BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 15 Januari 2011

Prolog-Semalam Dalam Kenangan

“ Ain, Jumaat ini ada rombongan meminang kamu datang..” khabar mama tiba-tiba di waktu aku sedang menikmati sarapan. Aku yang sedang menghirup milo tersedak. Habis tersembur keluar milo yang aku minum.
         “Kenapa minum macam budak-budak ni?” marah mama sambil menghulurkan tuala kecil kepadaku. Aku menyambut dengan cepat. Aku bergegas membersihkan sisa-sisa yang tertumpah dan segera berlalu. Aku tidak punya sebarang komen untuk kenyataan itu. Aku benar-benar terkejut dengan khabar yang tiba-tiba itu. Aku segera mencapai beg tangan, kunci kereta, fail persediaan mengajar dan berlalu ke muka pintu tanpa memandang mama lagi. Aku pantas menghidupkan enjin kereta dan meninggalkan perkarangan rumah menuju ke sekolah.
Di sepanjang perjalanan itu fikiranku menerawang jauh. Siapa pulak pilihan mama kali ini? Aku benar-benar tidak menyangka mama benar-benar nekad memilihkan calon terakhir untukku setelah beberapa kali aku menolak. Tidak sangka kali ini, mama memilih untuk membiarkan rombongan itu datang terus. Mungkin mama sudah bosan mendengar alasanku yang kerap menolak itu. Aku bukan tidak mahu membuat pilihan sendiri tapi aku tidak punya waktu. Waktuku terbatas kerana aku mahu karierku sukses dulu. Professi sebagai seorang pendidik membuatkan aku lebih banyak meluangkan masa dengan membuat kajian dan merujuk buku.
Sedang fikiranku melayang jauh, aku tidak sedar lampu isyarat di hadapanku bertukar merah. Aku yang tidak sempat menekan brek tiba-tiba terempuh kereta mewah di hadapanku.
Bang!
BMW 5 series.
Aku mengaru-garu kepala yang tidak gatal. Cemas ada, takut pun ada. Enjin keretaku mati dengan tiba-tiba. Aku yakin, enjin keretaku ada masalah akibat hentakkan tadi. Aku tidak kisah dengan keretaku kerana kereta yang kupandu ni kereta abang. Masalahku sekarang, kereta depan!
Pemandunya sudah keluar. Aku pun sama. Aku melihat keadaan kereta yang kulanggar itu. Ada sedikit remuk. Aku memandang si pemilik. Wajahnya tegang dan mungkin sedang menahan marah. Aku menahan liur. Menggigit bibir. Aku tahu aku salah tapi aku enggan pula bersuara menuturkan kata maaf.
“ Awak bawa kereta mata simpan dimana?” soalnya sinis dengan suara yang keras.
Aku menelan liur. Tidak tahu mahu berbuat apa.
“ Saya tahu saya salah, saya akan bayar ganti rugi pembaikan kereta encik..” jawabku mengalah. Aku tidak mahu ada perbalahan yang panjang kerana banyak mata sedang memandang insiden itu.
Dia berpeluk tubuh. Memandangku sinis.
“ Ini BMW..” ingatnya lagi.
Aku pantas mengangguk. Tidak mahu memprotes. Aku bukan bodoh untuk tidak faham atau mengetahui jenis kereta mewah itu. Aku tidak mahu berbasa-basi lagi kerana aku sudah agak lewat untuk ke sekolah. Aku ada kelas untuk dijaga. Mujur peperiksaan akan bermula jam 8.30 pagi. Masih ada 45 minit lagi.  Pemilik kereta itu masih memandang. Aku menggigit bibir menanti dia berkata.
“ Okey.. Ini kad saya..” hulurnya seraya berlalu ke keretanya semula.
Syed Ikhwan Hakim Syed Dato Azman. Pengarah Eksekutif Azman Holdings.
Aku pantas mencapai telefon bimbit menghubungi abang tentang kemalangan kecil dan kereta yang tidak mahu dihidupkan lagi. Belum sempat kumenekan punat hijau, ada seseorang menyapa.
         “ Kalau nak cepat, saya hantar awak ke tempat kerja. Pasal kereta ini, saya akan uruskan kemudian. Cepat ambil barang dan kunci kereta ni. Saya beri masa 5 minit sebab saya juga sedang mengejar waktu. Di dalam kereta nanti mungkin kita boleh berkenalan supaya awak tak lari dari kesalahan” panjang lebar pemuda yang memiliki kereta mewah itu berkata membuatkan aku terkejut dengan sapaan dan ceramah percuma itu. Aku tidak punya pilihan lain kecuali terpaksa menerima pelawaan yang berbentuk arahan itu. Aku segera mengambil barang dan berlalu masuk ke dalam keretanya. Aku diam tidak bercakap. Aku sedar sesekali matanya mengerling.
         “ Mana?” soalnya tiba-tiba. Lebih sopan dari mula-mula ia bersuara tadi.
         “ Sekolah menengah hujung traffic light tu..” jawabku teragak-agak tanpa memandang. Aku takut dengan panahan matanya. Sinarnya bagaikan masuk mencucuk-cucuk hatiku. Dia sekadar mengangguk dan aku diulit resah. Aku memandang jam tangan, masih ada 25 minit sebelum peperiksaan bermula.
         “ Nak cepat?” soalnya lagi. Aku hanya mengangguk sambil memandangnya sekilas.
         “ Saya ada kelas nak jaga. Ada exam!” jawabku dalam keresahan. Dia bagai mengerti segera menekan minyak menambah kelajuan. Beberapa minit kemudian, kereta mewah itu sampai ke perkarangan sekolah. Aku segera membuka pintu.
         “ Nanti balik macamana?” tanyanya.
Aku mengangkat bahu. Fikiranku tidak di situ. Otakku memikirkan anak-anak muridku yang akan menduduki peperiksaan sekejap lagi.
         “ Beri saya nombor dan kunci kereta, nanti tengahari saya datang ambil semula..” tambahnya lagi, tegas! Aku tidak membantah kerana aku tahu aku bersalah dalam hal ini. Kalau kemalangan itu tidak terjadi, aku yakin aku tidak akan disekat sebegini. Pastilah dia tidak akan melepaskanku begitu saja.
Usai menulis nombor telefon bimbitku, aku segera berlalu tanpa memandangnya lagi. Lututku terasa agak sakit dan penat namun aku tetap bergegas menuju ke perpustakaan untuk mengambil kertas peperiksaan lalu menuju ke kelas 5 Mawar. Mujur masih ada 15 minit lagi sebelum peperiksaan bermula. Aku membuka kertas soalan dan memberi mereka satu persatu. Aku duduk ke meja guru. Aku menukar profil telefon bimbitku ke punat silent. Keadaan yang sunyi itu membuatkan aku teringat semula dengan pemuda tadi. Sayang.. aku tidak mungkin ada peluang berkenalan dengan lebih jauh kerana dua hari lagi, aku akan ditunangkan!
Loceng berbunyi menandakan waktu kelas sudah tamat. Aku segera mengutip kertas-kertas jawpan mereka setelah mereka beredar keluar. Setelah selesai, aku menuju ke bilik guru dan memberikan kertas-kertas itu kepada guru subjeknya. Aku mengemas buku-buku dan bersiap-siap mahu pulang. Aku segera menuju ke tempat letak kereta. Aku masih tercari-cari kereta BMW 5 series yang kurempuh siang tadi tapi hampa. Di satu sudut, aku ternampak seseorang yang sedang berpeluk tubuh bersandar di sisi kereta Mercedez Benz hijau muda. Seperti mengenali susuk tubuh itu, aku segera menghampiri.
         “ Maaf.. lama awak tunggu..” pintaku bila mataku mula bertaut pada pandangannya. Dia sekadar mengangguk dan membukakan pintu kereta untukku.
“ Belajar tunggu isteri..” jawabnya selamba namun memberi kesan di hatiku.
Memang kayalah lelaki ini. Tapi sayang, aku belum melihat senyumannya. Kalau senyum, aku pasti akan rebah kerana dia memang ada rupa! Aku tertawa sendiri bila terbayang akan hakikat itu. Aku banyak di pengaruhi movie korea, makanya aku senang membayangkan sesuatu yang aneh dan lucu!
         “ Kereta awak saya dah hantar pergi workshop, semua saya tanggung..” ucapnya memulakan bicara. Aku tersentak jadinya mendengar bicara itu tapi tidak mahu menjawab. Entah apa motifnya, aku pun tidak tahu.
         “ Yang saya tahu, cikgu ni kuat bercakap.. tapi hairan, kenapa cikgu sebelah ni pendiam semacam...” usiknya pula.
Aku tersenyum kelat, masih enggan bersuara.
         “ So, nama?” soalnya.
         “ Ain Humairaa” jawabku ringkas.
Kemudian, lama kami terdiam. Sesekali aku perasan dia mencuri-curi pandang hinggakan aku tidak tahan dengan situasi itu.
         “ Kenapa?” soalku.
         “ Nak balik rumah, alamat mana?” soalnya selamba.
Aku tersenyum sendiri. Benar juga. Aku yakin dia pasti tidak punya waktu yang lama. Maklumlah, orang bisnes. Aku pantas mencapai pen dan kertas lalu menulis alamatku dan memberikan kepadanya. Tangannya tiba-tiba tersentuh tanganku membuatkan aku tersentak. Cepat-cepat aku melarikan tangan dan membuang pandangan ke luar. Aku mengambil jalan untuk diam dan mendengar semua ceritanya hinggalah ayatnya yang terakhir menarik minatku.
         “ Tak sangka pula saya akan ditunangkan Jumaat ni..”
Pandangan segeraku ajukan kepadanya. Dia yang perasan dengan pandanganku segera membalas pandangan. Lama kami dalam keadaan begitu sehingga aku melarikan pandangan ke tempat lain.
         “ Kenapa?” soalnya.
Aku sekadar menggeleng. Takkanlah sama situasi pula! Aku tertanya-tanya sendiri.
         “ Awak tu sedang pandu kereta, so fokus. Jangan jadi macam saya.. Nanti kempunan bakal tunangan awak Jumaat ni..” jawabku cuba mengalih topik pertanyaannya. Dia kudengar mengeluh. Aku menarik nafas.
         “ Awak tak busy tengahari macam ni?” soalku ramah. Sengajaku cari topik supaya tidak tenggelam dengan situasi yang dia saling memandangku secara curi-curi.
         “ Kenapa?”
         “ Orang bisnes macam awak, time is money..” usikku lalu ketawa.
Dia berdehem dan itu menarik perhatianku. Aku mengajukan pandangan padanya, menanti kata yang akan diucapnya.
“ Cikgu, saya memang sibuk tapi sebab saya dah janji, jadi mesti tunaikanlah..”
Aku terdiam dengan pengakuan itu. Ia sedikit sebanyak menyentuh hatiku. Entah jujur entah tidak, aku tidak tahu.
“ Lagi dua hari majlis, awak tak buat persediaan? Kalau bakal tunang awak tahu awak dengan perempuan lain, mesti dia tuduh awak curangkan?” usikku lagi. Entah, aku tidak tahu kenapa aku selesa mengusiknya. Mungkin kerana dia tenang menerima usikan itu, maka aku lebih senang meneruskan niat mengusiknya.
Dia ketawa tiba-tiba.
“ Kenapa?” tanyaku hairan.
“ Dah charging nampak? Saya dah perasanlah yang awak ni mula membebel.. mesti best bila dah jadi ibu..” usiknya.
Aku menjelingnya geram. Lain yang mengusik, hati lain yang terusik.
“ Malaslah nak cakap lagi!” rajukku lantas berpeluk tubuh. Aku sememangnya seorang yang kuat merajuk. Lagipun, dalam keluarga aku yang paling bongsu. Jadi, aku senang dimanja. Aku Cuma ada seorang abang, ada mama dan ada abah. Mereka semuanya suka memberi perhatian dan sebahagian dari jalan hidupku, dibimbing oleh mereka.
Keretanya sudah membelok ke simpang rumahku. Beberapa minit kemudian, keretanya berhenti di hadapan rumahku. Dia langsung tidak ada niat mahu memujuk atau memohon maaf. Malas melayan perasaan itu, aku bertindak keluar dari keretanya.Tiba-tiba wajah mama tersembul di muka pintu. Ada sedikit riak terkejut di wajahnya. Mungkin kerana mama terkejut melihat aku balik dengan seorang pemuda yang selama ini aku benar-benar payah untuk membawa ke rumah. Aku tahu, mama pasti sudah tersalah-sangka. Mungkin mama fikir aku memprotes dengan keinginannya hasratnya pagi tadi. Ikhwan keluar dari kereta dan segera menuju ke arah mama. Dia menghulurkan tangan kepada mama dan mama membalasnya. Namun pandangan mama sukar dimengertikan. Mama memberi isyarat kepadaku supaya masuk dan mempelawa Ikhwan sekali.
Aku mengeluh. Ah.. pasti mama akan berleter!

1 ulasan:

cikpah berkata...

ehh... nama laki 2 ikhwan ke? knpa tak mention? ke saya yg tersalah pandang? tehee =D