Aku melewati anak tangga dengan tergesa-gesa. Aku tercari-cari kelibat Adam kerana sejak aku bangun di sapa mentari, dirinya sudah hilang. Sayangnya, hampir ke seluruh ruang rumah dia tiada.
Kemana Adam agaknya?
“ Cari siapa?” soal mama yang tiba-tiba membuatkan aku yang sedang berdiri di muka pintu bilik tetamu kaget. Aku pantas berpaling lalu menggaris senyuman.
“Adam..”
Mama tersengih nakal. Mungkin lucunya baginya tingkahku lewat pagi itu. Aku hanya berpeluk tubuh, menanti jawapan dari mama yang mungkin tahu punca kehilangan suamiku itu.
“ Pergi sekolahlah..” jawab mama perlahan seraya menggeleng-geleng kepalanya.
Aku menggaru kepalaku yang tidak gatal. Hairan jadinya. Bukankah setiap yang menikah itu akan diberi cuti kahwin?
“ Kan kita pengantin baru?” soalku pada mama seakan-akan orang bodoh.
Mama menarik tanganku untuk duduk di sofa di ruangan tetamu itu.
“ Ain..Ain.. mana Adam nak sempat memohon cuti? Kan pengantin terjun..” jawab mama mengusik.
Aku menepuk dahi. Tertawa kecil. Aku terlupa bahawa ada cerita duka semalam. Dan..ya aku terlupa bahawa aku dinikahi Adam tanpa sebarang perancangan apatah lagi lamaran. Aku tersenyum sendirian. Kenapalah Adam tidak menggerakkan aku untuk bangun tadi? Siapalah yang menyediakan pakaiannya tadi? Sudah sarapankah dia? Hai..bersalahnya!
“ Eish Ain ni.. ingat sikit, Ain tu dah jadi isteri orang..” peringat mama padaku.
Aku tersenyum nakal.
“ Dari anak dara sampai jadi isteri orang pun masih bangun meninggi hari kalau waktu cuti..” sambung mama lagi.
Ya, memang nyata. Aku selalu bangun lewat jika waktu kelepasan awam.
“ Yalah.. dan yang lebih sadis lagi masih kuat merajuk..” sampuk abah yang tiba-tiba saja masuk babak perbualan aku dan mama.
Aku menarik muka.
“ Kan dah tayang muka..” usik abah lagi.
“Abah ni!” rajukku seraya memukul lengannya manja.
Abah dan mama hanya ketawa. Suasana bahagia kami terganggu dengan sapaan salam di muka pintu. Terjengul wajah bakal mertuaku yang tidak menjadi itu sekeluarga. Berubah suasana antara kami seketika. Namun abah, pantas saja merubah rentak keadaan dengan mempelawa mereka masuk. Tanpa rasa, tanpa duga aku hanya memandang bekas tunanganku dengan pandangan kosong. Dendam dalam hati usah ditanya. Masih terasa. Luka semalam jangan dipersoalkan. Tidakkan mungkin sembuh dengan cepatnya. Meski pandangannya masih masuk ke dalam jiwa, naluri makin tercalar! Dalam keadaan itu mataku masih meliar mencari seseorang yang sudah merampas kedudukanku di sisi Ikhwan, bekas tunanganku itu.
“ Saya wakil keluarga saya nak mohon berbanyak-banyak kata maaf kepada keluarga Tuan Haji..” ayah Ikhwan mula bersuara. Wajah-wajah tegang saling terpancar. Namun Ikhwan hanya menunduk. Benarkah dia bersalah? Kenapa dengan tiba-tiba saja hatiku rasa sangsi? Sungguhkah ini rasa sangsi atau hanya simpati saja?
“ Saya tahu keluarga Tuan Haji menanggung malu namun kami juga begitu..” sambungnya lagi.
Anehnya abah masih diam. Tiada reaksi mahu menjawab atau mencelah.
Aku memandang wajah ibu yang nyata berubah suram dan mendung. Aku mengalihkan pandangan kepada mama yang juga begitu. Sesak sungguh rasanya dalam kepompong tegang ini.
“ Masalah anak-anak, saya tak banyak kata. Yang saya tahu kami sekeluarga kecewa. Tapi, yalah takdir seperti ini siapa menduga..” sahut abah kemudian dan nadanya kedengaran sinis meskipun bunyinya sopan. Esak tangis ibu mula kedengaran.
Aku menggigit bibir. Terasa hadir sejuta rasa bersalah melihat ibu begitu. Aku tahu ibu tidak bersalah, juga ayah tapi aku masih berat bersuara.
Biadabkah aku begitu?
Egokah aku begitu? Sedang perasaanku yang terpaksa menerima kehadiran seseorang tanpa rela itu harus kubayar dengan tangisan mereka?
“ Saya minta izin bercakap dengan Ain, pak cik..” suara Ikhwan mula kedengaran.
Aku memandangnya sekilas dan memandang abah kemudian. Abah kemudian mengangguk dan aku mengikut langkah Ikhwan yang mahukan kami berbincang di luar rumah dengan perasaan yang berbaur.
Tuhan, aku mohon. Tetapkan hatiku dalam setiap keputusan. Hadirkan rasa yang ada hanya untuk suamiku. Sekalipun akan terbentang segala kebenaran, aku masih ingin bersama suamiku kerana redhanya nanti bererti redhaMU. Seandainya nanti hati ini terlukai lagi, aku hanya mampu berserah pada takdirMU. Aku yakin, semua yang telah ENGKAU rancangkan itu memberiku ujian sebagai hamba milikMU. Kalaupun ujian itu KAU tujukan untukku, tolong aku melaluinya. Andaikata ia melebihi kemampuanku, jangan bebani aku dengan rasa mengalah dan berputus asa. Aku hanya mengharap redhaMU. Tunjukkan saja jalan-jalanMU. Aku akan melangkah mengikutinya dengan harapan dan doa.
0 ulasan:
Catat Ulasan