Minggu program yang dianjurkan oleh Jabatan Bahasa bermula. Memang dapat aku rasakan betapa sibuknya aku dengan urusan sekolah. Sebahagian dari urusan peribadiku kubiarkan Ikhwan yang uruskan. Aneh, selama ini Ikhwan tidak ada rungutan meski berkali-kali mama mengingatkanku agar sama-sama untuk menguruskan majlis perkahwinanku yang hanya tinggal dua minggu lagi. Bertambah rasanya bebanku kerana program ini berjalan selama 4 hari. Aku terpaksa turut sama mengikuti program ini memandangkan aku antara ahli jawatan kuasa tertinggi.
Pandanganku terganggu dengan kehadiran bas yang akan menjadi kenderaan kami menuju ke sebuah perkampungan pedalaman yang terletak di hujung daerah. Aku teringat pesan mama semalam yang berulangkali menasihatiku agar berhati-hati. Aku tidak tahu mengapa mama kelihatan amat berat melepaskan aku pergi jauh walaupun Cuma untuk beberapa hari saja. Ingatanku melayang apabila bahuku disentuh perlahan oleh Kak Liah.
“ Selamat jalan..” ucap Kak Liah seraya mencium pipiku. Ada riak bimbang di wajahnya yang mengusik hatiku. Aku sebenarnya terkilan kerana Kak Liah tidak ikut serta dalam program ini memandangkan dia sedang berbadan dua. Seramai 20 orang pelajar markah tertinggi dipilih untuk ikut serta. Hanya 5 orang guru sahaja yang terlibat. Aku, Cikgu Othman, Cikgu Ramli, Cikgu Laila dan Cikgu Adam. Tapi dua orang dari cikgu tambahan itu hanya akan bersama semasa tempoh pembukaan sahaja. Setelah itu mereka akan pulang, meninggalkan mereka bersama aku dan Cikgu Adam.
Perjalanan kami memakan masa hampir sejam setengah. Aku lebih selesa duduk di bahagian belakang bas meski arah dudukku bertentangan dengan Cikgu Adam. Entah kenapa, sejak kebelakangan ini dia seperti menjauhkan diri. Senyumannya juga nampak hambar dan seolah-olah dibuat. Raut wajahnya seperti ada garis duka. Pandangan kami berlaga. Lama aku membalas pandangannya yang menzahirkan perasaan kosong. Sesungguhnya, aku benar-benar tidak dapat mentafsir pandangan itu. kadang aku terasa, Cikgu Adam itu seperti menaruh sesuatu perasaan untukku walau berkali-kali aku berusaha menafikan.
Lebih kurang beberapa minit kemudian kami sampai ke destinasi. Kami memunggah beg masing-masing. Aku sekadar jadi pemerhati kesemua tingkah pelajar dan beberapa tenaga pengajar. Mataku bertemu pandang lagi dengan Cikgu Adam. Tapi kali ini, pandanganku dibalas sekilas. Aku semakin hairan dengan kelakuannya.
Beberapa saat kemudian kami memulakan ekspedisi kami dengan berjalan kaki memasuki hutan kecil itu. Menurut cerita Cikgu Othman, setelah kami melintasi beberapa batang pohon meranti nanti kami akan bertemu dengan sebuah anak sungai. Di situlah kami akan mendirikan khemah dan memulakan aktiviti.
Sepanjang perjalanan itu aku lebih senang mengikut di bahagian belakang sahaja. Sekadar berhasrat mengawasi para pelajar dari posisi belakang. Langkahku ditemani Cikgu Ramli. Aku mengambil peluang mendengar MP3 dari telefon bimbitku setelah merasa kecewa servisnya tiada. Sesekali aku mengerling Cikgu Ramli yang leka memerhati keadaan hutan yang katanya saujana mata memandang. Cikgu Ramli sememangnya berjiwa sentimental. Dia senang memikirkan sesuatu yang menyentuh hatinya. Mentang-mentanglah dia cikgu sastera, semua benda mendatangkan ilham padanya!
Aku melilaukan pandangan ke sekeliling. Aku terkejut kecil kerna tiba-tiba saja Cikgu Adam berada di sebelahku. Dia mempamer wajah serius. Melahirkan rasa ingin tahu di hatiku dengan perubahan tingkahnya yang tiba-tiba sahaja menyakitkan hati.
Aku mengetap bibir. Menahan rasa tidak puas hati. Aku mematikan langkah, membiarkan Cikgu Ramli mendahuluiku. Mungkin Cikgu Adam sedar aku mematikan langkah, maka dia pun berpaling. Aku mematikan telefon bimbitku dan memandang tepat kepadanya.
Tapi dia hanya berpeluk tubuh saja!
“ Awak nak kita tersesat?” tegurnya sedikit keras.
Aku mengetap bibir. Terasa hati dengan tegurannya itu. Aku memberanikan diri menentang matanya yang membalas pandanganku dengan tajam. Mungkin lemas dengan kedegilanku maka dia nekad menarik tanganku untuk berusaha meneruskan perjalanan. Aku terpaku dengan tindakan spontannya. Serta-merta aku tersedar dengan tingkahnya dan merentap tanganku kembali. Aku berlari-lari anak menghampiri Cikgu Ramli dan rombongan yang lain di hadapan, membiarkan Cikgu Adam termangu di situ. Dia belum kenal siapa Ain! Marahku dalam hati. Aku semakin mempercepatkan langkah kerana kata Cikgu Othman kami sudah semakin hampir. Akhirnya usaha kami berbaloi. Kami sampai juga ke tempatnya. Memang amat indah dan sangat mendamaikan. Udaranya pula segar. Aku meletakkan beg sandangku di atas tanah sementara membiarkan rombongan pelajar yang lain berusaha mendirikan khemah. Aku mengambil keputusan menghampiri anak sungai itu. Aku memasukkan tanganku ke dalam.
Ah...sejuk!
Memang benar-benar menyegarkan. Tidak sia-sia aku ikut ke sini. Aku membuka kasut dan merendamkan kakiku ke dalamnya. Lama aku membiarkan kakiku terendam di balik kejernihan air itu. setelah puas, aku cuba berdiri untuk kembali semula ke tapak perkhemahan. Anehnya, kaki kananku tiba-tiba terasa perit. Pedih yang teramat. Kulihat di balik air itu ada darah yang mengalir. Aku mengaduh sakit. Rupanya kakiku terpijak ranting yang berduri. Mungkin saat itu Cikgu Adam berada di situ kerana serta-merta sahaja dia sudah ada di hadapanku. Dia menarik ranting itu dengan perlahan sedang aku berusaha menahan sakit hasil tindak balas dari pertolongannya itu. Tanpa sedar aku terpegang lengannya dengan kuat kerana terasa amat sakit dia berbuat begitu. Darah yang keluar dibalutnya dengan sapu tangan kecil. Dibersihkannya lalu ditampalnya plaster di tapak yang terluka.
Mungkin ketiadaan kami di tapak perkhemahan disedari, makanya Cikgu Laila datang mendekati kami.
“ Kenapa Ain?” soal Cikgu Laila.
Belum sempatku bersuara, Cikgu Adam terlebih dahulu bersuara. Agak tegang.
“ Cuai agaknya sampai tertusuk duri ni..” katanya seraya meninggalkan aku dan Cikgu Laila yang sedang terpinga-pinga dengan respon itu. keadaan itu membuatkan aku tertanya-tanya. Mengapa Cikgu Adam tiba-tiba sahaja marah –marah?
“ Kenapa dia tu?” soal Cikgu Laila sambil membalek kakiku yang sudah berbalut.
Aku mengangkat bahu.
Sungguh!
Aku benar-benar tidak tahu mengapa dia bersikap begitu.
“ Dahlah..jangan layan. Tension agaknya..” pujuk Cikgu Laila seraya menepuk bahuku.
Aku mengangguk dan menyambut tangan Cikgu Laila yang mengajakku kembali semula ke tempat perkhemahan. Aku berjalan sedikit terjungkit-jungkit. Menahan rasa sakit yang masih terasa. Aku masuk ke dalam khemah khas untuk aku dan Cikgu Laila. Aku sempat menghadiahkan Cikgu Adam dengan jelingan sebelum aku membiarkan diriku rebah dalam lena.
0 ulasan:
Catat Ulasan