“ 5 minit... kalau lambat, saya akan tinggalkan awak!” suara Iman kedengaran nyaring dari tingkat bawah. Lantaran tidak tahan dengan suara yang membuatkan aku semakin tertekan itu, aku keluar dari bilik dan menuruni anak tangga menemuinya.
Iman memandangku hairan. Aku membuang pandangan. Aku tahu sekejap lagi Iman akan mula berceramah percuma. Gara-gara kedaiku tergendala urusannya, aku melancarkan mogok terang-terangan dengannya. Makan minumnya tidak aku peduli dan sebahagian bajunya tidak lagi aku bersihkan dan kemaskan. Semuanya kuserahkan kepada pembantu rumah walaupun Iman benar-benar protes. Tambahan lagi semalam Iman melanggar syaratku kerana dia pulang melebihi jam 8 malam. Meskipun aku tahu mereka ada raptai untuk majlis makan malam syarikat kerana ia sudah dimaklumkan Hanani tapi aku tetap enggan menerima alasannya. Aku mahu dia merasa tidak bertuah bila di hari ulang tahunnya, dia tidak meraikan bersama seorang isteri yang dia nikahi.
“ Kalau pasal semalam, sayakan dah berikan sebab kukuh..” Iman memulakan bicara.
Aku merengus kasar.
“ Sayakan dah kata, saya tak mahu ikut! Janganlah paksa!” jawabku marah-marah.
Iman berpeluk tubuh. Dia sudah kelihatan segak dengan baju kemeja yang disarung kot dari luar. Gayanya benar-benar gentleman dan memikat hati perempuan yang gilakan penampilannya dan gila pada ketampanan suamiku itu! Sungguh bergaya dan ada karisma. Sebagai pengurus syarikat yang masih muda, Iman layak mendapat komen mengenai penampilannya yang memukau itu.
“ Saya pengurus syarikat, awak isteri saya! Tolong jaga maruah saya..” Iman mula mengingatkanku.
Aku mempamer wajah selamba.
“ Jangan paksa, faham tak?” jawabku seraya menaiki anak tangga dengan pantas.
“ Farah Humairaa!”
Jeritan Iman kubiarkan disapa angin. Suaranya hilang kemudian. Yang kudengar hanya dentuman pintu luncur. Aku tersenyum kemenangan. Aku tahu hati Iman terbakar dengan tingkahku. Puas rasanya hatiku. Kalau ini dianggap balas dendam, ya.. aku mengiakannya. Bagaimana mungkin aku tidak menyimpan rasa marah? Peristiwa semalam masih lagi segar di fikiran. Iman melakukannya hanya kerana dia tertekan dengan tingkah Maya yang telah ditemuinya sewaktu tengahari kelmarin. Lantaran rasa tidak berpuas hati itulah, Iman melepaskan marahnya padaku.
Adilkah Iman begitu padaku? Kalau dia ada perasaan terasa hati, aku juga merasakannya. Aku yakin dia tahu bahawa semua insan dilahirkan mempunyai perasaan yang dia rasakan. Untuk dijaga dan tidak disakiti. Lantaran itu, kenapa Iman nekad semakin melukakan hatiku?
Tapi...
Oh tidak!
Aku tahu Maya juga akan hadir ke majlis ulang tahun syarikat Iman.
Ah... ini tak boleh jadi!
Aku berjalan mundar-mandir di sekitar situ. Sesekali menggaru-garu kepala yang kurasakan tidak gatal. Entah kenapa aku mula rasa tidak senang. Merasa tidak keruan dan gelisah! Aku sendiri tidak tahu kenapa aku tidak senang bila Iman mendekati Maya. Yang aku tahu, aku bukan cemburu.
Argh! Serabutnya.
Aku bergegas masuk semula ke dalam bilik tidurku. Aku membuka almari pakaian dan mencari gaun yang dipilihkan Hanani untuk aku menghadiri majlis itu. kata Hanani, itu pilihan Iman kerana kebetulan dia dan Iman melintasi kedai baju itu sewaktu mereka menghadiri mesyuarat. Iman kata baju itu cantik namun dia tidak punya sebab membelinya kerana tidak tahu untuk siapa dia berikan. Aku sendiri tidak pasti kenapa Hanani benar-benar mahu aku membuat kejutan untuk Iman dan aku sendiri tidak tahu kenapa aku juga mahu mengikut segala perancangan Hanani untuk membuat Iman terasa disayangi.
Disayangi?
Aku menarik gaun itu keluar lalu mengenakannya ke tubuhku. Aku mencapai alat solek dan berdandan ala kadar. Aku mahu kelihatan cantik sebagai isteri Iman bukan kerana aku benar-benar mahu menggembirakan ulang tahunnya, tapi aku tidak suka Maya yang memainkan peranan itu!
Egois?
Hipokrit?
Ah.. apapun tanggapan hatiku, aku tidak peduli.
Telefon bimbitku berbunyi nyaring.
“ Kau jadi datang tak ni?” suara Hanani kedengaran risau dari corong telefon. Tanpa salam, dia terus bertanyakanku soal itu.
Aku tertawa kecil.
“ Kepohlah kau ni.. aku on my way..” jawabku dan terus tergesa-gesa menuruni anak tangga dan mencapai kunci kereta pemberian Iman, hadiah perkahwinan kami seperti yang tertulis dalam perjanjian.
Mataku tidak henti-henti mengerling jam di tangan. Sungguhpun begitu, aku harus memandu dengan berhati-hati. Jika sekali aku terempuh mana-mana kereta, sengaja atau tidak, secara rasmi kereta ini akan menjadi hak milik Iman semula.
Ah.. aku tidak inginkan itu terjadi!
Aku takut terlepas keadaan dimana aku harus tampil memberi persembahan kejutan untuk Iman. Kata Hanani, 20 minit majlis bermula, aku harus tampil.
Argh! Kusutnya...
Demi saja sampai ke tempat letak kereta, aku keluar dengan cepat. Aku mendapatkan Hanani yang sudah kelihatan risau di muka pintu dewan utama syarikat milik suamiku itu. hampir-hampir saja Iman terpandangkan aku kerana aku terpaksa melintasi mejanya untuk sampai ke belakang pentas.
Hanani terpaksa melindungi aku dari pandangan Iman. Laju saja Hanani mempercepatkan langkah membawaku ke belakang pentas. Degupan jantungku semakin kuat kerana sesaat lagi, aku akan keluar berdiri di hadapan ratusan orang yang menghadiri majlis ulang tahun syarikat yang juga kebetulan ulang tahun suamiku itu.
“ Untuk pertama kalinya, kami memberikan kejutan untuk Encik Iman Rizqi. Terimalah, lagu untuk pemilik syarikat kita sempena ulang tahunnya.. Lagu yang diperkenalkan oleh Azharina, Seandainya..”
Suara pengumuman yang menjemputku keluar ke pentas itu disertai dengan tepukan gemuruh. Teragak-agak aku untuk keluar.
Aku memandang Hanani.
Hanani tersenyum.
“ Go...” suara Hanani kedengaran lembut memberiku kekuatan. Itu dapat kubaca dari gerak bibirnya.
Aku menghela nafas.
Aku melangkah keluar dengan penuh yakin. Lampu utama tertumpu padaku dan lampu di sekeliling terpadam. Satu cahaya lagi tertuju kepada Iman yang terang-terangan terkejut dengan kehadiranku.
“ Happy birthday, sayang..” ucapku perlahan dengan mikrofon, yang membolehkan seluruh isi dewan mendengar ucapan yang lahir dari hati kecilku.
Irama muzik kedengaran beralun perlahan. Aku punya kekuatan untuk melakukan ini saat terpandang Iman tersenyum padaku. Walaupun sentuhan tangan Maya terlihat di lengan Iman, tapi aku tahu pandangan Iman lebih kepadaku. Sungguhpun hati kecilku terusik dengan panorama itu, tapi aku tidak harus mengalah! Iman harus tahu bagaimana caranya menghargai orang yang sudah mempermudahkan jalan hidupnya!
Seandainya tidur
Malamku
Diulit mimpi bersama
Denganmu..
Dan andainya dalam
Jagaku
Bukannya mimpi
Namun realiti
Kan gubah puisi
Indah
Seribu makna
Demi kasihku padamu
Aku rindu kepadamu
Siang malamku
Bagai tak menentu
Oh Tuhanku..
Kabulkanlah
Demi bahagia..
Yang kudamba..
Saat irama terus bermain, aku menghampiri Iman, menuruni pentas itu. langkahku kugerakkan menawan. Sebiji kek kecil kubawa kepadanya dan kesuakan kepada Iman. Tapi dia tidak menyambutnya. Panahan matanya menikam jauh ke dalam dasar hatiku. Melahirkan rasa aneh dan entah. Aku sendiri tidak tahu membuat kesimpulan apa.
Bibir Iman menyentuh dahiku. Agak lama. Seolah-olah saat itu hanya ada aku dan dia. Tepukan gemuruh hadirin yang datang membuatkan aku tersedar dari pukauan itu. panas rasanya mukaku dengan tindakan selambanya.
“ Thanks..” bisiknya dekat kepadaku.
Aku tersenyum lalu mengangguk perlahan. Aku mengerling Maya yang sudah berubah masam di sebelah Iman dan bersilih ganti memandang Iman yang aku tahu masih terkejut dengan kehadiranku.
Tanpa kata, tanpa suara, Iman menarik pergelangan tangan kiriku dan membawa aku keluar dari himpunan tetamu yang ramai itu. Langkahku pula tidak tahu berhenti dan pantas hanya mengikut saja kemana ia dibawa. Hinggalah di kawasan letak kereta, langkah kami mati.
“ Masuk..” Iman bersuara perlahan.
Aku terkebil-kebil memandangnya. Aku yakin Iman tahu aku datang kemari menaiki kereta sendiri.
“ My car?”
“ Saya suruh Pak Amin ambil nanti..”
“Tapi kunci ada pada saya..”
“Bukannya tak ada kunci pendua”
“ Dalam biliklah..”
Iman sudah menapak di hadapanku dengan wajah yang serius. Aku tahu mungkin Iman sudah sebal mendengar bantahanku yang kian terus-terusan menolak cadangannya.
Aku terus mengunci mulut bila Iman menjengilkan matanya. Dia membuka pintu keretanya. Tanpa banyak bicara lagi, aku masuk ke dalam dan sempat menghadiahkannya jelingan.
Iman memandu keretanya dengan tenang sedangkan aku menahan rasa. Susah hati kerana keretaku tinggal di situ.
Iman mengerling Humairaa yang berada di sisinya. Dia tahu Farah Humairaanya itu sedang bersusah hati. Hanya kerana dia terpaksa meninggalkan keretanya di syarikatnya. Hati lelakinya benar-benar terkejut dengan kehadiran Humairaa tadi. Isterinya itu kelihatan sangat cantik di malam hari jadinya itu. Dia sendiri tidak pasti apakah Humairaa benar-benar mahu membuatnya bahagia saat itu atau dia disuruh melakukannya. Hendak bertanya, dia takut rasa sakit hati jika jawapan Humairaa nantinya menyakitkan hatinya dan bukan seperti yang dia inginkan. Mungkin lebih baik dia berdiam dari menanyakan maksudnya. Sekurang-kurangnya dia ingat, Humairaa pernah membuat dia rasa bahagia.
Iman menyentuh jemari kanan Humairaa namun dengan wajah yang serius. Niatnya ingin mengusik Humairaa yang nyata sudah menunjukkan muka protes sejak dia membawanya pergi dari situ. Dia mahu Humairaa terus membahagiakannya waktu itu. tapi, dia enggan menyatakan hasratnya itu kerana malu jika Humairaa mentertawakannya.
Bukankah mereka masih ingin bermusuhan?
“ Driving buatlah cara driving, tangan janganlah merayap..” sindirku tapi tidak pula mengalihkan tangan yang disentuh Iman. Aku tersentak dari menyimpul angan, mengimbas apa yang telah aku lakukan untuk dia. Rasa malu pun ada. Selama ini, hendak menyanyi depan kawanku sendiri lagi aku segan, inikan di hadapan ramai orang. Tapi entah, demi dia aku sendiri disapa semangat baru. Berani tampil di hadapan anak-anak buah syarikatnya seolah-olah artis professional.
Aku tersenyum sendiri.
“ Senyum sendiri pula..” Iman menjawab lalu dia melepaskan pegangan tangannya.
Aku menjeling.
Kereta dihentikan.
Aku melihat sekitar tempat yang mematikan destinasi kami. Sudahlah hari berubah gelap, sunyi pulak. Setentunya di vila kami. Mama pasti masih berada di rumah Pak Ngah kerana menghadiri malam berjaga-jaga untuk anak Pak Ngah yang akan melangsungkan perkahwinannya minggu hadapan.
Iman menarik tanganku dan membawaku menuju ke halaman belakang. Dengan payah aku mencuba menyaingi langkahnya kerana gaun yang kupakai ini terlalu labuh. Tambahan lagi aku memakai kasut bertumit tinggi.
“ Janganlah cepat sangat.. susah jalanlah..” aduku dengan suara kurang senang.
Iman tidak menjawab. Dia hanya memandangku sekilas. Dia mengarahkanku duduk di kerusi halaman vila, berhampiran tangga menuju ke pantai.
Iman menapak di hadapanku dengan wajah serius. Kenapa Iman begini, aku kurang pasti. Aku tidak tahu sebabnya. Adakah dia tidak suka aku menampilkan diri di majlisnya atau dia rasa bersalah pada Maya.
“ Awak marah?” tanyaku bagai orang bodoh.
Iman tidak menjawab. Dia masih terus-terusan meneliti aku dari atas hingga ke bawah.
“ Tadi kata tak nak ikut..”
Aku mengetap bibir.
“ Saja ubah fikiran..”
Pandangan sengaja kualihkan dari melihatnya.
Iman menyentuh daguku.
Aku menelan liur.
Dia membongkokkan sedikit badannya lalu mendekatkan wajahnya di pipi kananku.
“ My girl.. you’re beautiful..” bisiknya lalu menarik aku ke dalam pelukannya.
Aku terpana. Tidak membalas, tidak jua menjawab. Hatiku di dalam berdetak kuat. Rasa serba-salah juga ada.
Iman sudah tertawankah kepadaku?
Aku menolak dada Iman, berharap dia akan merenggangkan pelukan.
“ Kenapa dengan tiba-tiba awak begini?” tanyaku kebingungan.
Iman masih serius. Tanpa senyuman.
“ Saya peluk isteri sayakan..”
Aku mengangguk.
“Tapi awak tidak begini sebelum ini..”
“ Tapi tak salahkan..”
Aku mengangguk lagi.
“ Saya suka dengan apa yang awak lakukan Farah.. “
Aku menelan liur.
“ Seumur hidup saya, hari ini paling membahagiakan saya..”
Aku dipagut rasa bersalah. Keterlaluankah sudah aku dengan apa yang telah aku lakukan untuknya?
“ Takkan bersama Maya tak pernah?” soalku seraya berusaha menjauhinya.
Iman meraup wajah.
Jangan sesekali kau berani bohongi aku, Iman....
“ Tapi ini lebih bermakna..”
“ Kenapa?”
“ Sebab luahan hati awak, awak sampaikan melalui lagu dan itu lebih membukti segalanya..”
Dan lebih sampai ke dalam hati, Humairaa....
Aku terdiam mendengar Iman membuat kesimpulannya sendiri.
“ Tapi saya hanya menyanyi..” jawabku tidak berpuas hati. Aku tidak mahu Iman tersalah sangka dengan apa yang telah aku lakukan untuknya. Walaupun tujuanku yang sebenar mahu membuat dia jatuh cinta dan merana kerana dia sememangnya egois tapi bukan dalam waktu yang terdekat ini. Aku takut!
Iman ketawa kecil dan menarik tanganku, menemaninya bersiar-siar di pantai, belakang vila kami. Meskipun disapa angin malam yang dingin tapi aku tidak bersedia menghampakannya kerana ini merupakan hari yang paling bermakna buatnya. Hari yang hanya diraikannya sekali setahun.
Langkah kami berdua mati berhampiran gigi pantai. Aku menggosok-gosok kedua belah tanganku, mencari suhu panas kerana kedinginan malam sudah mula kurasakan menggigit tulangku.
Iman membuka kotnya lalu menyarungkan ke tubuhku.
Aku mengetap bibir. Tersentuh hati dengan kelakuannya yang tiba-tiba itu.
Dia memeluk dari belakang, erat. Aku hanya membiarkan saja dagunya di bahu kananku. Aku lebih merasa kehangatan dan itu yang aku mahukan untuk mengurangkan rasa sejuk yang sudah mula membuatku tidak senang menemani malamnya.
“ Pernah tak bercinta?”
Soalan itu tidak terduga, lahir dari bibirnya.
Aku mengangkat bahu.
“ Tahu tak rasanya rindu?”
Aku masih diam, tidak menjawab.
Kenapa tiba-tiba mood romantiknya datang?
Iman memusing tubuhku untuk memandangnya.
“ Bibir awak seksi..” bisiknya.
Aku tersentak. Cepat-cepat aku menutup bibirku dengan tanganku.
Iman melepaskan tawa bersahajanya.
Dia menarik kedua belah tanganku lalu menggenggamnya erat. Tidak lama kemudian dia melepaskannya.
Aku mengetap bibir.
“ Farah...” panggil Iman perlahan.
Aku memandangnya.
“ Ya..?”
Bibirnya menyentuh bibirku.
Lama.
Aku tidak terkata.
Bagai di kayangan, sentuhan itu membuat aku lupa diri.
0 ulasan:
Catat Ulasan