memperkenalkan kekasihnya itu kepada mamanya tetapi oleh kerana dia tidak mahu mama melebihkan Humairaa, dia nekad mengikut ke situ pula. Maya pula tidak menaruh apa-apa curiga bahkan dia lebih suka kerana dia belum bersedia menemui mama Iman kerana takut tidak diterima. Jika demikian, tidakkah itu memalukan? Meskipun hubungan sudah terjalin lebih dari 3 tahun, kalau restu untuk meneruskan hubungan tiada, tidakkah itu menyakitkan?
“ Sakit?”
Aku tersenyum sinis.
“ Orang bodoh saja katakan tidak..”
Dia tersenyum kelat mendengar jawapanku. Kalau nak rasa, aku boleh ulang tayang bagaimana Maya lakukan itu padaku jika Iman mahu. Tapi, sudah pasti dialah yang akan merasakan keperitannya!
Aku ketawa sendiri dalam hati saat membayangkan aku melakukan begitu.
“ On behalf Maya, saya minta maaf..” tenang Iman berkata, membuatkan aku semakin sakit hati. Maya senang-senang lepas-laku dia pulak yang bertanggungjawab?
Memang dia cinta pada Maya!, aku membuat kesimpulan sendiri.
“ Saya tak mahu!” sambil berpeluk tubuh aku menjawab. Angkuh sekali kedengarannya nada suaraku. Aku mahu Iman tahu, aku tidak akan sesenangnya diperbodohkan begitu. Aku ada maruah yang perlu dijaga.
“ Kalau tak maafkan itu bukan masalah saya..” jawabnya sinis dan pantas berlalu dari depanku. Tingkahnya seolah-olah ingin berlalu. Mungkin sudah lelah dengan kedegilanku.
“ Dah tahu kenapa buat? Tidakkah itu bodoh namanya..”
Langkah Iman mati mendengar sinisnya Humairaa menjawab. Terasa terpukul dengan hinaan Humairaa.
“ Saya akan buat awak menyesal, Farah!”
Aku menoleh mendengar nekadnya kenyataan itu terluah dari mulutnya. Aku mengenggam jemariku kuat menahan rasa marah yang sudah mula membara. Mungkin tumbuh dendamku padanya semakin mekar.
“ Saya juga akan buat awak melutut Iman kerana awak sudah hancurkan hidup saya dengan perkahwinan bodoh ini!” angkuh aku menjawab. Tidak tertahan rasanya memendam perasaan marah. Kenapa mesti hanya aku saja yang turut pada perintah dan kata-katanya?
Dia berpeluk tubuh.
“ Baik.. kita lihat siapa yang akan kalah! Ingat, ini kemahuan awak dan saya dan jangan persalahkan antara kita.. kalau suatu saat nanti perasaan antara kita berubah, jangan dipertanggungjawabkan!”
Aku ketawa sinis.
“ Oh.. saya suka cadangan itu!”
Dia mendengus kuat. Hati kecilku ingin ketawa melihat tingkahnya. Dia fikir, hanya dia yang sombong dan sewenangnya memperbodohkan perasaan dan diriku?
Tidak!
Dia silap besar!
“ Mulai saat ini, awak adalah musuh saya!”
Dan dia pantas berlalu meninggalkan aku di situ.
Aku menghela nafas kasar.
Iman.. Iman.. Iman..
Tidak mudah untuk aku mengalah Iman. Tapi jika ini jalan yang kau pilih untuk hidup aku dan kau, aku terima. Aku akan pastikan kau merana juga Iman kerana aku tahu niatmu hanya ingin buat aku menderita juga. Kalau kau memilih untuk menyingkirkan aku dengara cara begitu, silakan.. aku tidak akan menghalang atau memperdebatkannya. Caraku Cuma satu. Cara yang aku rasakan mudah untuk aku lakukan. Cara yang senang untuk aku membuat dia menderita tanpa membaut sebarang penghinaan atau kekasaran. Senang untuk membuatkan kau lemah dan tersungkur Iman.
Aku akan buat kau jatuh cinta padaku!
Aku tersenyum puas. Senyuman yang penuh dendam tertanam. Aku mengepal tangan kananku. Mulai detik ini, kau juga musuhku Iman...
0 ulasan:
Catat Ulasan