“ Mama pergi dulu, okey..” khabar mama seraya mencium pipi kanan dan kiriku. Kata mama dia mahu menguruskan hotel dan catering untuk majlis persandingan kami nanti. Aku relakan saja. Lagipun, semua perbelanjaan ditanggung oleh Iman. Aku cuma tahu sebut saja dan Iman akan keluarkan duit untuk membayarnya.
Tidakkah itu seronok?
Aku melangkah melenggang menuju ke ruang rehat. Bosan rasanya kerana aku tinggal sendirian di rumah kerana Mak Lijah dan bibik sudah pulang ke rumah Mak Lijah. Mereka hanya akan datang semula apabila waktu makan dan jika diperlukan. Lagipula, bukannya jauh pun rumah Mak Lijah.
Aku melabuhkan punggung di atas sofa yang empuk itu. Aku menekan punat kawalan TV dan membiarkan siarannya bertukar sesuai kemahuanku.
Aku mengeluh. Kawalan TV itu kulempar ke atas meja kaca. Aku boleh mati kalau terus-terusan dilanda kebosanan begini. Aku berbaring dan membiarkan kedua belah tanganku menjadi alas kepala. Sekejap aku berbaring ke kanan, sekejap kemudian aku berbaring ke kiri.
Argh! Kusutnya!
Aku bingkas bangun dari tempatku itu dan duduk bersandar. Fikiranku menerawang jauh.
Bagaimana masa depanku nanti kalau nanti aku sudah berpisah dengan Iman? Aku sendiri kurang yakin akan hubungan ini kemana tujunya nanti. Aku sendiri tidak berniat mahu memperbaiki jurang yang sudah tercipta sejak kali pertama aku menemuinya. Sejak pertama kali menemui Iman, aku bersua saat vila ini sudah didiami 6 bulan yang lalu. Sebaik pulang dari Oman, aku dapati vilaku sudah dipindah milik. Laksana pengemis aku menangis agar vila ini dikembalikan tapi Iman enggan. Katanya, vila ini sudah dijual oleh Lina dan Saiful. Kedua kawan baikku itu sudah mengkhianatiku. Duit jualan vila diambil mereka untuk menebus hutang-hutang syarikat kerana mereka kalah dalam saham yang mereka beli. Itu yang Iman nyatakan kepadaku beberapa bulan yang lalu. Yang pedihnya, aku menjadi mangsa. Bayangkan saja, aku tidak punya keluarga lain kecuali Nenek Huda yang berada di kampung seberang, agak jauh dari vilaku. Sungguhpun begitu, Nenek Huda agak dingin denganku kerana ibu lebih memilih menikahi ayah daripada pilihan Nenek Huda. Sejak ada terciptanya sengketa itulah, ibu jarang sekali pulang ke kampung walaupun hari raya tiba. Mungkin ibu benar-benar sudah berpatah arang dengan tingkah Nenek Huda.
Aku mengetap bibir. Memikirkan nasib diri yang masih lagi di ambang gerhana, aku tiba-tiba saja terfikir sesuatu. Sejak dulu aku sudah bercita-cita mahu mempunyai kedai sendiri. Walaupun kedaiku itu cuma ruangan kecil tapi aku akan berpuas hati sekiranya para pelangganku menyukai jualanku. Aku berkeinginan membuka kedai gula-gula dan coklat. Aku ingin jadikan kedai kecilku nanti syurga bagi kanak-kanak dan sesiapa saja yang ingin aku gubah makanannya menjadi makna satu cinta. Pasti nanti aku akan melihat wajah-wajah duka pun hilang setelah mereka memasuki kedaiku nanti.
Hmm.. mana nak cari modal?
Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Minta pada Iman, boleh tak?
Aku memetik jari. Idea yang bagus dan bernas! Aku yakin dan pasti Iman akan memberikan modal yang aku mahukan. Selagi aku masih memegang status isterinya, aku boleh meminta apa saja yang aku mahukan. Kalaupun ini dianggap mengambil kesempatan, aku tidak peduli. Lagipun ini rezekiku dapat berkahwin dengan seorang ahli perniagaan muda yang berjaya.
Aku akan meminta nanti kepada Iman. Aku pasti Iman mahu memberikannya. Kalau tidak, aku akan mengugut untuk menceritakan perihal perkahwinan yang dirancangnya ini kepada mama. Aku menaiki anak tangga dengan pantas. Aku masuk ke dalam bilik tidur utama yang sudah menjadi bilik tidur kami sejak semalam. Aku ingin mencari dimana Iman menyimpan dokumen perjanjian yang kami tanda tangani semalam sebelum tidur itu. Aku inginkan kepastian sama ada Iman ada atau tidak berjanji untuk memberikan apa sahaja yang aku inginkan. Kalau ada, ini akan memudahkan kerjaku. Bukanlah niatku mahu membebankan dia tapi ini satu kesempatan yang baik untuk aku mengubah nasib hidupku. Sekurang-kurangnya bila kami sudah tidak bersama, aku sudah ada jaminan hidup dan tidakkan mungkin berpaut dan bergantung padanya lagi.
Aku tersenyum nakal sendirian. Tanganku pula sibuk menyelongkar almari dan setiap ruangan buku-buku perniangaannya.
Eish! Mana pulak Iman simpan dokumen itu?
Hampa dengan keadaan itu, aku mengambil keputusan duduk di sofa dalam bilik kami itu. Aku menyilangkan kaki di atas meja kaca kecil. Mataku tidak lama kemudian terpandangkan fail berwarna biru muda di bawah meja. Seingatku, semalam Iman menyimpan helaian dokumen itu di dalam fail berwarna biru. Barangkali, betul.
Aku membongkok sedikit untuk mencapai fail itu. aku buka dan ya.. ini yang aku cari. Yang bakal menyerikan masa depanku dan hidupku!
0 ulasan:
Catat Ulasan