“ Lain kali dengarlah cakap..” suara yang kedengaran berbaur teguran sudah mulaku dengar. Perlahan-lahan mataku kucuba buka. Ingin melihat gerangan yang sudah mula membebel itu walau sesungguhnya aku kenal akan suara itu. Aku perlahan-lahan menggerakkan tangan memegang kepala yang dituam dengan air sejuk. Sekilas anak mataku singgah ke wajah Iman.
Aku mengeluh halus. Rasa bersalah ada, rasa malu ada dan rasa berdosa juga silih berganti.
“ Kalau mama tahu, mesti dia marah saya..” suara itu kedengaran lagi.
Aku memejam mata, memekakkan telinga. Makin banyak Iman membebel, makin sakit rasanya kepalaku. Aku meraba-raba pakaian yang kupakai. Tidak terasa basah. Serta-merta mataku kubuka untuk melihat dengan lebih jelas.
Iman tersengih nakal.
Aku menutup dadaku. Mengetap bibir.
“ Nak malu kenapa.. sayakan suami.. halalkan..” selamba dia berkata membuatkan aku bertambah kurang senang.
“ Semua tukar?” tanyaku macam orang bodoh walaupun aku sendiri sudah dapat agak jawapannya.
Dia sekadar mengangkat bahu dan berkira-kira mahu berlalu. Aku pantas menarik tangannya dan bangun dari tempatku berbaring. Dia mematikan langkahnya.
“ Kenapa?” soalnya malas.
Aku mengetap bibir kuat. Masih berkira-kira mahu meneruskan perkataan.
Tangannya yang kupaut, kulepas.
“Eh, kenapa ni Humairaa?” soal mama tiba-tiba yang baru saja pulang dengan suara yang cemas. Tangannya diletakkan ke dahiku.
Panas! Itu kata mama.
“ Iman.. kenapa dengan Humairaa?” soal mama lagi tidak berpuas hati.
“ Demam..” ringkas Iman menjawab lalu dia beredar ke dapur membawa bekas air yang digunakannya untuk menuam suhu panasku tadi.
Mama mengekori langkah Iman dan mula melancarkan peluru berpandunya.
Aku tersenyum-senyum mendengar dia dileteri mama. Humairaa sakitlah, Humairaa kasihan, Humairaa demam, Humairaa isteri Imanlah, Humairaa entah-entah mengandunglah. Sedangkan dalam hal ini Iman langsung tidak bersalah.
Hah?
Mengandung?
Hampir terlopongku mendengar bebelan mama yang terakhir itu.
Iman pula dengan selamba terpacak di hadapanku saat mama menuturkan ayat yang terakhir itu. Kirainya diangkat berulang kali menandakan dia mengusik aku yang sedang terkejut kecil dengan andaian mama. Mama sudah duduk di sebelahku. Iman hanya bersahaja duduk di meja hadapanku. Senyuman mama sudah mekar. Semekar bunga seri kembang pagi.
“ Kita pergi check up ya, Mairaa..” pujuk mama sambil menggosok bahuku.
“ Mana ada mengandung ma..” jawabku perlahan sambil mengenggam kedua belah tanganku. Seram dingin rasanya.
Aku memandang Iman yang hanya mempamer wajah selamba sedangkan aku sendiri menahan rasa dengan tingkah mama yang terang-terang mendesakku.
“ Eh, dah berapa lama kamu berdua kahwin, takkan tak ada lagi?” soal mama pula.
Aku menelan air liur. Memandang Iman dan berharap dia akan membantu aku dalam keadaan ini.
Iman menarik tanganku.
“ Mungkin mama benar. Kami pergi ya maa..” Iman akhirnya bersuara yang aku rasa nadanya sengaja dibuat-buat teruja.
“ Mama ikut..”
“ Mamakan baru balik, tak apa.. Kami berdua saja..” Iman segera membantah dan bergegas mencapai kunci kereta sambil mengheret aku sama keluar dari kemelut itu.
Di dalam kereta Audi itu aku rasa selamat. Meskipun hati rasa menyampah kerana ditertawakan Iman tapi aku bersyukur kerana selamat dari serangan mama yang nyata-nyata kepingin bercucu awal itu. Lagipun, mana mungkin aku mengandung kerana aku dan Iman bukannya sebilik. Dan yang pasti, aku tidak bersedia lagi ‘menyerah’kan diriku kepadanya yang aku rasakan tidak mungkin akan bertanggungjawab nanti.
“ Kalau mama tahu awak demam pasal awak degil dilarang saya, awak agak mama akan benarkan awak keluar tak?” soal Iman menyakitkan hatiku.
Aku mendengus geram. Sejak tadi dia tidak henti-henti memerli aku dan mengejek soal kedegilanku dan padah yang aku terima. Apa punya suami berlagak begini?
Aku berpeluk tubuh dan melarikan pandangan ke luar jendela. Biarlah omelannya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.
“ Nak pergi check up juga?” soal Iman mengusik.
Aku memukul lengan kirinya sedikit kuat. Terasa geram dengan pertanyaan itu. Namun Iman hanya melepaskan tawanya.
Aku menarik muka.
“ Lapar tak?”
Aku mengangguk dan mempamer muka minta diberi simpati. Sungguh aku benar-benar lapar kerana lemah badan akibat ditimpa hujan tadi. Walaupun aku senang demam, tapi aku juga mudah kebah jika demamku itu disebabkan hujan.
“ Okey.. tak payah buat muka kasihan tu..” perli Iman.
Aku ketawa manja mendengar perliannya itu. Hatiku girang tidak terkira kerana hajatku dipersetujuinya. Lagipun, susah sikit Iman hendak bawa aku keluar makan. Sebab yang pertama, dia sibuk dengan tugasnya di pejabat. Sebab yang kedua, dia lebih senang makan di rumah dan yang lebih penting sebab itu ialah makanan yang dimakannya di rumah itu ialah masakanku! Kalau lambat, dia akan membebel panjang. Kalau tidak kena dengan seleranya, dia akan mogok. Memang sebiji perangai macam budak-budak baru mahu melangkah ke alam dewasa.
“ Dah sampai..” beritahu Iman tiba-tiba.
Aku tersentak dengan nada suara yang kedengaran perlahan itu. aku tersenyum sendiri.
Hai.. berapa lamalah agaknya aku termenung sendiri, membuat penilaian tentang Iman yang sudah hampir 2 bulan menjadi suamiku itu.
Aku membuka pintu kereta. Iman sudah lama berdiri di sisi, menantiku. Aku melangkah seiring dengannya menuju ke kedai makan yang dibawanya.
Restoran makanan laut!
Aku menelan liur. Macam tak ada selera nak makan makanan laut. Hampir tengah malam pulak tu. Tapi, memandangkan Iman yang memilihnya, aku hanya mengikut. Tangan kami saling bertaup erat. Aku memang merelakannya kerana aku senang dilindungi begini. Tambahan lagi tempat ini banyak remaja kaki lepak. Ada lagi yang berani bersiul mengusik! Mana muka tampan Iman tidak berubah tegang! Takut Iman mulakan bergaduh pula nanti!
“ Nak makan apa?” soal Iman setelah kami berdua bersama-sama duduk, melabuhkan punggung.
Aku membalek-balek menu yang diberikan. Sengaja kuangkat hingga menutupi mukaku dari pandangan Iman. Rasa malu ada bila berhadapan dengan Iman saat ini kerana aku terkenangkan kebaikannya yang menukarkan baju basahku tadi.
Menu di tanganku ditariknya perlahan. Senyuman Iman tergaris di bibirnya yang seksi.
Aku menelan liur.
“ Saya ikut saja..” jawabku sedikit teragak-agak.
Iman mengangguk-angguk. Selepas membuat pesanan, pelayan itu berlalu meninggalkan kami berdua.
Aku dan Iman saling berpandangan. Sekejap pandangan mata bertaut, aku perlahan-lahan melarikan anak mata. Rasa kurang selesa dan gelisah bila dia sengaja membuat perasaanku berbaur.
“ Hmm... pasal nak buka kedai, masih berminat?” tanyanya membuka bicara.
Aku diam sejenak.
“ Boleh jugak..” jawabku ringkas.
Iman membalas pandangan.
“ Tapi, satu bangunan..” peringatnya semula.
Aku mendengus. Mahu tak mahu, aku harus mengikut kata-katanya juga.
Tit tit tit tit!
Bicara kami terganggu dengan bunyi telefon bimbit Iman. Cepat pergerakan tangannya menekan-nekan sesuatu pada telefon bimbitnya. Mukanya berubah tapi kemudian beralih tenang. Membuatkan aku tertanya-tanya siapa yang menghantar pesanan ringkas kepadanya tengah-tengah malam begini.
Aku mengalihkan pandangan bila Iman kembali memandangku setelah dia menyimpan telefon bimbitnya ke kocek seluar slack hitamnya.
“ Maya..” suaranya kedengaran antara dengar atau tidak kerana deruan angin dari pinggir pantai itu menggangu nadanya. Meskipun begitu, dadaku bergetar bila nama itu disebutnya.
Mahu apa Maya pada suamiku ini?
“Kenapa?” tanyaku serius, dingin dan acuh tak acuh. Terasa bagai dicalar sekeping hatiku bila namanya diseru Iman.
Iman tersengih nakal.
“ Dia nak saya temankan dia makan..”
Aku berpeluk tubuh.
“ Eloklah tu..” balasku.
Iman melepaskan tawa kecil.
“ Elok konon.. tapi muka dah berubah garang!” usik Iman.
Aku mengacau-ngacau perlahan minuman yang sudah dihidangkan di hadapanku. Tidak berminat dengan usikan itu. nanti makin sakit hati, hilang pula selera makan.
Iman menyentuh tanganku yang memegang gelas kaca itu.
“ Isteri saya lebih penting..” perlahan dia berkata, tepat menusuk ke dasar hatiku.
Aku menarik tanganku cepat-cepat dan menyembunyikan di bawah meja. Sengaja kumelarikan pandangan dari terus-terusan ditikam panahan mata Iman yang lebih kepada mengusik itu. berbaur perasaanku saat Iman melafazkan kata-kata sebegitu. Seakan-akan dia sedang menguji ketabahan hati wanitaku ini.
“ Lepas ni nanti, senaraikan barang-barang yang awak perlukan untuk kedai gula-gula awak tu.. Saya nak order untuk awak. Esok jumpa Hanani, suruh dia bawa awak ke ruangan yang saya maksudkan. Survey dan rangka design mana yang awak mahukan. Semua bayaran saya tanggung!” panjang lebar Iman berkata dengan muka yang bersahaja tetapi tegas.
Aku mengangguk-angguk.
“ Thanks for everything..” perlahan aku mengucapkannya.
Iman tersenyum.
‘ Humairaa... mungkin ini kesempatan untuk aku membuatmu bahagia jika perjalanan perkahwinan kita begini jadinya. Aku ingin, walaupun kita tidak saling menyemai perasaan yang sama, sungguh pun kita tidak saling mencinta, aku mahu kita saling memberikan rasa gembira. Aku ingin kita menjadi sahabat saat senang dan duka. Mungkin itu akan lebih memaknakan hubungan halal yang kita bina....’
Kata-kata itu hanya terluah di dalam hati Iman.
0 ulasan:
Catat Ulasan