“ Sorry lah ma.. Ain nak cepat ni..” jawabku seraya mencapai kasut di atas rak. Aku menolak untuk tidak menjamah sarapan hidangan mama. Hari ini aku terlewat lagi gara-gara merancang program untuk perkhemahan itu. Mama pasti hendak mulakan perang mulut.
“ Siapa suruh Ain akhir tidur semalam?” bebel mama pun bermula. Aku sekadar tersengih. Aku mencapai tangannya seraya mencium tangan dan pipinya.
“ Nak jadi isteri orang pun sibuknya mengalahkan abang lah..” sahut abang pula yang baru menuruni anak tangga. Aku membalas usikan abang dengan jelingan.
Aku dengar abang hanya tertawa. Aku pantas mempercepatkan langkah menuju ke kereta. Aku menekan punat alarm dan membolosi ke dalam kereta abah. Aku tidak tahu kenapa aku enggan membeli keretaku sendiri. Bukan apa, kereta idamanku itu harganya mahal makanya aku lebih senang menggunakan kereta abah. Lagipula, kalau malas memandu aku hanya akan perlu merengek meminta abah menghantarku atau pada abang saja. Nasib baiklah abah ada dua buah kereta, kalau tidak jangan harap aku pandu kereta Mazda 2 abah ni. Sungguhpun mama berulangkali memaksaku membeli kereta sendiri, aku lebih senang menjawab meminta mama yang belikan. Mama pernah menyuarakan hasrat untuk membelikan kereta yang kuimpikan itu namun setelah kuceritakan kereta yang aku maksudkan, mama hanya hadiah aku dengan satu cubitan.
Nissan Fairlady 370z!
Aku tersenyum sendiri bila teringatkan peristiwa itu. Mana mama tak marah kalau harga kereta itu bayaran bulanannya mahal. Disebabkan itu jugalah aku malas mahu membeli sendiri. Tambahan lagi aku kuat berbelanja, mana cukup kalau hampir 1/3 gajiku hanya untuk membayar kereta!
Pagi itu memang sudah nasib agaknya terpaksa letak kereta jauh. Maklumlah, tempat-tempat yang dekat sudah dipenuhi oleh kereta-kereta warga veteran! Kadang-kadang aku rasa mereka ni melampaulah. Semuanya nak kena hormat tapi perangai mereka menyakitkan hati. Dah berapa banyak guru-guru muda makan hati, termasuk aku! Sebab itulah mereka lebih cepat tamatkan zaman bujang supaya dikatakan setaraf! Adakah patut?
Lagu cinta kita tiba-tiba kedengaran. Itu tandanya ada pesanan ringkas masuk ke telefon bimbitku. Aku memandang skrin telefon bimbitkan. Pesanan dari Ikhwan!
I miss you, hari ni saya out station. Take care ya!
Seringkas itu sahaja pesanannya yang dihantarnya kepadaku! Sudahlah semalam dia langsung tidak menghubungi aku, hari ini dia out station pula! Aku sudah dapat rasakan aku seakan-akan mula protes dengan tingkahnya. Padahal, aku sepatutnya berusaha untuk menerima dia sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya!
Aku menghela nafas. Malas mahu berfikir panjang soal itu. Aku tidak berniat mahu membalas pesanannya itu. Biarlah, kalau rinduku datang padanya aku akan membalasnya. Aku mematikan enjin kereta dan mengambil barang keperluanku di kerusi belakang. Aku keluar dari perut kereta dan menutup pintunya perlahan. Tak habis-habis rungutanku dalam hati kerana terpaksa berjalan jauh. Inilah akibatnya kalau terlewat sampai.
Beberapa minit kemudian, aku sampai ke bilik guru. Ada yang tersenyum bersahaja, sinis, buat-buat ramah dan macam-macamlah lagi. Bukannya aku bersangka buruk tapi itu adalah kenyataan. Entah kenapa, aku tidak tahu. Padahal, aku tidak pula suka cari gara-gara dengan mereka. Pernah sekali aku dituduh pura-pura baik disebabkan ramai murid-murid mereka menjumpaiku untuk kelas tambahan. Semua itu terjadi bukan atas kehendakku tapi pilihan mereka. Kadangkala aku pening memikirkan karenah mereka. Mungkin kerana aku ni memang baik agaknya? Aku tertawa sendiri.
Aku pantas menghayun langkah menuju ke mejaku. Sesaat aku terpandang Kak Liah yang sedang tekun membaca sesuatu. Selesai menyimpan barang, aku mendekati Kak Liah. Hatiku diburu berbagai pertanyaan tentang khabar yang dibawanya semalam. Benarlah aku ternampak ada barangan baru di atas meja di depanku itu namun kelibatnya tidak pula ada.
“ Hah.. ni kenapa ni?” sergah Kak Liah tiba-tiba.
Aku tersengih. Aku tahu, aku pasti telah mengganggu ketekunan Kak Liah.
“ Mana?” soalku sambil mengisyaratkan bibir ke tempat yang kumaksudkan.
Kak Liah sekadar mengangkat bahu.
Aku menarik muka.
Merajuk!
Tapi Kak Liah hanya ketawa. Aku pantas berlalu kembali semula ke mejaku.
“ Takut pula bila dah pandang, Ain langsung tak terkata pula..” usiknya dalam nada tawa yang masih bersisa.
Aku membalas usikannya dengan jelingan. Namun tawa Kak Liah masih kedengaran. Di sekolah ini, aku hanya senang bergaul dengan Kak Liah kerana hanya dia yang tidak sombong dan amat ramah denganku. Kalau harapkan yang lain, alamat tak berkawanlah aku.
Aku melilaukan mata mencari gerangan yang menghuni meja di hadapanku itu namun hampa. Hampir kesemua wajah guru yang ada di dalam ruangan ini kukenal. Hampa dengan situasi itu, aku mula menyibukkan diri menyelongkar fail murid-muridku.
Aku jadi tidak keruan kerana fail muridku itu kurang satu. Sedangkan semalam, semuanya ada 17 buah. Aku cuba mengingat-ingat dimana aku menyimpan yang hilang itu.
Aku menepuk dahi. Ya! Di dalam kereta! Semalam aku terbawanya dengan tidak sengaja kerana sibuk mengejar waktu memandangkan mama bergegas menyuruh aku pulang. Aku menyelongkar kereta abahku itu di tempat duduk belakang dan akhirnya jumpa. Aku menutup kembali pintu kereta.
“ Assalammualaikum..”
Sapaan suara garau itu mengejutkanku. Habis terjatuh benda di tanganku dan terburai segala kertas yang ada di dalam fail itu. Aku menoleh pada yang empunya suara. Lama mataku terpaku, memandang wajahnya. Sungguh! Ia adalah sesempurna ciptaan Ilahi.
Aku tersedar setelah kudengar bunyi deheman. Aku jadinya gugup dengan situasi itu. Pantas aku mengutip kertas yang bertebaran di atas jalan itu. Salamnya kubiarkan sepi tanpa jawapan.
“ Assalammualaikum...” sekali lagi salamnya kedengaran.
Aku menjawabnya dalam hati dan membalas pandangannya dengan senyuman hambar. Mungkin dia agaknya guru baru yang dimaksudkan Kak Liah.
“ Cikgu Ain ya?” soalnya.
Aku terdiam. Tertanya-tanya bagaimana dia tahu namaku sedangkan aku tidak memakai ‘tag’ nama. Malas mahu berteka-teki, aku sekadar mengangguk sebentar dan pantas berlalu meninggalkannya. Mana tahan! Cuaca panas dan aku harus berdiri di bawah terik matahari sekadar untuk berkenalan?
Aku memperlahankan langkah untuk jalan seiringan dengannya. Tujuan kami sama, hanya menuju ke bilik guru. Anehnya, dia hanya diam. Mungkin terasa hati dengan responku yang ketara dingin. Aku menolak daun pintu dan mempersilakannya masuk terlebih dulu. Belum sempatku melabuhkan punggung, Kak liah mula bersuara.
“ Ain, 10 minit lagi kita masuk bilik mesyuarat ni. Meeting pasal program tu..” khabar Kak Liah.
Aku sekadar mengangguk seraya berlalu. Namun, tanganku pantas ditarik Kak Liah.
“ Beritahu juga kat abang depan meja Ain tu..” bisik Kak Liah seraya ketawa nakal.
Aku tersentak lalu memukul tangan Kak Liah manja. Lantas, aku segera berlalu menuju ke mejaku. Lama aku terdiam sebelum memulakan bicara. Hanya mata sahaja saling berpandangan.
“ Ya?” soal cikgu baru di hadapanku itu, seolah-olah menanti cerita yang ingin kusampaikan. Senyumannya tidak lekang dari bibirnya. Seakan-akan hatiku dicalar-calar dengan halus seri senyuman itu.
“ Kejap lagi ada meeting..” sambungku sedikit gugup seraya duduk di tempatku. Aku menggigit bibir. Kenapalah dengan aku ni? Takkan tak boleh berdepan dengan orang depan ni pulak?
Dia menongkat dagu. Mengaju pandangan padaku yang melahirkan rasa kurang selesa padaku.
“ Kenapa?” soalku sopan.
Keningnya terangkat. Dia ketawa bersahaja.
“ Tak ingin tahu nama saya?” soalnya dalam nada mengusik.
Aku sekadar mengangkat bahu. Tidak berniat mahu membalas usikannya. Sengaja!
Aku ingin tahu kesungguhannya berbicara denganku meski dalam hati aku menahan tawa melihat perubahan pada mukanya.
“ Hmm.. Saya Adam Alshahdi..” sambungnya dan dia segera berlalu bersama buku di tangan meninggalkan aku termangu sendiri.
Aku menghela nafas.
Adam Alshahdi.. nama itu bermain di fikiranku!
0 ulasan:
Catat Ulasan