BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 15 Januari 2011

bab 17-semalam dalam kenangan



Di ruang tamu dalam rumah kami kedengaran sedikit hingar-bingar. Persiapan majlis persandingan aku dan Adam sedang berjalan dengan lancar. Nasib baiklah abah dan mama sudah berterus-terang bahawa kedinginan mereka semalam adalah disebabkan rasa bersalah mereka mengahwini aku dengan Adam dengan tergesa-gesa tanpa memikirkan soal perasaan Adam. Pada mulanya abah dan Adam saling bertingkah suara tapi setelah Adam berjaya menyakinkan abah bahawa Adam benar-benar bersedia menerima aku sebagai isterinya, akhirnya abah dan mama serta Adam tidak lagi bermasam muka. Kata abah biarlah yang terjadi semalam menjadi pengajaran. Mungkin Adam sudah ditakdirkan menjadi suamiku. Aku yakin, setiap sesuatu yang terjadi adalah ketentuanNya. Mungkin kenangan semalam adalah rahmat menunjukkan bahawa sekuat mana ujian yang melanda dalam kehidupan kami sekeluarga, kami masih mampu memperbetulkannya dan tidak berpecah belah.
“ Ain..” panggil abang Haikal yang tiba-tiba saja berada di belakangku. Aku yang tadinya sedang leka melihat sanak-saudara yang sibuk membetulkan bunga telur itu terkejut kecil.
Abang Haikal ketawa nakal.
Aku membalasnya dengan jelingan geram.
“ Adam mana?” soal abang Haikal.
“ Rumah dialah..” sahutku bersahaja.
Dia tersenyum sinis.
“ Sunyi yeh?” usiknya nakal lalu ketawa.
Aku memukul tangannya dengan kuat kerana tidak suka dengan usikannya itu. Tapi sayang, abang Haikal masih lagi ketawa.
“ Eish.. betul abah kata.. dah jadi isteri orang pun masih merajuk..”
Aku manarik muka. Bukan bererti merajuk dalam erti kata sebenar tapi sekadar mengiakan usikan abang agar dia tidak lagi mengusikku dengan lebih jauh. Jujur saja aku akui, aku terasa akan ketiadaan Adam. Entah kenapa, aku sudah rasa lain.
Abang Haikal menarik tanganku dan mengajak aku berlalu dari situ. Demi saja berdiri di ambang pintu, suara mama sudah kedengaran membebel.
“ Haikal, janganlah bawa Ain keluar. Pengantinkan darah manis..” tegur mama dengan nyaring.
Aku memberi isyarat ibu jari kanan kepada abang Haikal lalu mengkekek ketawa. Mungkin kerana geram akibat dimarahi mama, abang Haikal mencubit pipiku kuat semahunya hingga aku terjerit kecil jadinya.
“ Habis tu, macamana nak bermanja dengan adik ni?” soal abang Haikal dengan lagak manjanya hingga melahirkan rasa meluatku.
“ Ruangan bacaankan ada..” cadangku takut didengar mama.
Abang Haikal mengangguk.
“Bagus cadangan itu.. jom!” ajak abang seraya menarik aku ke bilik ruangan bacaan kami yang tidak jauh dari tempatku berdiri.
“ Jangan lama-lama. Lepas ni Ain mesti mandi bunga, berinai, mandi lulur..” bebel mama hinggakan aku dan abang Haikal terpaksa mempercepatkan langkah kerana tidak tahan dengan mama yang nampaknya sudah mula hendak berleter. Tambahan lagi, aku paling tidak suka dengan benda-benda yang disebut mama kerana aku paling tidak gemar menghidu bau-bauan yang membuatkan tekakku loya.
Kami sama-sama ketawa sebaik saja masuk ke bilik ruangan bacaan. Sepertinya orang yang sudah berjaya melarikan diri setelah melakukan sesuatu kerja nakal. Masih nampak telatah kebudak-budakan kami berdua itu.
“ Kenapa bang?” soalku masih dalam sisa tawa. Aku sebenarnya tertanya-tanya kenapa abang Haikal mahu berbicara sesuatu yang agak jauh dari pendengaran mama dan abah.
Abang mengukir senyuman. Yang entah ikhlas entah hambar.
“ Selesa hidup dengan Adam?”
Aku mengerutkan dahi. Terasa ganjil pertanyaan itu. kalaupun tidak selesa bagaimana mungkin abang Haikal mahu mendatangkan rasa yang selesa kerana antara aku dan Adam, aku sudah menjadi haknya dan mana mungkin kami dapat dipisahkan lagi.
“ Abang tak rasa terlewat tanya soalan itu?” soalku pula dalam nada yang pura-pura ceria.
Abang Haikal kemudiannya terdiam. Entah kenapa, saat kebelakangan ini masing-masing mempamer rasa serba-salah mengahwinkan aku dengan Adam yang sudah nyata menjadi suamiku itu.
“Kenapa Ain tak tanya abang sebab abang pilih Adam untuk Ain?” soal abang Haikal lagi.
Aku berpeluk tubuh.  Semakin hairanku jadinya dengan pertanyaan abang.
“ Kalau abang rasa abang ada jawapannya, ceritalah sekarang..” jawabku selamba.
Aku sudah tidak mahu mendengar keluh-kesah tentang Adam lagi. Bukankah aku sudah bulatkan hati mahu memilih dia? Tapi mengapa akhir-akhir ini sepertinya ada saja halangannya?
“ Tak hairan macamana Adam boleh datang waktu Ain nak nikah?”
Aku termangu sendiri.
“ Tak hairan kenapa abang pilih Adam?”
Aku terdiam lagi.
“ Tak hairan?” tambahnya lagi membuatkan aku semakin tertekan.
“Janganlah berteka-teki lagi. Jawab sajalah!” sahutku dengan suara yang keras. Apapun jua alasan yang akan diberikan oleh abang Haikal, aku tetap mencuba bertahan untuk Adam!
“ Abang sebenarnya pentingkan diri..”
Aku merengus. Kenyataan apa lagi yang ingin abang sampaikan ini?
“ Terus-terang sajalah. Janganlah buat Ain macam ni..” tingkahku dengan suara yang kedengaran malas.
“ Adam pernah selamatkan abang masa di pedalaman dulu.. waktu zaman uni. Adam tu actuallynya kawan abang satu uni. Sebab abang dah janji yang satu hari nanti abang akan balas jasanya, abang pilih Adam kahwin dengan Ain.. kebetulan Adam memang dah kenal Ain. Jadi, ini kesempatan abang..” luahnya perlahan dalam suara yang tertahan-tahan.
Perasaanku saat itu benar-benar berkecamuk. Sampai hati abang Haikal buat aku begini. Dia juga melibatkan Adam agar rasa bersalahnya tidak ditanggung hanya dia seorang.
         “ Kenapa abang buat Ain begini?” soalku sayu.
Kenyataan ini terlalu sakit untukku terima. Meskipun abang ada terhutang budi dengan orang lain, tetapi kenapa harus aku yang membalasnya? Adilkah?
         “ sampai hati..” aduku lalu di situ aku menangis semahuku. Kenapa semakin hari aku semakin dihantui rasa sedih? Perlahan demi perlahan bermacam-macam kenyataan kudengar dan menerbitkan rasa pilu di jiwaku?
         Abang Haikal meraup mukanya. Mungkin terasa bersalah mendengar esak tangis adik kesayangannya.
         “ Maafkan abang Ain..”
         Aku berpaling dari memandang abang Haikal. Aku tidak peduli kalau hanya kerana hal itu aku sudah mula mencipta sengketa dengan abangku sendiri. Yang pasti, aku hanya menjadi mangsa keadaan. Hatiku bagai disayat dengan belati tajam. Luka dan parahnya hanya aku yang rasa. Mengapa ini harus terjadi kepada aku?
         “ Tidakkah abang rasa abang terlewat untuk mengucapkan kata maaf?” soalku sinis dalam tangis.
         “ Abang cuma berniat nak jadikan kita sekeluarga bahagia Ain..” pertahankannya seolah-olah aku yang bersalah meningkah kenyataan yang dilakukannya ini yang nyata silap.
         “ Kenapa cipta bahagia atas penderitaan Ain, bang?” tanyaku lagi sambil menggoyang-goyangkan bahunya. Aku seakan-akan tidak percaya bahawa abangku sendiri yang menuturkan kata-kata itu dengan sadis.
         “ Ain menderita?” tanya abang Haikal, lagak orang bodoh.
Pandangan mataku mencerlung. Penuh dengan hasrat amarah dan dendam.
         “ Ya bang. Ain rasa sakit! Sakit Ain memang semua tidak nampak sebab Ain rasa sakit kat sini!” marahku lagi sambil menunding ke dada.
         “ Sakit dalam hati Ain bang, siapa yang tahu?” sambungku lagi dalam nada yang tinggi dalam esak tangis.
         “ Abang pujuk Ain terima pilihan abah dan mama. Abang paksa Ain berkahwin dengan Adam dan sekarang, abang mahu paksa Ain apa lagi bang?”
         “ Abang paksa Ain lupakan sengketa atau abang paksa Ain pilih Ikhwan semula?”
         Pangg!
         Tamparan abang Haikal singgah ke wajahku. Peritnya hanya Tuhan saja yang tahu.
         “ Abang tak minta Ain buat begitu!” marahnya.
         Aku memegang pipiku yang menjadi mangsa tangannya itu.
         “Habis itu abang minta apa?” sahutku berani dengan marah. Biarlah, apapun terjadi terjadilah yang pasti aku tidak mahu hidupku diatur lagi.
         “ Semua kehidupan Ain diatur bang. Ain tidak diberi kesempatan mengikut kemahuan sendiri, kenapa bang?? Ain bukan kanak-kanak lagi!!”
         Aku memandangnya dengan rasa marah yang terlalu. Tidakkah aku terlalu bodoh dengan hakikat ini?
         “Abang yang ajar Ain untuk terima semua dan abang juga yang ajar Ain untuk tinggalkan semua!!” marahku lantas pergi dari situ tanpa lengah lagi. Makin lama hatiku makin sakit. Makin lewat hatiku makin luka. Lantas, masih pantaskah aku bertahan di ruangan itu?
         “Ain!!” seru abang dengan lantang saat tombol pintu kubuka.
         Langkahku terpaku. Seraut wajah mempamer riak serius berdiri tegak di hadapanku.
Aku mengesat airmata. Menggigit bibir. Pasti bicara kami telah didengarnya memandang wajah tua di hadapanku itu kelihatan tegang.
Aku mendengus lagi.
Abah...!

0 ulasan: