BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sabtu, 15 Januari 2011

bab 8-semalam dalam kenangan

Usai sembahyang Zuhur, aku turun ke bawah terus menuju ke meja makan. Lapar sungguh perutku. Tambahan lagi hidangan di atas meja sangat membuka seleraku. Lelah yang kurasa selepas pulang mengajar tadi amat terasa. Meskipun begitu, aku tetap mahu meluangkan masa makan tengahari dengan mama dan abah.
“ Abang tak balik tengahari ma?” soalku seraya melabuhkan punggung di atas kerusi meja makan.
Mama menggeleng.
“ Dah warisi sikap abah agaknya..” jawab mama, sempat menyindir  abah yang sedang menyuapkan nasi ke mulutnya. Mama hanya dihadiahkan dengan jelingan abah. Aku ketawa melihat gurauan pasangan bahagia di hadapanku itu.
“ Ain pulak? Banyak ikut perangai mamanya yang kuat membebel..” balas abah.
Aku menarik muka. Tidak berpuas hati dengan kenyataan abah. Aku yang tidak ada kena-mengena pulak yang jadi sasaran.
“ Apa pulak Ain?” soalku sedikit rajuk.
Mama ketawa. Dia faham dengan maksud abah itu.
“ Sebab Ain jadi cikgulah tu..” jawab mama bagi pihak abah.
Abah sekadar mengangguk mengiakan kata-kata mama.
Aku menarik muka lagi.
“ Tapi tak tahulah sikap siapa Ain ikut yang kuat merajuk ni..” sambung abah.
Aku sekadar ketawa manja. Walaupun sudah meningkat dewasa, aku lebih selesa bermanja dengan abah dan mama. Tambahan lagi aku anak bongsu, makanya aku seorang sahaja yang layak dicurahkan kasih sayang mereka walaupun harus berkongsi dengan abang. Abang pulak lebih pada bersikap berdikari walau kadang-kadang juga abang bermanja dengan mama. Aku pula selalu rasa cemburu kalau mama lebihkan abang. Memang kebudak-budakan betul!
“ Ain..mama dan ibu Ikhwan dah tempah pelamin, katering dan kem..” khabar mama sedikit teruja. Aku tersedak. Cepat-cepat aku mencapai gelas dan meneguk air semahuku. Hatiku jadinya kalut tiba-tiba. Hampir saja aku terlupa bahawa aku akan bernikah hujung bulan ini. Aku menghitung dalam fikiran.
Mak! Cuma tinggal 3 minggu lagi!
“ Ma.. Ain belum dapat cuti buat masa ini, nantilah kalau seminggu lagi nak kahwin, Ain cuti..” ucapku tegas. Bukan aku menolak untuk turut sama bergembira melangkah ke alam perkahwinan tapi kerana aku ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan sebelum bercuti.
“ Kenapa? Dah tak boleh tinggalkan kerja atas sebab Ain nak kahwin?” bebel mama bermula.
Aku sekadar tersengih mendengar bebelan mama. Aku membantunya mengemas bekas kami makan dan membawa bekas pinggan yang kotor itu ke dapur.
         “ Bukan macam tu mama, dah dalam jadual Ain macam tu.. Kan Ain kahwin ni yang majlisnya tiba-tiba..” jawabku lembut, takut menghiris hati mama.
         “ Ain rasa terpaksa ke?” soal mama dengan suara yang menyentuh hatiku.
Aku terdiam. Membalas pandangan mama dengan perasaan berbaur.
         Mama seraya mendekatiku. Dipeluknya bahuku erat.
         “ Kalau tak bersedia, kan Ain masih boleh minta tempoh..” pujuk mama lembut.
Aku merengus. Tersentuh hatiku dengan setiap kata-kata mama.
“ Ain okey ma..”  jawabku penuh yakin meski dalam hatiku, aku mula rasa sangsi dengan keputusan yang kubuat.
Mama mengusap rambutku perlahan. Aku merapatkan tubuh agar diraih dalam pelukan mama. Aku senang dimanja begitu. Aku suka berada dalam pelukan mama. Mamaku yang penyayang. Mama yang faham segalanya. Mama yang kasihnya amat dalam buat anak-anaknya. Mama yang banyak berkorban untuk membesarkan anak-anaknya. Setiap raut wajahnya menggariskan harapan yang masih belum tertunai. Setiap senyuman mama mengubat hatiku. Dalam diam, kasih mama mengharum di kamar hatiku tanpa kusedar. Lantaran itu, bagaimana mungkin aku menolak permintaannya yang ingin melihat kebahagiaanku? 
Tiba-tiba bahuku dicuit. Aku nampak abang sedang tersengih nakal. Mama yang tersedar dengan keadaan itu pantas meraih abang dalam pelukannya. Kami bertiga saling mengeratkan pelukan.
Abah tiba-tiba pula berdehem.
“ Kasih anak-anak saja?” soal abah dalam nada rajuk mengusik mama. Aku dan abang tertawa. Cepat saja tangan abang meraih abah sama. Kami sekeluarga saling berbalas pelukan dengan rasa kasih yang tidak terhitung banyaknya. Kerana itulah aku amat sayang dengan keluargaku.

0 ulasan: