BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Rabu, 19 Januari 2011

Bab 25-semalam dalam kenangan


Sepulangnya dari tempat percutian, aku memilih untuk tinggal seminggu di rumah mertuaku. Awalnya, mama keberatan untuk aku tinggal di sini tapi setelah berulangkali aku memujuk aku akan selalu menanyakan khabar, maka mama pun dengan rela membenarkanku. Kepulangan kami minggu lalu disambut  mesra oleh Sarah, ahli keluarga suamiku yang selalu mesra bersama umi.
Aku berlegar sekitar rumah mertuaku. Adam sudah lama pergi ke sekolah untuk memulakan pekerjaan setelah hampir 3 minggu bercuti. Oleh kerana bosan, aku mengambil keputusan untuk bersiar-siar di halaman. Dari halaman rumah depan, aku menyusur sekitar kolam dan akhirnya aku menapak di belakang rumah. Langkahku mati di hadapan pintu bilik yang sudah kelihatan sedikit usang. Sepertinya, bilik itu sudah lama tidak dijejaki.
Aku menghampirinya dan mencuba membukanya. Pada awalnya ia agak sukar meskipun aku berkali-kali mencubanya. Tidak mahu berputus asa, aku memaksa diri untuk membukanya lagi. Akhirnya pintu itu dapat kubuka.
Aku menapak masuk dan melilaukan mata di sekelilingnya. Bilik yang berhabuk itu membuatkan kepalaku sedikit pening. Namun rasa ingin tahuku membataskan semua itu. Aku ingin tahu kenapa bilik ini tidak lagi dijejaki. Sungguhpun keadaannya sedikit gelap tapi aku masih dapat melihat isi ruang itu di sebalik cahaya yang masuk di jendela sebelah kananku. Cahaya matahari yang menerjah dari situ membolehkan aku meneliti satu persatu benda yang ada di situ. Mataku tertarik di satu ruangan yang terdapat peti besar. Aku menghampirinya dan berusaha membukanya. Banyak habuk di situ dan terkadang membuatkan aku hampir saja berputus asa untuk membukanya. Dengan tenaga yang masih ada, aku berusaha lagi membukanya. Aku membongkokkan badan dan membongkar isi di dalamnya. Aku mencapai sebuah bingkai gambar.
Aku membersihkan habuk di atasnya dan jelas terlihat wajah-wajah di dalam potret itu. Bagaikan tersentap tangkai hatiku, potret itu menghancurkan sekeping hatiku lebih dalam.
Ini potret sebuah perkahwinan.
Di dalamnya wajah suamiku dan seorang perempuan sedang tersenyum mesra. Wajah perempuan itu sama seperti perempuan yang menyambut kedatanganku dua hari yang lalu di vila umi ini. Patutlah senyumannya nampak manis dan aku perasan Adam juga membalas senyumannya. Kerana bagaikan tertipu, aku melempar bingkai itu ke dinding dan berkecai. Hancur luluh lagi sekeping hatiku. Bagiku, cukup dengan gambar itu aku sudah boleh membuat kesimpulan bahawa Adam sebenarnya pernah berkahwin sebelum denganku. Masihkah Adam punya hubungan dengan perempuan itu?
Airmataku jatuh satu persatu.
Aku terduduk di situ bersama esakan yang memilukan. Tertipukah aku selama ini dengan kata-katanya? Apakah sememangnya silapku kerana dengan mudah menerimanya tanpa memastikan latar belakangnya? Benarkah aku sekarang bermadu atau sedang berkongsi kasih dengan seseorang yang juga memegang status isteri? Apakah aku sudah menghancurkan sekeping hati lantas membina bahagia di atas penderitaan orang lain?
Aku mengesat airmata lalu keluar dari bilik stor itu bersama hati yang hancur. Aku bergegas masuk ke dalam vila dan segera naik ke bilik. Aku mencapai kunci di atas meja solek dan beg tanganku. Tanpa lengah, aku keluar tergesa-gesa. Aku bertembung dengan perempuan yang kulihat di dalam potret itu. Melihat beningnya yang polos, ternyata menambah getar dalam hatiku.
Aku memandangnya sekilas dan meneruskan langkah. Tapi, tanganku pantas ditariknya.
“ Kenapa menangis Ain?” soal perempuan itu perlahan.
Aku menghela nafas kasar.
Kenapa berpura-pura baik di hadapanku Sarah?
Aku merentap tanganku kasar. Aku membalas pandangannya dengan rasa benci yang sesungguhnya.
“ Eh, kenapa ni?” soal Sarah lagi.
“ Kenapa? Saya yang patut tanya kenapa!”
Sarah membuat muka bingung.
“ Kenapa hancurkan hati saya dengan berpura-pura begini Sarah?” soalku terkilan.
Sarah terdiam.
“ Apa yang sudah saya lakukan Ain?”
Aku memejam mata. Menahan rasa sakit yang terlalu di hati. Beginikah sudahnya bahagia yang baru aku rasai? Beginikah ceritanya hidup sebuah perkahwinan? Kenapa lukakan hatiku sebegini teruk Adam?
“ Awak menantu keluarga inikan?” soalku.
Sarah mengangguk.
“ Kalau kenalan pertama dulu saya kata saya anak mereka itu membuatkan awak marah, saya rasa itu melampau!” marah Sarah pula.
Aku merengus kasar. Umi sudah mula masuk campur.
“ Kenapa ni Ain, Sarah?” soal umi silih berganti.
Aku terdiam. Tidak berniat mahu menjawab pertanyaan umi kerana bagiku Sarah yang patut menjawab pertanyaan itu. tapi keadaan hanya terus-terusan bisu.
“ Sarah juga menantu di rumah inikan, umi?” soalku perlahan.
Umi mengangguk.
Kenyataan itu sungguh merobek sekeping hatiku.
Apa maksud Adam merahsiakan kehadiran Sarah dalam keluarga ini?
“ Adam tak cerita?” soal umi pula.
Aku menggeleng. Sedih sungguh hati ini. Bagai dicalar-calar dan sungguh, aku rasa pilu dan hampir-hampir gila dengan semuanya. Sakit benar-benar ada.
“ Tak perlu umi kalau ia hanya membuat Ain menderita..” hambar jawapanku membuatkan umi terpana.
“ kenapa ni Ain?” soal umi lagi sambil menarik aku ke dalam pelukannya. Aku dapat rasakan dalamnya kasih umi menyelami hatiku yang luka. Aku dapat rasakan sentuhan umi seolah-olah ingin mengurangkan sakit di jiwaku. Aku ingin merasakan hilangnya rasa itu dengan setiap sentuhan. Aku benar-benar berharap apa yang berlaku saat ini hanya mimpi.
“ Ain lihat semuanya di potret bilik belakang rumah tadi umi. Itu sudah cukup menceritakan semuanya..” jawabku sayu dan menarik diri dari pelukan umi. Sarah hanya memerhati dengan pandangan tidak mengerti.
Sarah kemudiannya tersedar. Pasti Ain sudah melihat gambar yang sudah lama disimpan di dalam bilik itu. Gambar yang banyak menyimpan kenangan duka itu terpaksa disimpan di tempat yang tidak lagi ditemui. Tapi kini, Ain telah menemuinya. Yang membuatkan keadaan mula haru semula.
“ Itu hanya salah faham, Ain..” pujuk Sarah pula.
Aku menggeleng kepala. Perlahan-lahan aku meneruskan langkah ke muka pintu.
“ Salah faham yang mungkin akan membuatkan saya membenci awak, Adam dan seluruh keluarga ini!”
“ Ain!” tegur Adam tiba-tiba di belakangku. Mungkin saja dia baru pulang dan mungkin juga dia mendengar baris kata-kataku. Wajahnya kelihatan tegang. Mungkin sedang menahan rasa marah barangkali. Meskipun dia belum mengetahui punca sengketa yang berlaku antara isterinya dan isi keluarganya, namun dia bertanggungjawab menghentikannya dan membela keluarganya.
“ Kenapa Adam?” sahutku berani, dengan marah.
Aku bercekak pinggang, dengan menahan rasa marah dan juga benci.
“ Kenapa tiba-tiba biadab Ain?” marahnya pula.
Biadab?
Ya.. biadab.
Aku tidak peduli kalau Adam rasa aku sudah berlaku biadab, tapi kenyataan yang baru aku ketahui itu lebih cukup melukakan hatiku. Salahkah kalau aku mahu mempertahankan hak dan harga diriku sebagai perempuan?
“ Kenapa salahkan Ain, bang? Kenapa Ain?” marahku dalam tangis seraya memukul dadanya. Tanpa henti seiring dengan tangisku. Sungguh sakitnya hatiku dengan semua caranya. Sakit hatiku dengan rahsia ini. Sakit juga hatiku betapa dia telah berjaya memiliki hatiku. Dan yang lebih sakit, Adam belum berusaha memujukku apatah lagi berterus-terang dengan apa yang sudah pun aku ketahui.
“ Yang.. kenapa ni?” soalnya perlahan. Hairan jadinya dengan tingkah isterinya yang tiba-tiba saja mengamuk sakan.
“ kenapa tak ceritakan soal Sarah?”
Adam melepaskan tanganku. Melihat dirinya yang masih termangu dan masih berkira-kira mahu menjawab, aku meluru keluar.
Cukuplah Adam.
Aku tahu tingkah itu.
Aku menghidupkan enjin kereta dan pantas keluar dari perkarangan vila itu. Meski laungan panggilan Adam, umi dan Sarah juga kedengaran memanggilku dengan wajah yang cemas tapi aku hanya memandang mereka di balik cermin keretaku.
Maaf semua..aku telah mencipta sengketa kerna tidak ingin ada yang menderita.
Bunyi hon di hadapanku terlalu membingit, seiring dengan kelajuan keretaku. Akibat tidak dapat mengawal keadaan, kenderaan berat besar di hadapanku sudah merempuh keretaku dan aku terhumban jauh ke belukar. Pandangan berubah kelam. Makin lama makin berubah gelap.
Ah.. barangkali ini saat aku harus terlelap tanpa sebarang derita.

0 ulasan: