Perjalanan pulang ke kampung Nenek Huda mengambil masa yang agak lama. selesai saja berkemas, aku dan Iman terus saja berangkat pulang ke kampung setelah makan tengahari. Mungkin kami akan bermalam di rumah ibu yang lama atau entah. Ikut kata Iman. Kalau dia bersetuju, kami akan bermalam, kalau tidak mungkin akan pulang juga secepatnya hari ini juga. Kampung yang benar-benar luas dan cantik itu menghadirkan rasa terkilan di hatiku kerana aku tidak pernah sekalipun membesar di sini. Yang aku ingat, ibu pernah bercerita bahawa kampungnya sangat cantik dan jauh dari kesibukan kota.
Aku sebenarnya kurang pasti dengan keputusanku untuk pulang jua ke kampung. Aku takut dengan penerimaan nenek. Ini pula, kali pertama aku balik ke kampung. Banyak yang aku tidak tahu.
Aku memandang Iman yang tenang memandu di sebelahku.
“ Awak rasa, betulkah yang kita lakukan ini?” tanyaku bagai orang bodoh.
Iman sekadar mengangkat bahu.
Aku mengeluh. Iman sedikit pun tidak membantu aku dalam menghadapi keresahan ini.
“ Kalau awak tak buat salah, kenapa nak takut?”
Aku membisu.
Ya.. memang tidak ada yang hendak ditakutkan, tapi kesilapan orang tuaku pada masa lalu mungkin akan diungkit semula. Aku tahu itu. aku yakin dengan keadaan yang akan berlaku.
“ Saya jugakan ada..” sambungnya sambil menggenggam erat tanganku.
Aku tersentak. Tidak lama kemudian aku tersenyum kelat.
“ Awak tu tengah memandu.. tangan tu..” kata-kataku mati di situ.
“ Jangan merayap...” sambung Iman.
Aku ketawa kecil, meskipun kedengaran agak janggal kerana keresahan yang hadir di hatiku saat ini tidak dapat aku sembunyikan.
“ Hmm.. tau tak apa..” sambungku.
Iman mencebik.
“ Eleh.. bukan pegang orang lain pun.. isteri sendirikan..”
Aku menarik muka garang.
“ Cik abang oii.. ini kampung, bukan bandar... jagalah tingkah sikit..” tegurku seraya mencubit pinggangnya.
Iman mengaduh.
“ Saya tengah drivinglah ni..” rungutnya.
Aku tertawa perli.
“ Memanglah, kalau naik basikal takkan saya nak cubit pulak. Nanti jatuh, saya juga tumpang lebam..” sahutku berani.
Iman menjeling.
“ Kalau kereta tak apalah..” perlinya.
Aku mengangguk, menyahut usikannya.
Iman mencubit pipiku, kuat.
“ Wei.. sakitlah..” marahku sambil menepis tangannya.
Dia hanya ketawa.
Aku sudah mula menarik muka. Malas mahu melayan karenahnya, aku mengalih pandangan ke luar jendela.
Darul Farah.
Mataku terpaku pada papan tanda itu. seingatku, itu yang tertulis didalam telegram tadi.
“ Kita belok kiri..”
Iman membelok ke kiri pemanduannya. Tidak lama kemudian, kereta dimatikan. Kami sampai ke destinasi. Rumah lama yang kelihatan usang itu masih tersergam indah.
Aku membuka pintu kereta dan keluar untuk melihat dengan lebih dekat dan jelas akan rumah peninggalan ibu dan ayah kepadaku.
“ Sudah terlalu lama...” hanya itu kata-kata yang mampu kuluahkan. Meski nadanya berubah sayu namun aku belajar untuk tidak menitiskan airmata. Mungkin sengketa ibu terlalu berat untuk dijernihkan, maka ibu lebih senang menjauh dulu.
Benar.. sudah berpuluh tahun rumah ini ditinggalkan.
“ Rumah awak?” soal Iman perlahan di sebelahku.
Aku mengangguk.
Bibirku ketap kuat. Aku mendekati Iman. Antara malu dan segan, aku memeluk Iman. Dalam pelukan itu aku melepaskan tangisan yang kutahan.
Iman terkedu. Tidak menyangka dengan apa yang Humairaa lakukan. Dia tahu Humairaa sedang bersedih tapi dia tidak tahu mahu melakukan apa. Dia tidak tahu bagaimana caranya mengurangkan kesedihan Humairaa. Kenapa selama ini, Iman tidak ambil tahu akan hal yang sekecil ini?
“ Dahlah.. jangan nangis lagi..” tegur Iman sambil membalas pelukanku erat. Sesekali kepala dan belakangku diusapnya perlahan. Aku sungguh tidak tahu kenapa dengan tiba-tiba saja hatiku berubah menjadi rawan.
Aku terkilan kerana tidak sempat merasa membesar dengan suasana kampung dan tidak pernah menjejakkan kaki ke sini sebelumnya. Tapi.. aku faham. Mungkin ibu terpaksa begitu.
Ah.. aku akan mencari tahu sebabnya.
Iman mengesat perlahan airmataku.
Aku mengetap bibir. Rasa malu ada juga kerana tiba-tiba saja aku memilih untuk memeluknya. Tapi aku benar-benar selesa begitu.
“ Best peluk saya di kampung?” usiknya nakal.
Aku segera melepaskan pelukan.
Iman sudah ketawa terbahak-bahak.
Aku malu dengan pertanyaan itu. tapi Iman kian giat mengusik. Baginya itu satu bonus untuk menyakat aku.
“ Ehem..”
Suara deheman itu menganggu suasana mesra antara aku dan suamiku itu. lalu, aku dan Iman saling berbalas pandangan bersama si gerangan.
0 ulasan:
Catat Ulasan