“ Dah okey?” soal Adam tanpa mesra dan kedengaran dingin serta hambar. Tiada pandangan menarik hati. Anak matanya selalu saja dilarikan dari pandanganku. Sukar untukku baca isi hatinya.
Aku tahu Adam sedang menahan rasa hati. Aku juga tahu Adam mungkin marah kerana sikapku walaupun aku tahu dia sememangnya mencuba berlagak tenang dengan kejadian ini.
Tidakkah Adam ingin memelukku?
Tidakkan ada riak risau yang boleh dia gariskan ke wajah yang kusayang itu?
“ Harap-harap esok dah boleh balik.. takut tak ada orang jenguk pulak kalau lama-lama..”
Kata-kata itu cukup menghancurkan sekeping hatiku. Tapi aku tidak boleh menjawab. Aku tahu aku telah menyusahkannya dan juga keluarga yang lain. Tapi, tidakkah aku punya kesempatan?
Sabarlah wahai hati.. aku memujuk hatiku sendiri.
Adam memandangku sekilas. Serius tanpa senyuman.
Sungguh!
Aku terasa hati dengan layanannya yang dingin.
Tapi, layakkah aku dibuat sebegitu rupa?
Aku mencapai tangannya. Masih berharap Adam akan membalas sentuhanku.
Tidakkah dia gembira melihatku lagi? Luputkah sudah rasa sayangnya padaku? Pudarkah sudah kepercayaannya padaku?
“ Maafkan Ain..” pintaku mendatar seraya mengucup tangannya.
Aku benar-benar ingin memohon ampun kepadanya. Tapi Adam sekadar mengangguk tanpa segaris senyuman.
Terluka benarkah hatinya?
Hatiku dipagut sedih. Terkilan dengan tindak balasnya. Tapi aku tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan. Biarlah Adam melayan rajuknya kali ini. Biarlah dia yang membawa hati. Rajukku tiada guna kerana aku hanya akan membuat keadaan lebih rumit.
Adam menarik tangannya. Dia berlalu menuju ke sofa dan berbaring.
Aku menarik nafas dan memejam mata. Berharap rasa sakit yang kualami akan hilang bersama helaan nafas.
Aku mengajukan pandangan sayu kepada Adam.
Lama.
Bukan kerana mahukan perhatiannya lagi atau simpati namun Adam tidak juga ada tanda-tanda mahu memandangku. Lantaran itulah aku membuat keputusan untuk berbaring semula.
Aku berbaring membelakanginya. Satu persatu air jernih keluar dari mataku. Aku berusaha mengawal esak dari didengarnya. Aku tidak mahu kelihatan lemah meskipun aku tahu aku sudah kalah pada kedinginannya yang baru saja bermula.
Aku memejam mata. Memaksa lena hadir saat ini.
Aku ingin tidur.
Tidur yang lama agar kesakitan yang kurasakan akan berkurangan. Berharap agar apabila aku bangun keesokkan harinya, rasa sakit ini akan hilang dan tinggal kenangan saja.
Maafkan abang, Ain.. luah hati Adam berlalu bersama angin lalu.
0 ulasan:
Catat Ulasan