Usai mandi, aku melangkah turun menuju ke ruang makan. Rasa hairan menerjah ke ruang fikiran. Banyak makanan sudah tersedia dan vila juga sudah kelihatan bersih. Meski hati kian tertanya-tanya tapi aku senang mengambil keputusan berdiam.
Biarlah.. itukan lebih mudah! Ini bermaksud aku tidak perlu lagi tergopoh-gapah membersihkan dan tidak perlu lagi mendengar Iman membebel panjang! Teringat Iman, hatiku tertanya-tanya. Walaupun hatiku jengkel dengan sikapnya, namun aku masih lagi tercari-cari kelibatnya. Bukan rindu tapi diriku sudah bersedia melancarkan misi membalas dendam pada keangkuhannya. Kalau Iman peka, dia harus sedar. Aku bukan Humairaa yang pertama kali dia kenal. Yang sanggup merayu untuk menuntut harta peninggalan yang sangat bermakna dalam hidupku. Semakin lama, aku semakin rasa tercabar dengan keegoaanya. Bila saat ibunya tiada, dia lebih senang mengambil kesempatan dan merendahkan harga diriku. Apakah itu yang dinamakan suami?
Ah.. apalah nasib!
Aku ternampak bayangan Iman melalui cermin luncur yang besar di bahagian belakang vila. Dia sedang leka mencuci kereta miliknya. Aku mencebik. Dari gaya, dia sekadar mencuci kereta pun sudah menawan tapi melihat pada tingkahnya, beterbangan semua markah untuk kehebatan yang ada pada dirinya.
Tidakkah itu rugi?
Hai.. kenapa diri ini suka sangat menilik dia? Seakan-akan apa yang dia lakukan menarik perhatianku. Atau, Iman memang begitu untuk menarik perhatianku? Lantaran diburu pelbagai rasa, aku mengambil keputusan untuk keluar melihat dia mencuci keretanya.
Iman memandangku sekilas dan meneruskan kerjanya. Timbul rasa geramku dengan reaksinya sebegitu.
Kan.. aku juga yang memakan rasa.
Aku menghampiti taman bunga tidak jauh dari tempatnya mencuci kereta. Aku duduk pada buaianku dan melayan perasaan. Sesaat, fikiranku memutar memori lama. zaman kanak-kanak yang aku lalui bersama ayah dan ibu. Dulu, aku adalah insan yang sangat bahagia di vila ini. Kerana itulah agaknya vila ini dinamakan Vila Bahagia. Setiap insan yang menetap di dalamnya pasti akan merasa bahagia. Tapi, kenapa setelah aku meningkat remaja, ak tidak lagi merasakannya?
“ Jauhnya berangan...” suara perlian Iman menerjah pendengaranku, mematikan cerita lama yang mengganggu kotak fikiranku.
Aku memandangnya sekilas dan menjeling. Lagaknya benar-benar mengada-ngada dan kian membuat hatiku sebal.
“ Kan baik awak ambilkan suami awak ni secawan nescafe..”
Aku mengetap gigi. Rasa geram dengan sindirannya itu. dengan langkah tidak ikhlas, aku masuk jua ke dalam vila untuk mengambil yang dipintanya. Dia hanya ketawa melihat tingkahku itu dan meninggalkan bekas di hati. Aku keluar kemudian bersama satu tin nescafe sejuk.
Minuman segera!
Aku malas mahu memasak air panas lagi.
Iman menyambut huluranku dengan muka selamba tanpa ucapan terima kasih langsung! Daripada terus berlama-lama di situ, aku senang mengambil keputusan menjauhi dia.
“ Nak kemana?” soal Iman.
Aku mematikan langkahku.
“ Panaslah lama-lama di sini..”
Iman ketawa kecil.
“ Panas? Hati atau hari?” sindirnya selamba.
Aku merengus kasar. Aku berpaling memandangnya dengan muka geram. Iman hanya ketawa. Makin lama makin nakal. Aku tahu dia sengaja berkata begitu untuk melihat lagi reaksiku setelah ‘hal’ semalam yang terjadi. Kalau aku melenting, aku tahu Iman akan merasa dia menang dan berfikir aku akan tunduk kekalahan padanya.
“ Dua dua sekali..” jawabku dengan suara perlahan dan mungkin kedengaran agak menggoda pada pendengaran. Aku ketawa dalam hati melihat perubahan pada mukanya. Melihat kebodohan yang ada di depanku, aku meneruskan niat yang tadinya terhenti.
Tanganku ditarik. Langkahku mati. Pandangan Iman menusuk jauh ke dalam hati tanpa sempadan. Tanpa dipinta ia berdegup kuat dan kian tidak menentu iramanya. Aku menahan gelora di hati. Segala rasa gundah dan gelisah yang makin menggila mengusik jiwaku melihat terjahan anak matanya yang menikam hati wanitaku.
Aku menggigit bibir.
“ My girl, you’re beautiful than yesterday..” bisik Iman perlahan dekat di sisiku.
Aku menelan liur. Tanganku yang dalam genggamannya mati. Tidak bergerak. Rambutku dibelainya perlahan. Terbayang lagi sentuhan hangatnya semalam.
Ah! Aku bisa gila. Kalau aku berundur, Iman akan melihat kekalahanku tapi kalau aku biarkan aku akan nampak bodoh di hadapannya. Bibirnya beralih ke pipiku. Kanan dan kiri.
Aku menggigit bibir, kuat.
Kucupannya singgah ke dahi dan....
“ Iman, Humairaa... kalau ya pun, tunggulah dalam rumah...” suara mama mematikan adegan panas yang baru saja mahu bermula itu. Aku menunduk. Rasa malu dengan teguran mama yang kiranya penyelamat bagiku dari tingkah Iman.
Aku menapak ke belakang. Tanpa memandang Iman mahupun mama, aku berlari masuk ke dalam vila dan bergegas masuk ke dalam bilik.
Argh~ kalau begini, makin lama aku akan jadi makin gila dan kurang siuman. Kenapa Iman kelihatannya mahu menyiksa batinku?
Pintu bilik diketuk.
Aku tersentak.
“ Farah.. mama panggil..” suara Iman kedengaran dari luar.
Aku mematungkan diri di dalam bilik. Kenapalah aku melayan perasaan sangat dengan kelakuan Iman? Aku tahu Iman tidak pernah sekalipun memaksudkannya untukku.
“ Kejap..” jawabku.
Aku menarik nafasku sedalamnya.
Okey.. aku mesti berani!
Aku membuka pintu bilik dan berjalan terus menuju ke pintu bilik utama kami dan keluar tanpa memandang Iman yang nyatanya terkebil-kebil melihat keseriusan wajahku melintas di hadapannya.
Aku menuruni anak tangga dengan cepat dan terus mendapatkan mama. Aku memeluk mama erat dan mahu dimanjainya.
Mama ketawa kecil.
“ Macam budak-budak..” usik mama seraya mencubit pipiku.
Aku tersenyum manja.
Mama mengajakku duduk menemaninya di ruang rehat.
“ Farah memang begitu kebelakangan ini mama. Manja dia lebih...” suara Iman pula kedengaran tiba-tiba.
Aku tersentak dengan kenyataan yang tiba-tiba itu. Aku menjelingnya geram.
“ Mana ada, ma..” sanggahku bersungguh-sungguh.
Mama sekadar mengangkat bahu.
“ Suami isteri...” balas mama selamba, mengusik.
Aku menarik muka.
Iman sudah melabuhkan punggung di sebelahku, rapat! Kami berdua duduk menghadap mama.
“ Tak pergi kerja man?” soal mama.
Iman menggeleng.
“ Kenapa?” soal mama hairan.
“ Cuti..” jawabnya bersahaja.
Aku menepuk pahanya.
“ Jawablah elok-elok..” tegur perlahan, takut didengari mama.
Iman hanya tersengih nakal.
“ Mengada-ngada...” tegurku lagi seraya menjelingnya. Aku berkira-kira mahu melangkah ke dapur untuk menyediakan makanan untuk makan tengahari.
“ Mairaa.. atas peti surat itu ada telegram untuk kamu..” khabar mama tiba-tiba. Mendengar pemberitahuan itu, aku melencongkan langkah menuju ke tempat yang mama maksudkan. Aku menncapainya dan membukanya. Mataku liar meneliti telegram itu, membaca tiap perkataan yang tertulis satu persatu. Hampir terputus nafasku membaca khabar yang dibawa dalam telegram itu.
“ Kenapa?” soal Iman yang tiba-tiba berada di sebelahku.
Aku diam, tidak menjawab. Kenyataan yang baru saja aku terima itu benar-benar mematikan segala fikiranku.
Iman mencapai telegram di tanganku.
Aku tidak membantah.
Assalammualaikum..
Terlebih dahulu saya bagi keluarga Nenek Huda memohon maaf kalau kedatangan telegram ini membuat anda sekeluarga susah hati. Lantaran ini permintaan Nenek Huda untuk bertemu dengan pewaris Hj Maaruf, saya mohon sudilah kiranya anda balik ke kampung kerana Nenek Huda sedang sakit tenat. Ini permintaan Nenek Huda walaupun pernah wujud sengketa dahulu, tapi demi kesihatan nenek, lupakan saja yang pernah terjadi.
Dari keluarga jauh..
Iman nyatanya terkebil-kebil memandangku. Menanti aku membicarakan sesuatu. Aku membalas pandangannya dengan wajah tulus. Aku sungguh keliru saat ini. Apakah aku harus pergi atau biarkan saja? Aku tahu ada sengketa yang pernah wujud di antara Nenek Huda dan ibu dahulu. Aku takut dengan penerimaan nenek kalau aku datang ke kampung. Tambahan lagi, ini bukannya permintaan nenek. Tapi, aku takut diburu rasa bersalah pula kalau sekiranya nenek pergi ke tempat yang abadi.
Wajah berubah sedih.
“ Kalau nak pergi, pergilah.. saya akan temankan..” Iman mula memberi kelonggaran.
Aku hanya memandangnya tanpa suara.
0 ulasan:
Catat Ulasan