Seminggu berlalu...
Aku sudah pun beransur sihat tapi Adam masih memaksaku berehat. Bukan dengan pujukan tapi arahan yang serius. Selama seminggu itulah Adam bersikap dingin denganku meskipun semua keperluanku dijaganya. Selama itu jugaklah aku menetap di vila umi dan hanya sesekali aku pulang ke rumah mama. Aku sudah tidak dibenarkan lagi memandu dan lesenku juga sudah diambilnya. Bermula dari minggu lalu juga, Adam sudah membuat peraturan dalam hidupku. Aku tidak boleh memprotes kerana aku sedang dalam proses memenangi semula hatinya. Walaupun kadang-kadang aku terasa hati dengan responnya tapi aku harus bertahan. Aku mesti bangun pagi seawal 6 pagi dan mengambil pemakanan yang sihat. Aku mesti sarapan makanan yang bergizi dan lebih menyedihkan lagi, aku dipaksa untuk minum susu segar.
Bukankah Adam tahu yang aku tidak suka minum susu?
Tapi, demi kerana aku tidak mahu memanjangkan pertelingkahan, aku sanggupkan juga menelan susu itu. Makan tengahari pula harus lebih banyak sayur. Sayurnya pula yang tidak aku gemari.
Peria? Sayur sawi, ah!
Aku benar-benar rasa terseksa. Minum petang pula, mesti habis dua gelas susu segar dan malam pula aku mesti banyak makan buah-buahan dan lagi segelas susu. Rasa meluat pun ada tapi aku tidak apa pilihan lain.
Mula-mula berat sungguh tekakku menerima susu segar itu, tapi sesudah makin hari aku makin bersedia meminumnya bahkan kadang-kadang merengek manja meminta lebih. Tapi Adam tidak mahu aku melebihi peraturannya.
Kadang aku terasa hidup dalam penjara.
Penjara suamiku sendiri.
Setiap kali mahu berbual mesra, Adam lebih suka menyuruh aku membaca buku tentang kehamilan. Sudahlah dilanda bosan, Adam lagi memaksaku melakukan sesuatu yang aku tidak suka. Puas aku merungut dan berkali-kali juga dia berlaku selamba. Sabarku kadang terbatas tapi aku masih belajar bertahan. Walaupun aku merajuk sekalipun, Adam hanya akan berbuat seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Akhirnya, aku terpaksa memujuk hatiku sendiri.
Aku termenung sendiri. Masih mencuba memikirkan cara yang terbaik untuk memenangi hati suamiku itu. Malam ini aku nekad mahu menjatuhkannya dari kemuncak egonya. Aku mahu dia sedar yang aku adalah isterinya yang tidak akan kenal erti kalah. Aku faham mengapa Adam melancarkan perang dingin sebegini. Aku tahu aku silap. Tapi sampai bila dia akan bersikap begini? Bukankah sudah banyak waktu-waktu kami terbuang?
Aku memetik jari kananku.
Ah.. malam ini kesempatan yang baik. Tambahan pula bapa, umi dan Sarah mahu menjenguk nenek Adam di kampung. Sepanjang perkahwinanku, sekalipun aku belum pernah dibawanya pulang ke kampungnya. Aku rasa Adam tahu yang aku sebenarnya sukakan pada hidup suasana kampung walaupun aku dibesarkan di bandar tapi hingga saat ini, Adam masih lagi keberatan membawaku pulang ke sana.
Mungkinkah ada kenangan yang melukakan hatinya tertinggal di sana? Kenangan semalam yang ingin dia lupakan?
Aku memandang jam di dinding sekilas. Jam mahu menunjukkan ke angka 5 petang. Aku tahu sekejap lagi Adam akan pulang. Aku segera menuju ke dapur. Aku mahu ada makan malam yang istimewa kali ini. Masakan yang datangnya dari tanganku sendiri. Lagipun, bibik Ina sudah dihantar bercuti sementara semalam. Jadi, sudah tentulah jadi tanggungjawabku untuk memasak makanan Adam malam ini.
Aku mengambil bawang di dalam peti sejuk dan menghirisnya nipis. Selepas itu aku membersihkan ayam. Aku mahu memasak ayam lada hitam. Aku tahu Adam menyukainya. Aku membuka punat gas dan menyalakan api. Aku letakkan kuali dan membiarkan ia panas. Aku tuangkan sedikit minyak dan masukkan bawang yang sudah kuhiris. Aromanya sudah naik menusuk ke tangkai hidungku. Aku masukkan ayam yang sudah kubersihkan dan membiarkan ia bergoreng. Kemudian aku masukkan kicap manis dan kutaburkan serbuk lada hitam. Aku membiarkannya terebus.
Aku terdengar pintu dikuak. Aku berpaling saat terpandang Adam yang baru saja pulang. Memandangnya sekilas, lalu aku meneruskan masakanku. Aku mahu memasak nasi tomato pula dan sayur claypot tiram. Aku membuat kek cheese untuk pencuci mulut. Resepinya mudah saja dan hanya perlu dibekukan. Lagipun, bukannya susah hendak menyediakan semuanya.
“ Kan abang dah cakap, jangan banyak buat kerja..” tegur Adam tiba-tiba. Aku berpaling memandangnya yang mengejutkan aku dari keasyikanku memasak itu. Pakaiannya juga sudah bertukar dan sudah rapi.
“ Sekejap lagi siaplah ni..” jawabku bersahaja.
Adam kudengar mendengus. Bukan kerana aku degil tapi aku nekad mahu memujuknya lagi. Namun, dia tidak lagi banyak bicara. Dia mengambil alih pula untuk membantuku akhirnya.
Setelah beberapa lama, masakanku pun siap. Aku menyediakan makan malam dengan bantuan Adam tapi tanpa sebarang bicara. Walaupun sesekali aku sedar Adam sedang memandangku dari ekor matanya, tapi aku buat-buat tidak perasan. Kalau Adam pandai menyeksa batinku, aku juga pandai begitu.
“ Ain naik dulu.. “ khabarku seraya berlalu setelah siap menyediakan makan malam itu. Aku mahu menukar pakaianku dulu. Aku mahu kelihatan menarik di hadapan suamiku itu. Kalau ini dinamakan agenda menggoda pada waktu makan malam, ya.. aku mengiakannya. Aku mahu Adam tahu yang dia tidak akan mampu bertahan dengan rayuku. Bukanlah sebelum ini aku tidak mahu menggunakan kebolehanku itu tapi aku mahu melihat sejauh mana rajuk suamiku itu. Tidak sangka pula Adam sanggup mengambil tempoh waktu yang lama begini.
Aku mencari-cari baju yang sesuaiku pakai. Aku terpandangkan sehelai gaun hamil yang kubeli dua hari yang lalu bersama kakak iparku, Sarah. Warna memang menarik. Ungu gelap dan dipadankan dengan manik-manik biru muda membentuk hati di bahagian bahu kiri. Panjangnya pula hanya separas lutut. Aku menyarungkannya ke tubuhku. Aku menyikat rambutku dan membiarkannya lepas bebas ke bahu. Aku menyembur minyak wangi kegemaran Adam ke seluruh tubuhku. Aku menyapu sedikit alat solek dan mencalit pengilat bibir berwarna merah jambu.
Aku memandang diriku ke dalam cermin untuk meneliti penampilanku. Aku tersenyum sendiri melihat penampilanku. Tidak ubah seperti orang mahu keluar bertemu janji dengan kekasih hati pun ada juga. Aku meneliti dari mata, dah okey. Ada pembayang berwarna biru muda. Jatuh pada bibir, sudah cantik lalu pandanganku jatuh pada bahagian perut. Sudah berubah bentuk fizik tubuhku itu. Sudah nampak besar dari yang selalu.
Aku mengusap perlahan perutku itu. Ada sesuatu yang berharga milikku dan milik suamiku di dalamnya. Perlahan-lahan hadir perasaan sayu di hatiku. Aku memilih untuk duduk di birai katil. Keinginanku yang melonjak untuk memujuk suamiku itu terbantut begitu saja. Hilang semuanya kerana saat aku terpandangkan diriku yang sedang hamil itu tidak dipuja dengan rasa kasih yang setulusnya membuatkan aku bersedih.
Aku mengetap bibir. Menahan airmata yang mahu saja jatuh dari kelopak mataku. Saat itulah aku melepaskan esak tangis yang kedengaran berat. Seolah-olah selama ini aku diabaikan. Aku sungguh terasa hati dengan kedinginan Adam walaupun dia tidak melupakan tanggungjawabnya.
Pintu bilik dikuak. Hairan Adam jadinya bila isterinya mengambil masa yang lama untuk turun. Sepatutnya Ain sudah turun kerana dia selalu mengingatkan Ain untuk makan malam tepat pada waktunya. Namun langkahnya mati memandang isterinya yang sedang terhenjut-henjut bahunya menahan tangis. Esak tangis isterinya kedengaran halus menyentuh hati lelakinya.
Terlukakah lagi isteriku itu?
Adam mendekati isterinya dan meraihnya dalam dakapannya. Tapi Ain sedikit pun tidak membalas pelukannya. Tidak seperti selalu.
Mengalahkah sudah isterinya?
“ Yang..” panggil Adam sambil memegang bahu isterinya agar membalas pandangan. Wajah isterinya yang sudah basah dengan airmata itu dipandangnya dengan rasa bersalah.
“ Sayang sakit?” sambungnya lagi.
Aku menggeleng. Baru kali ini aku mendengar suaranya yang bernada risau. Tidak seperti selalu yang kedengaran dingin saja.
“ Dah tu?”
Aku mengetap bibir. Airmataku dikesatnya perlahan. Dahiku dikucupnya perlahan.
Aku memejam mata. Berharap keindahan itu akan sampai menusuk ke hati nuraniku.
“ Kenapa abang seksa Ain, bang?” tanyaku mendatar, memandang tepat ke wajahnya.
Adam diam. Dia memalingkan wajah saat anak mataku menikam pandang ke anak matanya yang menyimpan rahsia. Kecewa sungguh aku dengan responnya itu.
“ Berulangkali Ain minta maaf..”
Kata-kataku terbiar begitu saja. Aku masih menanti dia berkata sesuatu tapi hampa. Penantianku berlalu sebegitu saja.
Aku melepaskan tangis. Biarlah Adam tahu yang aku benar-benar terseksa dengan tingkahnya itu.
Belum cukupkah lagi hukuman yang aku jalani?
“ Abang buat Ain mengemis cinta abang.. suami Ain sendiri. Besar sangatkah dosa Ain?” luahku sedikit kuat. Sakitnya hati bila Adam masih berdiam. Seiring dengan hatiku yang pilu, hujan yang gugur dari perut langit mengiring tangisku. Seakan-akan mengerti kepedihan hatiku saat ini.
“ Abang.. pandang Ain..” panggilku sambil memegang bahunya. Tapi Adam tidak berganjak.
Keterlaluankah dia menyiksa hati isterinya agar dia merasa dihargai?
Ikhlaskah dia menyayangi isterinya kalau dia masih mengharapkan isterinya menghargainya?
“ Abang..” rayuku pula tapi masih tidak ada tindak balas juga. Kerana ikutkan rasa hati, aku meninggalkannya di situ.
Aku berlari semahuku kerana luka benar sudah hatiku.
Tidakkah Adam tahu sikapnya sungguh kejam terhadapku?
Lariku membawa diri yang seolah-olah tiada tempat di hati suami sendiri. Tidakkah itu menyedihkan?
Aku tergesa-gesa membuka pintu utama vila itu dan berlari keluar. Hujan sudah menyimbah lebat ke tubuhku. Penat rasanya berlari tapi aku gagahi jua. Walaupun kepalaku sudah berdenyut-denyut tapi aku tidak peduli. Aku ingin pergi jauh, jauh dari dunia yang lebih banyak menyiksaku. Biarlah kali ini kalau aku pergi, pergi untuk tidak kembali lagi. Hilang sudah dayaku memenangi hatinya. Hilang sudah semangatku untuk bertahan kerananya.
Maafkan aku.. selamat tinggal semua..
Kepalaku sakit. Seperti sedang dihempap dengan batu besar.
Perlahan-lahan pandanganku berubah kelam dan menjadi gelap.
Adam.. aku ingin kau tahu aku selalu milikmu.
0 ulasan:
Catat Ulasan