BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 15 Januari 2011

bab 12-semalam dalam kenangan

Majlis akad pagi tadi baru saja berakhir. Para tetamu sudah beransur pulang. Tinggal pembantu rumah, aku, abah, mama, abang dan penghuni baru rumah kami dan juga orang ‘baru’ dalam keluarga kecil kami iaitu suamiku Adam. Majlis yang tadinya tergendala kini usai meskipun yang diharapkan tidak terlaksana dan yang tidak diinginkan terjadi.
Sungguh! Aku benar-benar bersyukur kerana maruah keluargaku tidak tercalar.
 Terima kasih Adam!
Aku memandang mama yang masih sibuk di dapur mengemas-ngemas. Kemudian aku mengalihkan pandanganku kepada abah, abang dan Adam yang masih bertungkus-lumus membersihkan halaman rumah meskipun waktu sudah berganjak malam. Sesekali pandanganku bertamu dengan Adam walau hanya kubalas sekilas. Fikiranku kosong dan perasaanku hambar.
Aku benar-benar tidak menyangka dia hadir pada majlisku sedangkan aku tidak bersuara menyatakan undangan akibat kedinginan yang tercipta antara kami minggu lalu. Aneh, dia kelihatan amat mesra dengan abangku itu.
Abang Haikalku itu!
Ada cerita yang aku tidak tahu agaknya!
“Pergilah sediakan minum untuk abah, abang dan suami kamu depan tu..” suruh mama tiba-tiba, mengejutkan aku yang sedang berkhayal.
Aku tersengih memandang mama. Raut wajah itu masih ada calar duka. Mungkin mama masih merasa tamparan hebat akibat peristiwa tadi. Aku bukanlah mengambil mudah tentang kejadian tadi tapi aku maklum bahawa esok kami sekeluarga aku dipertemukan dengan keluarga Ikhwan untuk mempersoalkan kejadian ini. Aku amat benar berharap aku dapat menghamburkan segalanya esok. Bersedialah Ikhwan. Mungkin esok kau akan tahu betapa besarnya kesilapan yang engkau lakukan!
“ Janganlah berangan lagi!” tegur mama seraya menepuk bahuku.
Aku menarik muka. Menayang muka rajuk. Aku terkejut sebenarnya dengan kelakuan mama yang selamba itu. Mama hanya tersenyum, tidak berniat mahu memujuk lagaknya. Dengan langkah pantas aku menuju ke dapur. Minuman sudah disiapkan oleh pembantu kami rupanya. Mama ini memang sengaja hendak menguji!
Aku keluar kemudian menuju ke halaman rumah. Langkahku diikuti mama dari belakang. Aku meletakkan dulang di atas meja tempat kami sekeluarga berehat-berehat  jika berada di halaman rumah. Aku menuang air ke dalam gelas satu-persatu. Tanpaku sedar tingkahku itu diperhatikan abah kerana apabila aku menoleh, abah pantas saja melarikan anak matanya dari pandanganku. Apa yang membuatkan abah begitu? Aku bermonolog sendiri.
Abah..apapun yang terjadi hari ini abah, maafkan Ain.. Ain tidak dapat menghilangkan rasa kecewa abah, rasa sedih abah.. Maaf sekali lagi abah.. Yang terjadi biarkan saja terjadi. Ain redha, pasrah tapi Ain enggan menyerah. Ain akan pertahankan maruah keluarga kita abah meskipun Ain harus menemukan semula serpihan hati Ain yang luka ini dan meski harus Ain cari bahagia di balik nurani Ain yang hancur abah...
Kata-kata itu kubiarkan lahir di hati. Aku takut bila kuluahkan, akan ada lagi airmata yang gugur tanpa belas.
“ Panggillah Adam tu, Ain..” suruh abah padaku dalam nada suara yang tegas.
Aku mengangguk. Tanpa banyak bicara aku melangkah untuk memanggil Adam yang masih berada di garaj kereta. Entah, apa yang dibuatnya di sana agaknya aku pun kurang pasti.
Langkahku mati bila sudah menapak di hadapannya. Mungkin dia sedar akan kedatanganku makanya dia berpaling memandangku. Raut wajahnya tulus, melahirkan rasa bersalah padaku. Terlalu banyak ingin aku katakan padanya tapi takutku pulak akan menghiris hatinya.
“ Kenapa yang?” soalnya selamba.
Aku menelan liur. Mati kata tanpa suara.
Yang! Sapaan kata nama itu membuatkan aku hampir-hampir jadi gila.
“ Abah panggil minum..” beritahuku tanpa memandangnya lalu aku melangkah meninggalkannya.
Tanganku ditarik, mematikan langkahku. Aku memandang tangan yang memaut lenganku. Agak lama. Apakah tangan ini yang akan memautku setiap kali aku dalam dilema dan kecewa? Tangan inikah yang akan ada menolongku di saat aku susah?
“ Tak nak tunggu abang?” tanyanya lagi dalam nada mengusik.
Aku hipokrit! Sungguh! Tahukah Adam aku tidak bisa berpura-pura redha menerima semua ini dalam tempoh sesingkat ini? Benar, aku ingin mencuba tapi aku belum kuat.
“ Jomlah..” sahutku seraya menarik tangannya kembali agar dekat denganku.
Ah! Mungkin dengan cara ini setiap perilakunya akan menyentuh hatiku yang hancur ini lantas memberinya peluang menawan hati ini.
Aku melangkah seiring dengannya dengan wajah yang pura-pura ceria. Aku mempelawa Adam duduk sementara aku berdiri saja di sebelahnya. Abang pula entah kemana menghilangnya.
“ Minumlah Adam..” pelawa mama dengan sopan.
Abah sekadar mengangguk-angguk tanda setuju dengan mama. Saat itu belum ada kata-kata yang terluah. Suasana jadinya hening, sepi dan kelam. Agak janggal untuk berlama-lamaan di situ tanpa kata.
Abah kelihatannya membetulkan duduk. Air wajahnya berubah keruh. Aku sedar akan perubahan itu. Aku pasti abah akan membicarakan sesuatu.
“ Adam.. abah nak ucapkan banyak-banyak terima kasih. Tak abah terbayar budi Adam tolong selamatkan maruah keluarga ini. Terima kasih sudi jaga Ain abah.. Abah sayang Ain, Adam.. Abah harap, Adam jagalah Ain abah ini.. Kalau Adam rasa Ain ini membebankan Adam, pulangkanlah dia ke pangkuan abah, Adam..” lebar abah membuka bicara yang menyentuh hatiku. Sayu suara abah dalam nada yang tertahan ini mencarik dalam hatiku. Pedih kerana betapa abah sayang akanku. Perlahan-lahan, mata yang berkaca mengalirkan airmata duka.
Aku mengetap bibir dengan kuat. Berusaha menahan rasa sedih. Benar-benar terharu dengan kata-kata abah.
“ Lain yang abah harapkan lain pulak yang terjadi. Kalau abah tahu begini jadinya, abah tak akan jodohkan Ain. Abah akan biarkan Ain membuat pilihan sendiri.. Abah kesal..” sambung abah lagi. Aku mendekati mama seraya memeluk mama. Aku tahu mama merasai kesedihan itu kerana aku juga merasainya. Bukankah seharusnya ini adalah hari bahagiaku? Mengapa lebih banyak airmata duka yang tumpah?
Adam menarik tanganku. Menggenggamnya erat. Tingkahnya seperti mahu membicarakan sesuatu.
“ Ain dah jadi tanggungjawab saya, abah.. Apapun terjadi saya akan berusaha menjadi menantu terbaik abah dan suami terbaik untuk isteri saya abah..” janjinya tegas dalam nada suara memujuk wajah-wajah duka di hadapanku. Ucapan Adam lebih menyentuh hatiku. Mengapa bersedia menabur janji Adam padahal aku sendiri takut mendengarnya?
Aku memandangnya tanpa kelip. Masih terasa samarnya setiap maksud kata-katanya. Bagaimana mungkin Adam membicarakan soal ini sedangkan aku masih belum mengenalinya lebih dalam? Aku takut memberinya peluang. Aku takut aku akan terluka lagi. Aku takut aku akan merasa kehilangan lagi dan aku amat takut kehilangan rasa untuknya.
“ Sepatutnya kita gembira di hari pernikahan inikan?” usik abah namun kedengaran canggung di pendengaran kami. Adam menyahut usikan itu dengan tawa perlahan.
“ Adam, dalam perancangan abah sebelumnya abah nak adakan majlis persandingan minggu depan.. Kamu macamana? Kalau soal perbelanjaan abah tanggung. Kamu jangan risaulah..” abah menyambung kata mengubah suasana.
“ Tak apalah abah. Kita ikut seperti yang dirancang. Pasal belanja tu, walaupun saya ni pengantin terjun, belanja kahwin dah banyak abah.. cukup untuk pasang dua..” jawab Adam bersahaja mengusik. Abah ketawa mendengar sahutan menantunya itu.
Aku menarik muka masam seraya menarik tanganku yang ada dalam genggamannya.
“ Berani kahwin lain, awak tengoklah nanti apa kita buat..” rajukku pula.
Abah, mama dan Adam hanya ketawa. Aku terasa seperti dipermainkan meskipun aku berasa gembira kerana garis-garis duka hampir luput dari wajah-wajah kedua ibubapaku.
“ Eh.. hak lelakikan?” tambah abah.
Aku mendengus geram.
“ Ma... abah ni..” ujarku mengharap mama akan memberiku pertolongan. Sayangnya mama hanya ketawa. Ketiga-tiga mereka bersatu untuk mengenakanku. Melihat akan keadaan itu aku membuka langkah untuk meninggalkan mereka di situ. Pantas saja tanganku ditarik Adam membuatkan aku terjatuh di pangkuannya. Selamba dia memujuk;
“ Bagi saya, Ain segalanya.. dunia, akhirat.. saya akan berusaha membahagiakannya..” serius nadanya namun menyentuh perasaan. Tusukan panahan matanya menembus jauh ke dasar hatiku. Terdiamku jadinya mendengar janji itu. Lama kami berpandangan seolah-olah hanya kami saja di situ. Seolah-olah dunia saat itu hanya milik kami berdua. Seakan-akan abah dan mama tidak ada di situ. Menjalar pelbagai perasaan misteri. Beterbangan bunga-bunga indah seakan-akan menjadi penyeri suasana bisu antara kami berdua.
“Ehem..ehem..” deheman abah menyedariku. Aku pantas berdiri dari pangkuan Adam. Wajahku sudah merona merah. Terasa membahang panas dek malu dengan kejadian yang tiba-tiba itu. Senyuman nakal mama dan abah menambah rasa maluku yang menggunung.
“ Tahulah pengantin baru.. sabar-sabarlah..” usik abang yang tiba-tiba saja masuk babak perbualan kami. Aku mencubit abang dengan kuat demi rasa maluku diusik begitu. Abang berusaha mengelak dengan berlari di belakang mama. Adam tertawa melihat keadaan itu. Malas mahu menyahut usikan itu, aku meninggalkan mereka. Lebih baik layan rajuk daripada melayan usikan mereka yang selamba.
“ Eeee...dah jadi isteri orang pun merajuk lagi..” jerit abang yang masih singgah di pendengaranku.
Aku malas memberi respon dan hanya berlalu tanpa menoleh lagi.
“ Pergilah pujuk Adam.. nanti kena kunci pintu..” selamba Haikal berkata sambil menepuk-nepuk bahu adik iparnya yang kelihatannya sudah bersedia berlalu untuk mengikuti langkah isterinya. Senyuman di bibir Haikal agak nakal. Pasti ada yang sedang bermain di fikirannya saat itu!

0 ulasan: